Connect with us

Terkini

Fathi Na’im mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan rogol, amang seksual

Seorang penceramah bebas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas sembilan pertuduhan merogol, amang seksual dan melakukan hubungan seks dengan objek terhadap seorang remaja antara Jun 2021 dan Februari lepas.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Fathi Na’im mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan rogol, amang seksual
  • Muhammad Fathi Na’im Mazlam, 30, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas sembilan pertuduhan merogol, amang seksual dan melakukan hubungan seks dengan objek terhadap seorang remaja antara Jun 2021 dan Februari lepas.
  • Bagi kesalahan merogol dan melakukan amang seksual, bapa lapan anak itu didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017, masing-masing memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.
  • Bagi kesalahan melakukan hubungan seks dengan objek, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang bawa kepada hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
  • Tertuduh diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan serta syarat tambahan perlu laporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali serta tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
  • Mahkamah tetapkan 10 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes.

KLANG – Seorang penceramah bebas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas sembilan pertuduhan merogol, amang seksual dan melakukan hubungan seks dengan objek terhadap seorang remaja antara Jun 2021 dan Februari lepas.

Muhammad Fathi Na’im Mazlam, 30, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Fathi Naim, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Syafeera Mohd Said.

Mengikut pertuduhan, suami kepada tiga isteri itu didakwa terhadap tujuh pertuduhan merogol dan masing-masing satu bagi pertuduhan melakukan amang seksual serta hubungan seks dengan objek terhadap seorang remaja perempuan yang kini berusia 14 tahun.

Dia didakwa melakukan kesemua perbuatan itu dalam sebuah kereta jenis Toyota Vellfire di hadapan surau dan di parkir Dataran Eco World selain dalam sebuah hotel di sekitar Bandar Puncak Alam dekat sini, antara Jun 2021 dan Februari lepas.

Bagi kesalahan merogol dan melakukan amang seksual, bapa lapan anak itu didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017, masing-masing memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan melakukan hubungan seks dengan objek, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Ku Hayati Ku Haron yang juga merupakan Pengarah Pendakwaan Selangor menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

“Saya juga memohon mahkamah mengenakan syarat tambahan supaya tertuduh dilarang mendekati dan menghubungi mangsa dalam kes ini,” katanya yang turut dibantu TPR Aqharie Durranie dan TPR Nurul ‘Izzati Mohamad.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Samry Masri merayu kepada mahkamah agar anak guamnya dikenakan jaminan rendah iaitu mengikut kes dan bukan mengikut pertuduhan yang dituduh dengan alasan lelaki itu adalah penanggung utama keluarga.

“Sebelum ditangkap tertuduh adalah penceramah bebas dan selepas kes ini tular, dia hilang punca pendapatan. Tertuduh juga mempunyai tiga isteri dan lapan anak berusia satu hingga 11 tahun selain menanggung kedua-dua ibu  bapa yang telah tua.”

“Selain itu, tertuduh kini menghidapi sakit ‘slipped disc’ dan sedang menjalani rawatan dari semasa ke semasa,” katanya.

Syafeera kemudian membenarkan Muhammad Fathi Na’im diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan serta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali serta tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 10 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes. – Bernama

Sumber : Sinar Harian

 

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *