Terkini
Mahkamah Tinggi benar permohonan Thomas batal saman Najib
Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan bekas peguam negara Tommy Thomas untuk membatalkan saman Najib Razak terhadapnya berhubung dakwaan salah laku sebagai penjawat awam.
- Mahkamah Tinggi hari ini benarkan permohonan Tommy Thomas batal saman Najib Razak terhadapnya berhubung dakwaan salah laku sebagai penjawat awam.
- Peguam negara mempunyai budi bicara untuk memulakan, mengurangkan dan menarik balik pertuduhan terhadap orang yang dituduh di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan. – Hakim Ahmad Bache.
- Saman yang dibuat oleh bekas PM itu jelas tidak dapat dipertahankan dan harus dibatalkan.
- Najib Razak telah memfailkan saman terhadap Thomas tahun lalu, dengan mendakwa pertuduhan jenayah berkaitan 1MDB.
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan bekas peguam negara Tommy Thomas untuk membatalkan saman Najib Razak terhadapnya berhubung dakwaan salah laku sebagai penjawat awam.
Hakim Ahmad Bache berkata peguam negara mempunyai budi bicara tanpa batasan untuk memulakan, mengurangkan dan menarik balik pertuduhan terhadap orang yang dituduh seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.
“Peguam negara mempunyai imuniti daripada disaman kerana menjalankan tugasnya. Tindakannya juga tidak boleh diadili,” kata hakim.
Oleh itu, Ahmad berkata, saman bekas perdana menteri itu jelas tidak dapat dipertahankan dan harus dibatalkan.
Najib memfailkan saman terhadap Thomas tahun lalu, dengan mendakwa pertuduhan jenayah berkaitan 1MDB terhadapnya adalah “sebahagian daripada satu perbuatan yang telah dirancang lama dan dirangka awal” oleh bekas kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Beliau mendakwa Thomas, yang dilantik sebagai peguam negara pada 4 Jun 2018, melaksanakan tugasnya “selaras dengan rancangan (itu)”.
Thomas meletak jawatan sebagai peguam negara pada 28 Feb 2020, susulan kejatuhan kerajaan PH.
Dalam permohonannya, Thomas mendakwa saman itu difailkan untuk tujuan kolateral, iaitu, “untuk digunakan dalam kempen (Barisan Nasional) menjelang pilihan raya negeri Melaka November lalu dan untuk pilihan raya umum (PRU15)”.
BERITA LANJUT MENYUSUL
Sumber: Free Malaysia Today