Connect with us

Terkini

PDRM perlu teliti semula SOP kendali kes rogol, gangguan seksual – SUARAM

Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) mempersoalkan prosedur operasi standard (SOP) Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika mengendalikan kes berkaitan dengan rogol dan gangguan seksual. 

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

PDRM perlu teliti semula SOP kendali kes rogol, gangguan seksual - SUARAM
Foto: Pengarah Eksekutif SUARAM, Sevan Doraisamy.
  • SUARAM berkata, ketika ini Akta Antigangguan Seksual telah diwartakan, justeru seharusnya PDRM meneliti semula dan memperhalusi SOP yang lebih sensitif kepada gender, serta beri latihan profesional kepada pegawai-pegawai penyiasat.
  • “Kes rogol ini adalah antara kes memerlukan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang diperjuangkan kumpulan masyarakat sivil (Civil Society Organisation – CSO). 
  • “Dalam konteks Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) yang sedia ada, ia tidak mempunyai kuasa menyiasat dan penguatkuasaan yang setimpalnya. 
  • “Sebarang keputusan siasatan IPCC hanya dirujuk kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) akan tetapi SPP tidak mempunyai kewajipan untuk melaksanakan cadangan tersebut ataupun melapor balik kepada IPCC,” kata SUARAM.

KUALA LUMPUR – Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) mempersoalkan prosedur operasi standard (SOP) Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika mengendalikan kes berkaitan dengan rogol dan gangguan seksual. 

Ini berikutan, ketika ini Akta Antigangguan Seksual telah diwartakan, justeru menurutnya seharusnya PDRM meneliti semula dan memperhalusi SOP yang lebih sensitif kepada gender, malah memberi latihan profesional kepada pegawai-pegawai penyiasat.

“SUARAM mengingatkan pihak umum bahawa ini bukan kali pertama pihak media membongkarkan kes rogol atau gangguan seksual dilakukan pegawai polis. Kami khuatir kes sebegini tetap berulang kerana budaya bebas daripada sebarang hukuman.

“Kes rogol ini adalah antara kes memerlukan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang diperjuangkan kumpulan masyarakat sivil (Civil Society Organisation – CSO). 

“Namun dalam konteks Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) yang sedia ada, ia tidak mempunyai kuasa menyiasat dan penguatkuasaan yang setimpalnya. 

“Sebarang keputusan siasatan IPCC hanya dirujuk kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) akan tetapi SPP tidak mempunyai kewajipan untuk melaksanakan cadangan tersebut ataupun melapor balik kepada IPCC,” kata SUARAM dalam kenyataannya di Facebook pada Selasa.

Kenyataan itu dikeluarkan susulam dakwaan kes seorang inspektor polis merogol seorang remaja perempuan bawah umur ketika melakukan soal siasat.

Berikutan itu, SUARAM menyeru kerajaan mengadakan satu mesyuarat libat urus bersama pihak CSO untuk mengkaji semula Akta IPCC sedia ada, sama ada menggantikannya dengan IPCMC atau memasukkan elemen-elemen seperti suruhanjaya yang bebas serta mempunyai kuasa menyiasat dan penguatkuasaan ke dalam IPCC.

Mengulas lanjut, SUARAM berkata pihaknya memandang serius terhadap salah laku inspektor polis tersebut serta menekankan keadilan kepada mangsa hanya boleh ditegakkan melalui tindakan yang tegas dan telus terhadap inspektor tersebut. 

Justeru, sistem akauntabiliti polis pula perlu dikukuhkan dengan segera bagi memulihkan kepercayaan umum terhadap pihak polis.

“SUARAM menggesa agar penggantungan kerja inspektor tersebut perlu dijalankan dengan serta-merta sehingga satu penyiasatan yang bebas dilaksanakan. 

“Polis yang sepatutnya menjadi pelindung kepada masyarakat telah mengancam keselamatan individu. Kami melihat perbuatan rogol ini satu jenayah serius.

“SUARAM meminta agar satu siasatan terhadap inspektor polis itu dilaksanakan secara telus dan terbuka. PDRM harus sentiasa kemas kini perkembangan siasatan serta mengumumkan tindakan susulan yang diambil. 

“Perkara ini tidak boleh hanya tertakluk kepada tindakan tatatertib sahaja tetapi inspektor yang didakwa terlibat dalam kes rogol ini harus dituduh di mahkamah,” katanya yang turut dikenali sebagai sebuah NGO yang memperjuangkan hak asasi manusia.

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said menegaskan bahawa terdapat prosedur khusus untuk mengendalikan mangsa kanak-kanak iaitu Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 dan Garis Panduan Pengurusan Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak.

“Tiada siapa yang berada di atas undang-undang,” tegasnya dalam ciapan di Twitter, pada Isnin.

Kelmarin, media melaporkan seorang inspektor polis yang bertanggungjawab menyiasat dakwaan kes rogol membabitkan mangsa berusia 16 tahun telah ditahan atas dakwaan merogol mangsa itu semasa melakukan soal siasat.

Menurut Harian Metro, mangsa pada mulanya dipanggil inspektor berusia 30-an itu ke IPD untuk membantu siasatan berhubung satu kes rogol membabitkan remaja terbabit yang dikatakan dilakukan bapa tiri terhadap dirinya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani mengesahkan laporan dan penahanan pegawai berkenaan namun enggan mengulas lanjut kerana siasatan berhubung kejadian itu masih dijalankan. – The Merdeka Times

Sumber : Facebook Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)

 

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *