Antarabangsa
Halang bina masjid, penduduk Daehyeon-dong protes guna kepala babi
Penentangan pembinaan masjid di kawasan kejiranan Daehyeon-dong, Daegu, Korea Selatan dilihat seakan tiada kesudahan apabila penduduk setempat sekali lagi melakukan protes menggunakan babi.
- Penduduk Daehyeon-dong mengadakan barbeku babi sempena pesta akhir tahun.
- Sejak pembinaan masjid, penduduk melakukan protes secara berterusan sehingga menggantung sepanduk ucapan kebencian dan Islamofobia seperti “Umat Islam yang bunuh orang dengan kejam dan penggal kepala mereka, keluar dari kawasan ini pengganas!! Sekarang juga!” dan “Islam adalah agama yang jahat yang membunuh manusia.”
- Perkara berlarutan sehingga menjadi kes mahkamah.
DAEGU, 19 Disember 2022 – Penentangan pembinaan masjid di kawasan kejiranan Daehyeon-dong, Daegu, Korea Selatan dilihat seakan tiada kesudahan apabila penduduk setempat sekali lagi melakukan protes menggunakan babi.
Penduduk Daehyeon-dong dilaporkan mengadakan barbeku babi sempena pesta akhir tahun, dua bulan selepas kejadian pembuangan kepala babi di tapak pembinaan masjid tersebut.
Dianggap sengaja melakukan protes, penduduk Daehyeon-dong menafikan perkara tersebut.
Untuk mengelakkan konflik fizikal, Balai Polis Daerah Daegu Utara telah mengerahkan kakitangan daripada pasukan kecemasan supaya bersiap sedia berhampiran tapak pembinaan masjid itu.
Pembinaan masjid baharu itu bermula pada tahun 2020 setelah mendapat kebenaran daripada Pejabat Daerah Buk setelah dimohon oleh sekumpulan pelajar Islam Universiti Kebangsaan Kyungpook.
Pelajar Islam memutuskan untuk membina masjid dua tingkat selepas merobohkan sebuah rumah kecil yang mereka gunakan sebagai tempat ibadah sejak 2014.
Sejak pembinaan masjid tersebut, penduduk melakukan protes secara berterusan sehinggakan ada yang menggantung sepanduk ucapan kebencian dan Islamofobia seperti “Umat Islam yang bunuh orang dengan kejam dan penggal kepala mereka, keluar dari kawasan ini pengganas!! Sekarang juga!” dan “Islam adalah agama yang jahat yang membunuh manusia.”
Perkara ini berlarutan sehingga menjadi kes mahkamah.
Walaupun mahkamah memihak kepada orang Islam, penduduk setempat bercadang untuk membawa kes berkenaan ke Mahkamah Agung.
Sumber : Samudera