Terkini
Majikan mungkin takut gajikan wanita susulan pindaan Akta Kerja 1955
Seorang wakil rakyat Perak hari ini membangkitkan kebimbangan kemungkinan berlaku diskriminasi terhadap wanita dengan majikan takut menggajikan mereka apabila pindaan Akta Kerja 1955 berkuat kuasa mulai 1 Januari ini.
- Seorang wakil rakyat Perak bimbang kemungkinan berlaku diskriminasi terhadap wanita dengan majikan takut menggajikan mereka susulan pindaan Akta Kerja 1955 berkuat kuasa mulai 1 Januari ini.
- ADUN, Pantai Remis, Wong May Ing, berkata ia susulan pindaan akta itu antara lain menyaksikan cuti bersalin dinaikkan daripada 60 hari kepada 98 hari.
- Pindaan akta itu juga akan menyebabkan majikan khususnya peniaga kecil terpaksa menanggung kos pengurusan lebih tinggi.
- “Negara kita kini berdepan cabaran yang mana populasi wanita 47.7 peratus, iaitu hampir separuh daripada populasi Malaysia sedangkan kadar penyertaan tenaga buruh wanita tahun 2021 hanya 55.5 peratus”.
IPOH: Seorang wakil rakyat Perak hari ini membangkitkan kebimbangan kemungkinan berlaku diskriminasi terhadap wanita dengan majikan takut menggajikan mereka apabila pindaan Akta Kerja 1955 berkuat kuasa mulai 1 Januari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Remis, Wong May Ing, berkata ia susulan pindaan akta itu antara lain menyaksikan cuti bersalin dinaikkan daripada 60 hari kepada 98 hari.
Katanya, pindaan akta itu juga akan menyebabkan majikan khususnya peniaga kecil terpaksa menanggung kos pengurusan lebih tinggi.
Beliau berkata, berikutan ekonomi pada tahun depan diramalkan dengan permulaan kurang cerah, pendapatan syarikat dan individu mungkin berkurangan, justeru kedudukan golongan majikan akan lebih kronik selepas pelaksanaan pindaan akta itu.
“Saya ingin merakamkan sokongan kepada pindaan ini, tetapi saya harus juga membawa perbincangan yang amat penting ke dalam dewan yang mulia ini, iaitu bagaimana kerajaan negeri melindungi pekerjaan rakyat Perak di samping menjamin daya tahan perniagaan.
“Selaras itu, harus diperbahaskan secara dasar adalah apabila hanya pekerja sahaja mendapat manfaat. Majikan berkemungkinan takut menggajikan pekerja wanita, maka terwujudnya isu diskriminasi terhadap golongan wanita,” katanya membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tahun 2023 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2023 pada persidangan DUN Perak hari ini.
Katanya, setiap wakil rakyat wajib memandang serius isu diskriminasi sebegitu memandangkan kadar penyertaan tenaga wanita telah menurun berterusan selepas pelaksanaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik COVID-19.
“Malahan negara kita kini berdepan cabaran yang mana populasi wanita adalah 47.7 peratus, iaitu hampir separuh daripada populasi Malaysia sedangkan kadar penyertaan tenaga buruh wanita tahun 2021 hanya 55.5 peratus,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan membuat persiapan dan mencari jalan untuk mewujudkan situasi menang-menang antara majikan dan pekerja seperti pemberian insentif kepada majikan, ataupun membiayai kos cuti bersalin dan cuti paterniti mereka melalui skim insurans keselamatan sosial.
“Dasar sebegini tidak sukar untuk dicontohi kerana negara ASEAN lain seperti Thailand, Indonesia, Filipina, Vietnam, Kemboja, dan Singapura melaksanakan pembiayaan sebahagian kos cuti oleh kerajaan ataupun pertubuhan keselamatan sosial mereka,” katanya.
Pindaan Akta Kerja 1955 sepatutnya mula berkuat kuasa 1 September lalu namun ditangguhkan ke 1 Januari ini selepas pihak industri dan majikan sebulat suara memohon penangguhan atas beberapa faktor termasuk memerlukan sedikit masa berikutan kebanyakannya masih dalam proses pemulihan ekonomi.
Antara kandungan pindaan yang ditangguhkan itu ialah penambahan cuti bersalin daripada 60 hari ke 98 hari, penetapan cuti paterniti tujuh hari, pengurangan waktu kerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam serta aturan kerja fleksibel untuk pekerja.
Sumber : Berita Harian