Connect with us

Terkini

Sekularisme harus dikikis daripada ideologi ahli politik negara – Prof. Emeritus Tan Sri Dr Kamal Hassan

Sekularisme harus dikikis daripada terus menjadi darah daging politik di Malaysia, kata Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Profesor Emeritus Tan Sri Dr Kamal Hassan.

Hidayah Sani

Published

on

Sekularisme harus dikikis daripada terus menjadi darah daging politik di Malaysia, kata Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Profesor Emeritus Tan Sri Dr Kamal Hassan.
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Sekularisme akan menyebabkan masyarakat Islam tidak boleh memperjuangkan agama dalam politik selain budaya sesebuah masyarakat itu juga hanya bersandarkan nilai-nilai manusia yang relatif.
  • Penerimaan ideologi ini pada penghujungnya akan memperlihatkan konsep ummah itu sendiri tenggelam ekoran konsep nasionalisme ataupun patriotisme menjadi jauh lebih penting daripada ummatisme.
  • “Kita tengok di England, Amerika cara hidup pemimpin mereka, macam mana pemimpin hidup dengan girlfriend dia yang dianggap sebagai isteri walaupun tanpa perkahwinan dan ia diterima.”
  • Trend sekular sememangnya sudah ada dalam dunia politik kita, malah terdapat pemimpin-pemimpin Islam sendiri mempunyai kefahaman nasionalis namun pada masa sama cenderung kepada ideologi barat itu.

KUALA LUMPUR – Sekularisme harus dikikis daripada terus menjadi darah daging politik di Malaysia, kata Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Profesor Emeritus Tan Sri Dr Kamal Hassan.

Ini berikutan, menurutnya sekularisme akan menyebabkan masyarakat Islam tidak boleh memperjuangkan agama dalam politik selain budaya sesebuah masyarakat itu juga akan hanya bersandarkan nilai-nilai manusia yang relatif.

Jelasnya, penerimaan ideologi ini pada penghujungnya akan memperlihatkan konsep ummah itu sendiri tenggelam ekoran konsep nasionalisme ataupun patriotisme menjadi jauh lebih penting daripada ummatisme.

Malah, sesebuah negara itu sendiri tidak akan berupaya menegakkan hukum Allah SWT mahupun syariat-Nya sekaligus menyaksikan para pemimpin tidak lagi terikat dengan agama sebaliknya undang-undang negara.

Katanya, trend sekular sememangnya sudah ada dalam dunia politik kita, malah terdapat pemimpin-pemimpin Islam sendiri yang mempunyai kefahaman nasionalis namun pada masa sama cenderung kepada ideologi barat itu.

Pemimpin-pemimpin itu juga dikatakan mengamalkan cara hidup yang sekular ekoran bagi mereka agama tidak boleh dicampuradukkan dalam politik kerana ia bersifat urusan peribadi.

Menurutnya, pemikiran itu diwarisi daripada zaman penjajahan Inggeris di mana kita dapat menyaksikan terdapat segelintir cendekiawan elit Melayu dan mantan-mantan pentadbir berjawatan tinggi dalam pemerintahan negara berfikiran sebegitu.

Situasi itu merupakan cabaran buat negara Malaysia kerana sehingga ke hari ini pemikiran sekular itu masih ada dalam darah daging politik kita, berikutan itu beliau menyeru agar kita segera mencari jalan penyelesaian supaya pemikiran itu dapat dikikis.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan antara kesan lain bagi mana-mana pihak yang berpegang kepada sekularisme adalah akan berlakunya situasi sepertimana di barat apabila perkahwinan sejenis dianggap normal sedangkan keluarga terdiri daripada berlainan jantina disifatkan kolot.

“Kita tengok di England, Amerika cara hidup pemimpin mereka, macam mana pemimpin hidup dengan girlfriend dia yang dianggap sebagai isteri walaupun tanpa perkahwinan dan ia diterima. 

“Johnson umpamanya, dia menjadi Perdana Menteri England walaupun cara hidup dia  melanggar tatasusila agama. Jadi kepimpinan politik dilepaskan daripada nilai-nilai akhlak dan agama.”

“Kalau negara Islam, seperti negara Turki dulu, dia nak hapuskan pengajaran Al-Quran di sekolah, tukar tulisan Arab kepada rumi, azan ditukar kepada bahasa Turki macam-macam dia nak buat.”

“Jadi Al-Quran dan sunnah tidak boleh menjadi asas kepada kenegaraan sedangkan dalam worldview Islam asas kepada kenegaraan Islam mestilah berteraskan ajaran Al-Quran dan Sunnah,” kata beliau yang juga merupakan penulis bagi buku ‘Korupsi dan Kemunafikan dalam Politik Melayu Perlunya Disegerakan Transformasi Moral-Etika’.

Sementara itu beliau turut mengatakan bahawa mana-mana individu yang mengamalkannya akan menyebabkan mereka gagal menonjolkan nilai-nilai agama malah menolak sebarang ilmu pengetahuan ataupun kebenaran yang datang daripada wahyu kerana sekular sendiri tidak mengiktirafnya.

Jelasnya, pandangan hidup golongan itu hanya bersandarkan kepada falsafah bukannya agama hingga akhirnya pergaulan bebas yang melanggar tatasusila agama itu diterima dan akhlak menjadi sangat relatif iaitu berubah dari semasa ke semasa. 

Justeru, beliau menegaskan mana-mana pihak sepatutnya memahami maksud sebenar sekularisme sama ada dari falsafah mahupun sejarahnya di Eropah dan mengapa ia ditolak oleh dunia Islam.

