Antarabangsa
PBB mahu Israel lucut senjata nuklear, sekutunya Amerika Syarikat bantah
Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meminta rejim Israel menyerahkan senjata nuklearnya dan melaksanakan resolusi PBB sepenuhnya mengenai penubuhan zon bebas senjata nuklear di Timur Tengah, lapor Middle East Monitor.
- Perhimpunan Agung PBB minta rejim Israel serahkan senjata nuklearnya dan laksanakan resolusi PBB sepenuhnya mengenai penubuhan zon bebas senjata nuklear di Timur Tengah.
- Resolusi itu ditentang Israel dan lima negara lain iaitu Amerika Syarikat, Kanada, Micronesia, Palau dan Liberia, manakala 26 negara berkecuali, termasuk India dan sebahagian besar negara Eropah.
- Resolusi PBB mengandaikan Israel memiliki senjata sedemikian dan menyerunya untuk bersetuju dengan Perjanjian Non-Proliferasi.
Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meminta rejim Israel menyerahkan senjata nuklearnya dan melaksanakan resolusi PBB sepenuhnya mengenai penubuhan zon bebas senjata nuklear di Timur Tengah, lapor Middle East Monitor.
Bagaimanapun, resolusi itu ditentang Israel dan lima negara lain iaitu Amerika Syarikat, Kanada, Micronesia, Palau dan Liberia, manakala 26 negara berkecuali, termasuk India dan sebahagian besar negara Eropah.
Situasi itu menyaksikan resolusi di Perhimpunan Agung PBB pada Rabu lalu mendapat sokongan 149 undi berbanding enam menentang.
Antara peruntukan lain draf resolusi itu adalah memerlukan langkah segera ke arah pelaksanaan penuh resolusi mengenai Timur Tengah yang diterima pakai Perjanjian Non-Proliferasi 1995.
Komponen utama perjanjian pakej diterima pakai dalam perjanjian itu memerlukan penciptaan Timur Tengah menjadi zon bebas senjata nuklear serta senjata pemusnah besar-besaran lain termasuk sistem penyampaian mereka.
“Israel mesti sertai perjanjian tanpa berlengah-lengah dan tidak membangunkan, menghasilkan, menguji atau memperoleh senjata nuklear, untuk melepaskan pemilikan mereka dan meletakkan semua kemudahan nuklearnya yang tidak dilindungi di bawah skop penuh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA),” tegas PBB dalam kenyataan itu.
Israel sendiri tidak menandatangani Perjanjian Non-Proliferasi dan tidak menerima perlindungan IAEA terhadap beberapa aktiviti nuklear utamanya.
Walaupun Israel secara meluas dipercayai mempunyai simpanan senjata nuklear, negara apartheid itu tidak mengakui mahupun menafikan kewujudan senjata nuklear, malah negara-negara Barat secara amnya bertolak ansur dengan dasar kekaburan nuklear Israel walaupun terdapat ancaman ditimbulkan negara haram itu kepada rantau itu.
Resolusi PBB mengandaikan Israel memiliki senjata sedemikian dan menyerunya untuk bersetuju dengan Perjanjian Non-Proliferasi.
Sumber : Middle East Monitor