Connect with us

Terkini

Bajet 2023 wajar tumpu bantu M40 tingkat pendapatan – Pensyarah Ekonomi

Belanjawan 2023 wajar memberi pendedahan kepada golongan M40 untuk menceburi sektor baharu yang kalis kemelesetan bagi membantu mereka menambah pendapatan, sekali gus mengharungi cabaran kos kehidupan yang terus meningkat.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Bajet 2023 wajar tumpu bantu M40 tingkat pendapatan – Pensyarah Ekonomi
Foto: Profesor Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin.
  • “Keperluan utama golongan M40 sebenarnya tidak jauh beza dengan B40 kerana sebilangan besar sudah jatuh ke kategori B40, atau kita boleh juga kata B60.” – Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin
  • “Jika kita lihat kemiskinan dari pelbagai dimensi, saya percaya keperluan golongan M40 dan B40 dapat dikenalpasti, seperti isu upah serta pendapatan rendah, kos dan kualiti pendidikan anak-anak, isu kesihatan dan sistem kesihatan negara, di samping taraf kehidupan mereka secara keseluruhan,”
  • “Masalah pekerjaan di bawah tahap kelayakan turut jadi isu, kerana kebanyakan golongan M40 sepatutnya berada dalam kategori T20 seandainya pekerjaan mereka sepadan dengan kelayakan,” katanya.

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2023 wajar memberi pendedahan kepada golongan M40 untuk menceburi sektor baharu yang kalis kemelesetan bagi membantu mereka menambah pendapatan, sekali gus mengharungi cabaran kos kehidupan yang terus meningkat.

Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, berkata antara sektor terbabit adalah penjagaan kesihatan, teknologi, Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), selain peluang yang ada dalam Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) serta Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Katanya, program yang berbentuk keusahawanan dan juga literasi kewangan perlu difokuskan kepada supaya kapasiti golongan berpendapatan pertengahan dapat ditambah baik selain program menambah kemahiran dan latihan semula.

“Keperluan utama golongan M40 sebenarnya tidak jauh bezanya dengan golongan B40 kerana sebilangan besar mereka ini pun sudah jatuh ke kategori B40, atau kita boleh juga kata golongan B60.

“Jika kita lihat kemiskinan dari sudut pelbagai dimensi, saya percaya keperluan golongan M40 dan B40 akan dapat dikenalpasti, seperti isu upah serta pendapatan yang rendah, kos dan kualiti pendidikan anak-anak, isu kesihatan dan sistem kesihatan negara, di samping taraf kehidupan mereka secara keseluruhan,” katanya kepada BH.

Irwan Shah berkata, dalam konteks menangani isu kos sara hidup, langkah mengurangkan cukai pendapatan semata-mata adalah tidak mencukupi.

Katanya, perkara sama turut berlaku dalam isu pemilikan rumah mampu milik kerana inisiatif seperti pengecualian duti setem juga tidak memadai.

“Malah, untuk menggalakkan tabungan juga, inisiatif seperti menaikkan had simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB) adalah tidak praktikal, memandangkan wang untuk perbelanjaan harian juga tidak mencukupi, sehinggakan ada tuntutan untuk pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sekali lagi.

“Ramai juga yang sudah jatuh muflis dan mencari pinjaman kredit komuniti hanya untuk meneruskan kehidupan seharian. Ramai yang tertekan akibat kehilangan mata pencarian akibat pandemik COVID-19.

“Namun, usaha kerajaan dalam menggalakkan pekerjaan gig hanya tertumpu kepada segmen yang berkemahiran rendah sahaja dan tidak ada galakan ataupun insentif untuk menceburi ekonomi gig dalam segmen kemahiran tinggi yang akan menawarkan pendapatan yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau menambah, masalah pekerjaan di bawah tahap kelayakan turut menjadi isu, kerana kebanyakan golongan M40 sepatutnya berada dalam kategori T20 seandainya pekerjaan mereka sepadan dengan kelayakan.

“Tabungan hari tua mereka juga sudah tidak mencukupi, manakala bantuan kewangan langsung hanya diberikan kepada golongan B40,” katanya.

Kerajaan akan membentangkan semula Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada 24 Februari ini susulan pertukaran kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November tahun lalu.

Pada 20 Disember tahun lalu, kerajaan membentang Mini Bajet 2023 bagi meluluskan pembayaran gaji penjawat awam serta beberapa isu berbangkit.

Sumber: Berita Harian

 

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *