Terkini
Harga barang basah naik beri kesan kepada penjaja bergerak di Gua Musang
Harga sayur-sayuran yang tidak menentu, turut memberi kesan kepada penjaja barangan basah bergerak menggunakan van di sekitar daerah ini.
- Tinjauan mendapati rata-rata penjaja mereka ada kalanya terpaksa keluarkan modal besar untuk beli sayur, namun hanya peroleh untung yang kecil.
- Kenaikan harga sayuran tidak menentu membuatkan timbul rasa serba salah untuk jual kepada pelanggan. – Penjaja Rohaizad Rashid, 55
- “Sedangkan pelanggan terdiri dari masyarakat luar bandar ini beli dengan harga RM1 hingga RM2 untuk sayuran. Macam mana kami nak jual kepada mereka, jadi kami terpaksa buat keputusan untuk tidak jual sayur terlampau mahal,”
- “Kami sebagai penjaja sangat terkesan dengan keadaan ini. Pendapatan hasil menjaja hanya sekadar cukup makan tidak lagi boleh menyimpan seperti dahulu,” katanya
GUA MUSANG: Harga sayur-sayuran yang tidak menentu, turut memberi kesan kepada penjaja barangan basah bergerak menggunakan van di sekitar daerah ini.
Tinjauan mendapati rata-rata penjaja mereka ada kalanya terpaksa mengeluarkan modal besar untuk membeli sayuran, namun hanya memperoleh untung yang kecil.
Penjaja Rohaizad Rashid, 55, mendakwa kenaikan harga sayuran yang tidak menentu membuatkan timbul rasa serba salah untuk menjual kepada pelanggan.
Katanya, rata-rata pelanggan mereka hanya penduduk kampung yang mempunyai pendapatan yang tidak menentu, jadi kuasa beli sangat terhad dan bergantung kepada pendapatan mereka.
“Contohnya minggu lalu, harga tomato mencecah sehingga RM11 sekilogram (kg), yang mana sebiji tomato sudah harga RM1 sebiji.
“Sedangkan pelanggan yang terdiri daripada masyarakat luar bandar ini membeli dengan harga RM1 hingga RM2 untuk sayuran. Macam mana kami nak jual kepada mereka, jadi kami terpaksa membuat keputusan untuk tidak menjual sayuran yang terlampau mahal.
“Pada minggu lalu kebanyakan harga sayuran agak tinggi contohnya, terung RM40 bagi bungkusan lima kilogram, namun hari ini ada penurunan sebanyak RM2,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Rohaizad berkata, sejak pertengahan tahun lalu, ramai penjaja yang terkesan dengan harga sayuran dan barangan basah yang tidak menentu dan keadaan semakin tidak terkawal sejak awal tahun ini.
“Kami sebagai penjaja sangat terkesan dengan keadaan ini. Pendapatan hasil menjaja hanya sekadar cukup makan tidak lagi boleh menyimpan seperti dahulu,” katanya yang sudah lebih 20 tahun menjaja barangan basah dan sayuran di sekitar bandar Gua Musang.
Manakala bagi Rosmiza Rusdi, 33, menyifatkan penjaja kini tersepit dengan kenaikan harga barangan yang tidak terkawal.
“Jualan memang ada, tapi sangat kurang tidak seperti dulu, keuntungan yang dapat hanya beberapa sahaja sedang kos minyak, ais dan plastik tetap perlu dikeluarkan kerana kami menjaja.
“Andai harga sesuatu barang itu mahal, pelanggan akan membeli dalam kuantiti sedikit dan itu membuat keuntungan juga semakin berkurang,” katanya.
Sumber: Berita Harian