Connect with us

Terkini

Luluskan RUU Kawalan Tembakau selaras pengenalan duti eksais rokok elektronik, vape – Pakar Perubatan

Rang undang-undang (RUU) kawalan tembakau perlu diluluskan segera oleh kerajaan seiring pengenalan duti eksais ke atas cecair atau gel mengandungi nikotin dalam rokok elektronik dan vape.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Luluskan RUU Kawalan Tembakau selaras pengenalan duti eksais rokok elektronik, vape - Pakar Perubatan
Foto: Datuk Dr Zainal Ariffin Omar (kiri), Dr Suhazeli Abdullah (kanan).
  • RUU kawalan tembakau perlu diluluskan segera oleh kerajaan seiring pengenalan duti eksais ke atas cecair atau gel mengandungi nikotin dalam rokok elektronik dan vape.
  • Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar menyifatkan RUU itu lengkap kerana melibatkan produk lain seperti vape, rokok elektronik dan lain-lain termasuk cadangan Generational End Game (GEG) dalam RUU tersebut.
  • Beliau menyifatkan adalah agak ganjil sekiranya cukai mendahului akta atau peraturan kawalan vape.
  • Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah turut menegaskan RUU itu wajib dibentangkan bagi membolehkan cukai dikutip ke atas pengusaha vape sepertimana dinyatakan dalam Belanjawan 2023 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR –  Rang undang-undang (RUU) kawalan tembakau perlu diluluskan segera oleh kerajaan seiring pengenalan duti eksais ke atas cecair atau gel mengandungi nikotin dalam rokok elektronik dan vape.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar menyifatkan RUU itu lengkap kerana ia melibatkan produk lain seperti vape, rokok elektronik dan lain-lain termasuk cadangan Generational End Game (GEG) dalam RUU tersebut.

Beliau berkata agak ganjil sekiranya cukai mendahului akta atau peraturan kawalan vape.

Menurutnya, vape terbahagi dua iaitu pertama vape yang mengandungi nikotin (cukai) dan vape tanpa nikotin (tidak dicukai).

“Ini akan mewujudkan masalah dalam kawalan produk, pelesenan premis jualan dan pelaksanaan cukai serta akan berlaku manipulasi pelabelan jenis yang akan menyebabkan ketirisan cukai,  penyeludupan dan produk tidak sah (contoh – vape bernikotin tapi dijual sebagai vape tanpa nikotin).

“Sepatutnya produk vape ini mempunyai peraturan dan kawalan perundangan dengan struktur kandungannya dan struktur cukai. 

“Pada masa ini peraturan dan kawalan perundangan belum wujud,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Ahad.

Pendapat sama turut dikongsikan Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah yang menegaskan RUU itu wajib dibentangkan bagi membolehkan cukai dikutip ke atas pengusaha vape sepertimana dinyatakan dalam Belanjawan 2023 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, walaupun terpaksa berkompromi dalam beberapa sudut, namun akta vape dan GEG (generasi penamat rokok) lebih penting untuk diteruskan.

“Semakin lambat ia dibentangkan, semakin lama lah kita menunggu dan semakin sedih melihat remaja kita yang terus berminat untuk hisap vape.

“Harap-harap lah semua ahli parlimen memahami keadaan ini dan menyokong RUU itu tanpa berbelah bahagi,” kata Dr Suhazeli di Facebook hari ini.

Beliau mendakwa ada pihak berusaha untuk menggagalkan pembentangan RUU vape dan GEG yang bakal diadakan dalam masa terdekat hingga menimbulkan kebimbangan.

Perdana Menteri dilaporkan berkata kerajaan akan mengenakan cukai terhadap produk cecair bagi rokok elektronik ataupun vape yang mengandungi nikotin.

Katanya, kerajaan menyokong penuh pelaksanaan GEG selain bersetuju menyalurkan hasil cukai itu kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). – The Merdeka Times

Sumber : Facebook Zainal Omar, Dr Suhazeli Abdullah

Author