Connect with us

Terkini

Misi utama Nga Kor Ming ‘longkang dan tandas yang bersih’

Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memastikan perkhidmatan asas Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti jalan raya rata, kebersihan tandas awam, lampu terang dan longkang bersih sebagai antara misi utama untuk menyampaikan khidmat terbaik kepada rakyat. 

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Nur Aisyah

Published

on

Misi utama Nga Kor Ming ‘longkang dan tandas yang bersih’
Foto: Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming
  • KPKT memastikan perkhidmatan asas Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti jalan raya rata, kebersihan tandas awam, lampu terang dan longkang bersih bertaraf ‘BMW’ iaitu bersih, menawan dan wangi  sebagai misi utama.
  • Menterinya, Nga Kor Ming berkata, walaupun perkara ini kelihatan asas dan ringkas tetapi ia sentiasa dekat di hati rakyat serta penyelesaian isu ini akan menjadi kayu pengukur kepada kerajaan tempatan.
  • Beliau juga mahu supaya garis panduan, dasar, peraturan dan SOP yang dilaksanakan menambah kecekapan dan mengurangkan beban rakyat.
  • KPKT juga akan mengambil pendekatan penerapan nilai-nilai murni yang selari dengan budaya Melayu.

 

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memastikan perkhidmatan asas Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti jalan raya rata, kebersihan tandas awam, lampu terang dan longkang bersih sebagai antara misi utama untuk menyampaikan khidmat terbaik kepada rakyat. 

Ini termasuklah memastikan jalan raya rata dan tidak berlubang, pemasangan lampu yang terang, longkang yang bersih dan tidak tersumbat serta tandas-tandas awam yang bertaraf ‘BMW’ iaitu Bersih, Menawan dan Wangi.

Menteri KPKT, Nga Kor Ming dalam kenyataan medianya berkata, masalah jalan raya berlubang, lampu jalan yang malap atau tidak menyala, longkang tersumbat sehingga menyebabkan banjir kilat, tandas awam yang gagal bertaraf BMW (bersih, menawan dan wangi) adalah isu utama bagi orang awam. 

“Walaupun empat perkara ini kelihatan asas dan ringkas, tetapi ianya sentiasa dekat di hati rakyat. Penyelesaian kepada isu ini menjadi kayu pengukur kepada kecekapan Kerajaan Tempatan dalam menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” katanya dalam ucapan Majlis Amanat Tahun Baharu YB Menteri KPKT 2023 di sini, hari ini.

Majlis turut dihadiri Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M Noor Azman Taib, serta pegawai-pegawai kanan Kementerian, Jabatan, Agensi, wakil-wakil daripada 155 PBT di seluruh Negara secara bersemuka dan dalam talian.

Sebulan dalam perkhidmatan, Kor Ming telah melakukan beberapa lawatan spontan dan tinjauan untuk melihat sendiri penyelenggaraan PBT khususnya tahap kebersihan tandas, pencahayaan kawasan awam, jalan raya dan longkang yang sentiasa berfungsi bagi menebat kejadian banjir kilat.

Pada masa yang sama beliau juga menggariskan supaya tatacara pengendalian Prosedur

Operasi Standard (SOP) yang lebih mudah diikuti dan diaplikasikan oleh orang awam. 

“Saya juga mahukan supaya garis panduan, dasar, peraturan dan SOP yang dilaksanakan haruslah menambah kecekapan dan memperbaiki penyampaian perkhidmatan. Ia sepatutnya semakin menyenangkan dan mengurangkan beban rakyat dan bukan sebaliknya,” katanya.

Dalam ucapannya juga, Kor Ming menegaskan bahawa KPKT akan mengambil pendekatan penerapan nilai-nilai murni yang selari dengan budaya Melayu seperti ringan tulang, sopan santun, berbudi bahasa, berjimat-cermat, saling hormat-menghormati, kepimpinan melalui teladan dan menyayangi alam sekitar.

“Nilai-nilai murni budaya Melayu harus menjadi amalan teras dalam budaya kerja warga KPKT. Saya percaya nilai-nilai sejagat ini yang terpakai untuk semua kaum akan sekali gus memperbaiki penyampaian perkhidmatan.

“Melalui gabungan budaya kerja dan pendekatan Kementerian melalui konsep ‘ABCD’, saya yakin kementerian ini akan terus berdaya saing untuk menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Kor Ming turut melancarkan Anugerah Kecemerlangan Menteri KPKT untuk semua warga Kementerian. 

Anugerah ini merupakan pengiktirafan tertinggi untuk seluruh warga kementerian dan ia bakal diadakan menjelang hujung tahun ini. 

Ia merupakan insentif bagi semua kakitangan dan pegawai untuk memberi perkhidmatan yang cemerlang.

“Anugerah ini saya wujudkan bagi menghargai jasa dan mengiktiraf sumbangan warga KPKT dalam menjalankan tugas dan meningkatkan imej kementerian,” katanya.- The Merdeka Times

Author