Terkini
Pilih pemimpin beragama – Timbalan Presiden Buddhist Maha Vihara
Setiap agama punya pendapat dan cara dalam menilai ciri-ciri kepimpinan seseorang, begitu juga agama Buddha.

Setiap agama punya pendapat dan cara dalam menilai ciri-ciri kepimpinan seseorang, begitu juga agama Buddha.
Menurut Timbalan Presiden Buddhist Maha Vihara, A. Hemadasa, adalah lebih baik jika seseorang pemimpin itu dipilih dari kalangan mereka yang mempunyai pegangan agama. Hal ini disebabkan, baginya seorang pemimpin yang mempunyai pegangan agama pasti mempunyai hala tuju yang baik dan jelas, kerana setiap agama telah menyediakan garis panduan untuk menjadi seorang individu yang lebih bermoral dan berdisiplin.
“Tak kisah lah agama apa pun, semua agama pun mengajar perkara yang baik. Tetapi adakah seseorang itu betul-betul berpegang pada agamanya? Tidak ada guna juga jika seseorang pemimpin beragama tapi hanya sekadar ‘label’. Dia perlu betul-betul berpegang pada ajaran agamanya dan melaksanakanya dalam kepimpinannya, baru lah dia boleh dianggap seorang pemimpin yang baik”.
Jelas beliau terdapat lima prinsip asas yang perlu diambil kira dalam memilih seorang ketua atau pemimpin. Prinsip itu ialah tidak boleh membunuh, tidak boleh mencuri, tidak boleh melakukan zina, tidak boleh menyakiti secara lisan, dan tidak boleh mengambil terlalu banyak bahan terlarang seperti dadah dan arak.
“Ini adalah perkara-perkara yang sangat asas yang jika seseorang pemimpin itu patuhi, maka ia akan menjadi tauladan yang baik kepada pengikut-pengikutnya” katanya ketika di hubungi The Merdeka Times.
Menilai pemimpin dari sudut pandang penganut Kristian
Dalam pada itu, bagi agama Kristian, menjadi seorang pemimpin itu bukan sekadar untuk mendapatkan kuasa semata-mata, tetapi untuk berusaha dengan sepenuh daya supaya kuasa dapat digunakan untuk tujuan yang benar dan adil serta bagaimana menghubungkan moral dengan kuasa agar dapat memperbaiki masyarakat dengan berhasil.
Menurut Tomy Nuing yang merupakan seorang Pelayanan Kasih Jesus agama Kristian (penyampai ilmu agama Kristian), definisi menjadi seorang ketua atau pemimpin ialah pelaksanaan kuasa manusia ke atas manusia lain, dan itu merupakan sebahagian daripada lumrah hidup yang telah ditentukan oleh Tuhan. Dalam kitab Injil yang menjadi pegangan penganut Kristian ada menyebut “Tidak ada pemerintah yang tidak berasal dari Allah” (Roma 13:1).
“Kunci dari kepimpinan yang berjaya adalah pengaruh, bukan kekuasaan. Pengaruh diertikan di sini tentang teladan hidup, bagaimana seorang pemimpin mampu menjadi berkat dan kesaksian yang baik, menjadi contoh bagi orang yang dipimpin” kata Tomy ketika dihubungi The Merdeka Times.
Dalam pada itu, dia turut bersetuju jika seseorang pemimpin perlu dipilih dari kalangan mereka yang mempunyai pegangan agama berbanding dari kalangan yang tidak berpegang kepada mana-mana agama. Baginya, setiap ajaran dari mana-mana agama telah memberikan landasan yang betul untuk diikuti oleh penganutnya agar tidak mudah terpengaruh dengan duniawi.
“Rasa takut akan Tuhan dan melakukan apa yang Tuhan telah firmankan dalam kitabNya menjadi tanggungjawab semua pemimpin yang telah dipilih agar tidak melakukan sebarang keputusan yang salah.
“Jika Tuhan ada di dalam hati setiap pemimpin maka untuk berbuat salah atau dosa tidak akan berlaku kerana dosa adalah kebencian bagi Tuhan” tambahnya.
Menjadi seorang pemimpin bukanlah satu tanggungjawab yang boleh dipandang ringan, apatah lagi jika kepimpinan tersebut berskala besar dan melibatkan pengikut yang ramai. Oleh itu, pemilihan seseorang pemimpin itu perlu mengambil kira banyak perkara, bukan sekadar menilai kebolehannya memimpin semata-mata. Namun, pegangan agama merupakan aspek yang sangat penting dalam menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin.
Bagaimana seseorang mampu memimpin dengan baik dan adil jika mereka hidup dalam ketiadaan batas? Setiap agama telah memberi garis panduan kepada penganutnya, dan menerangkan yang setiap tindakan pasti ada akibatnya. Jika seseorang pemimpin tiada pegangan agama, maka dia tiada rasa takut kepada Tuhan. Jika arahan Tuhan juga boleh diambil ringan, bagaimana dia sendiri mahu menjangkakan orang bawahannya untuk mengikuti peraturan yang telah dia tetapkan sebagai pemimpin? Persoalan beliau mengakhiri sesi temuramah bersama The Merdeka Times.