Katanya, ideologi tersebut dahulu diperkenalkan di Eropah bagi menyelesaikan permasalahan dan isu berkaitan dunia Eropah, kerana itu ia tidak sesuai dipraktikkan umat Islam.

“Dunia Islam mempunyai sejarah, sistem dan penyelesaian sendiri di mana kita perlu mencari solusi diberikan agama bukan penyelesaian dibuat manusia sekular di Eropah.”

“Itu kena faham sejarah itu dan implikasi pemerintahan, dalam politik, ekonomi serta pendidikan. Umat Islam mesti faham bahawa Islam ini bukan hanya sistem agama tapi ia juga merangkumi peradaban dan cultural. Kefahaman Islam itu mestilah diperbetulkan oleh umat Islam itu sendiri,” kata beliau pada Isnin.

Beliau turut menambah misalnya agama seperti Kristian ataupun Yahudi dapat mengamalkan sekularisme berkemungkinan ia tiada masalah namun sekiranya ia terkait agama Islam maka jawapannya tidak boleh.

Jelasnya, “Agama Islam bukan sekadar hanya mempunyai rukun iman ataupun rukun Islam semata-mata sebaliknya ia merangkumi seluruh cara hidup manusia, dari segi agama, ekonomi, pentadbiran, politik, pengurusan, mahupun perhubungan antarabangsa. 

“Dalam dunia sekular yang wahyu itu tidak dipakai, ia ditolak. Yang dipakai hanya pemikiran manusia.”  -The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *





Antarabangsa

(VIDEO) Israel negara zionis, bukannya negara Yahudi – Rabbi Yisroel Dovid Weiss

Israel adalah negara zionis dan bukannya sebuah negara Yahudi, kata Rabbi Yisroel Dovid Weiss.

A.R. Khan

Published

on

Foto: Rabbi Yahudi, Yisroel Dovid Weiss (kiri) & Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu (kanan).

KUALA LUMPUR – Israel adalah negara zionis dan bukannya sebuah negara Yahudi, kata Rabbi Yisroel Dovid Weiss.

Rabbi Yahudi itu yang juga Aktivis dan Jurucakap Neturei Karta berkata, ini kerana penubuhan negara haram itu adalah tindakan jahat gerakan zionis dan sebenarnya tiada kaitan dengan agama Yahudi.

Neturei Karta adalah organisasi antarabangsa Yahudi Ortodoks anti-Zionis.

“Berhati-hati, jangan panggil ia satu negara Yahudi, jangan kata ia Yahudi, kerana itulah apa yang Netanyahu dan negara jahat mereka mahukan, panggil ia zionisme negara Israel. Dan bezakan dengan jelas antara agama Yahudi dan negara (zionis itu),” katanya ketika berucap di Persidangan Coalition of Malaysian Non-Governmental Organisation: Free Palestine Colloquium di Perdana Leadership Foundation, Putrajaya, dekat sini semalam.

Turut hadir bekas Menteri Luar, Tan Sri Rais Yatim; Bekas Penolong Setiausaha Agung PBB, Dr Hans-Christof von Sponeck; Calon Hadiah Keamanan Nobel 2024, Dr Maung Zarni; dan Pengerusi Boycott, Divestment and Sanctions (BDS) Malaysia, Prof Dr Mohd Nazari Ismail.

Ditanya pandangannya mengenai kumpulan Palestin sama ada ia adalah gerakan berasaskan politik atau agama, Rabbi Yahudi itu menjawab apa sahaja tujuan mereka, tindakan menghukum dan mengganggu urusan kumpulan Palestin tidak sepatutnya berlaku.

Beliau berkata kumpulan Palestin tidak membenci Yahudi tetapi yang menentang Yahudi dan penduduk Palestin adalah kerajaan pendudukan haram zionis.

“Rakyat Palestin, itu tanah mereka dan apa sahaja yang mereka lakukan, kamu tidak pergi gali ke dalam hati dan jiwa negara lain, tanya apa yang mereka lakukan, mengapa mereka melakukannya, mengapa dilakukan? apa kerajaannya? itu bukan urusan kita.

“Itu Palestin (yang merupakan) milik rakyat Palestin. Dan orang Yahudi sejak hari pertama, saya boleh tunjukkan kepada kamu, apabila mereka melantik presiden PLO (Yasser Arafat) yang menubuhkan Pihak Berkuasa Palestin.

“Salah seorang Rabbi kami adalah wakil Yahudi di dalam Pihak Berkuasa Palestin. Kamu perlu tahu zionis tuang asid ke wajahnya, butakan sebelah matanya. 

“Ini ketika kami di Gaza, kami bertemu Ismail Haniyeh ketika dia Perdana Menteri, dan dia juga menyambut kami, dia berkata, “Kami tidak menentang Yahudi,” dan mereka juga berhati-hati kerana mereka harus membezakan, mereka tidak menentang Yahudi atau agama Yahudi, tetapi hanya menentang pendudukan (haram zionis),” kata Yisroel.

Dalam penjelasannya, Rabbi Yahudi itu turut menunjukkan gambar aktiviti dan protes ribuan ahli organisasi antarabangsa Yahudi Ortodoks anti-Zionis di sekitar Washington dan Jerusalem.

Organisasi itu turut menegaskan bahawa negara haram Israel tidak layak mentadbir tanah suci Baitulmaqdis dan Netanyahu serta kerajaan Israel tidak sama sekali mewakili dunia Yahudi secara keseluruhannya. – The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending