Antarabangsa
Afghanistan: PBB gesa Taliban jelaskan penglibatan wanita dalam misi bantuan
Pemimpin kanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendesak Taliban membatalkan sekatannya ke atas wanita Afghanistan, terutamanya larangan bekerja dalam misi penghantaran bantuan.
- Setiausaha Agung PBB bagi Hal Ehwal Kemanusiaan dan Bantuan Kecemasan, Martin Griffiths, berharap lebih banyak sektor kemanusiaan akan dibuka semula untuk pekerja wanita.
- “Saya diberitahu oleh beberapa pemimpin Taliban bahawa mereka sedang mengusahakan garis panduan bagi memperjelaskan peranan wanita.
- “Kita mengharapkan kemungkinan wanita diberi kebebasan untuk melakukan kerja kemanusiaan. katanya.
KABUL: Pemimpin kanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendesak Taliban membatalkan sekatannya ke atas wanita Afghanistan, terutamanya larangan bekerja dalam misi penghantaran bantuan.
Timbalan Setiausaha Agung PBB, Amina Mohammed, berkata negara itu kini diancam kebuluran kerana dilanda musim sejuk melampau yang sudah pun meragut 124 nyawa selain penyakit misteri yang mengorbankan 21 orang setakat ini.
“Saya tegas mengenai isu wanita semasa lawatan minggu lalu ke Afghanistan, namun maklum balas yang diterima tidak menyenangkan,” katanya.
Sejak kembali berkuasa pada Ogos 2021, kerajaan Taliban menghalang wanita daripada kehidupan sosial, pendidikan, kerja sektor awam, dan tidak membenarkan wanita melawat taman dan tempat mandi awam.
Menurut sebuah agensi kemanusiaan, negara itu kini berdepan krisis kemanusiaan terburuk di dunia dengan lebih separuh daripada 38 juta penduduk Afghanistan kelaparan dan hampir empat juta kanak-kanak di sana kekurangan zat makanan.
Krisis itu bertambah buruk apabila kepimpinan Taliban melarang wanita Afghanistan bekerja dengan NGO, serta memaksa beberapa agensi kemanusiaan untuk menangguhkan kerja mereka.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, pihak berkuasa membenarkan wanita bekerja dalam sektor kesihatan saja.
Sementara itu, Setiausaha Agung PBB bagi Hal Ehwal Kemanusiaan dan Bantuan Kecemasan, Martin Griffiths, berkata beliau berharap lebih banyak sektor kemanusiaan akan dibuka semula untuk pekerja wanita.
“Saya diberitahu oleh beberapa pemimpin Taliban bahawa mereka sedang mengusahakan garis panduan bagi memperjelaskan peranan wanita.
“Kita mengharapkan kemungkinan wanita diberi kebebasan untuk melakukan kerja kemanusiaan.
“Saya berpendapat adalah sangat penting untuk kita memastikan usaha ini berjaya,” kata Griffiths kepada AFP dalam temu bual di pejabat PBB di Kabul, katanya, ketika mengakhiri lawatan ke Afghanistan.
Griffiths mengetuai delegasi pegawai kanan NGO untuk bertemu beberapa pemimpin Taliban minggu ini dalam usaha mendesak mereka melonggarkan larangan ke atas pekerja kemanusiaan wanita.
Delegasi Griffiths tiba di negara itu beberapa hari selepas Mohammed menamatkan lawatannya di Kandahar, di mana beliau menggesa kerajaan Taliban untuk membatalkan dua perintah baru-baru ini yang menyekat hak wanita.
Griffiths berikrar bahawa apabila PBB datang untuk menyampaikan bantuan di negara yang dilanda kemiskinan, komuniti kemanusiaan global akan berkeras untuk mengerahkan pekerja wanita kerana lebih bertanggungjawab dan boleh diharap.
“Di mana pun ada peluang untuk kami menyampaikan bantuan kemanusiaan dan perlindungan secara berprinsip dengan wanita, kami akan berbuat demikian.
“Kami tidak mempunyai masa. Musim sejuk sedang melanda, orang yang mati akibat kebuluran semakin ramai.
“Kami memerlukan keputusan sekarang, itulah sebabnya saya fikir pengecualian wanita perlu dipertimbangkan semula,” katanya sambil menambah bahawa pengecualian pekerja wanita menjadi isu penting. – AFP
Sumber: Berita Harian