Terkini
HIV/AIDS: Penggunaan PrEP perlu seiring dengan Kempen “Say No To LGBT”
Penggunaan ubat Pre-exposure prophylaxis (PrEP) yang diberikan kepada penghidap HIV/AIDS sepatutnya diiringi dengan kempen memerangi agenda LGBT.
- Pakar berpendapat penggunaan ubat PrEP yang dicadang diberikan kepada mereka yang mengamalkan homoseksualiti mestilah diiringi dengan kempen memerangi tingkahlaku berisiko tinggi.
- Pensyarah Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan, USIM, Profesor Dr Rafidah Hanim Mokhtar menyeru agar Kementerian Kesihatan Malaysia bekerjasama rapat dengan agensi-agensi khusus untuk berbuat demikian.
- “Agensi-agensi agama kita membantu memotivasikan ramai agar tidak memilih amalan berisiko tinggi ini. Bagaimanapun, perkara itu dihalang oleh mereka yang pro kepada PrEP,” dengan melabelkan agamawan sebagai “bigot” dan menyebarkan kebencian” katanya.
- KKM sepatutnya bekerjasama dengan pihak agama dengan lebih erat bagi menyampaikan mesej ini.
- “Pada saya seorang doktor tidak boleh mengatakan bahawa abstinen dah tak jalan. Tidak boleh menidakkan abstinen sebagai sebahagian daripada prinsip,” kata Dr Rafidah Hanim.
KUALA LUMPUR – Penggunaan ubat Pre-exposure prophylaxis (PrEP) yang diberikan kepada mereka yang mengamalkan homoseksualiti mestilah diiringi dengan kempen memerangi tingkahlaku berisiko tinggi.
Pandangan itu disuarakan Pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Dr Rafidah Hanim Mokhtar yang turut menyeru agensi-agensi khusus berbuat demikian.
“Malangnya sekarang ini kalau kita katakan dari sudut kesihatan, ia tidak diiringi dengan kempen besar-besaran untuk mengatakan tidak kepada homoseksual.
“Agensi-agensi agama kita membantu memotivasikan ramai agar tidak memilih amalan berisiko tinggi ini. Bagaimanapun, perkara itu dihalang oleh mereka yang pro kepada PrEP,” dengan melabelkan agamawan sebagai “bigot” dan menyebarkan kebencian” katanya.
“Ini bermaksud mestilah seiring dengan kempen besar-besaran untuk mengatakan tidak kepada homoseksual dan kempen abstinen,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times di sini hari ini.
Dr Rafidah Hanim berkata kempen abstinen haruslah menjadi tunjang, mencegah HIV bukan hanya untuk membekalkan ubat kepada mereka yang berisiko tinggi seperti homoseksual semata-mata.
Katanya, KKM sepatutnya bekerjasama dengan pihak agama dengan lebih erat bagi menyampaikan mesej ini.
“Masalahnya, tidak wajar berlaku baru-baru ini apabila Malaysian AIDS Council pula kerap mengeluarkan kenyataan mengecam agamawan sebagai menyampaikan ucapan kebencian atau melakukan intimidasi, tanpa kita melihat bahawa itulah posisi agama yang selama ini membantu,” katanya.
Beliau menegaskan nilai agama wajib menjadi motivasi yang kuat untuk seseorang agar menghindari perkara tidak bermoral itu.
“Adalah satu tanggapan yang salah bahawa moraliti itu bukan sebahagian daripada kesihatan.
“Sebaliknya, moraliti sangat berkait rapat dengan kesihatan dan ia dibicarakan secara holistik,” katanya.
Katanya, pemberian PrEP percuma oleh kerajaan bakal meningkatkan kos, sedangkan kerajaan perlu menumpukan kepada kaedah yang lebih berkesan.
“Pada saya seorang doktor tidak boleh mengatakan bahawa abstinen tidak jalan (berkesan). Tidak boleh menidakkan abstinen sebagai sebahagian daripada prinsip.
“Sebab dalam biologi pun abstinen adalah satu prinsip yang ditekankan untuk penyakit-penyakit bawaan seks,” katanya. — The Merdeka Times.