Connect with us

Terkini

RUU Antigangguan Seksual 2021: Pelaku boleh diperintah bayar pampasan maksimum RM250,000!

Rang Undang-Undang Antigangguan Seksual 2021 (AGS 2021) dibentang untuk bacaan kali kedua dan dibahas oleh Ahli Parlimen pada persidangan Dewan Rakyat pada Selasa.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Antigangguan seksual - rina harun
Foto: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.
  • RUU Antigangguan Seksual (AGS 2021) bertujuan mewujudkan Akta untuk memperuntukkan suatu hak tebus rugi bagi mana-mana orang yang diganggu secara seksual.
  • Menerusi akta tersebut, suatu award boleh dikeluarkan tribunal termasuk memerintah responden mengeluarkan pernyataan maaf kepada pengadu dan membayar pampasan atau ganti rugi yang tidak melebihi RM250,000 atas kehilangan atau kerosakan ditanggung pengadu.
  • Tribunal ini menggalakkan kesedaran tentang gangguan seksual sekaligus mewujudkan peruntukan bagi perkara yang berkaitan dengannya.
  • Ia dibahaskan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun pada Selasa dan dijangka bersambung hari ini.

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Antigangguan Seksual 2021 (AGS 2021) dibentang untuk bacaan kali kedua dan dibahas oleh Ahli Parlimen pada persidangan Dewan Rakyat pada Selasa.

Rang undang-undang tersebut bertujuan mewujudkan Akta memperuntukkan suatu hak tebus rugi bagi mana-mana orang yang diganggu secara seksual.
Penubuhan Tribunal bagi Antigangguan Seksual; menggalakkan kesedaran tentang gangguan seksual sekaligus mewujudkan peruntukan bagi perkara yang berhubungan dengannya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berkata Akta AGS 2021 memperuntukkan kuasa tribunal yang ditubuh antaranya membuat suatu award termasuk perintah bagi responden mengeluarkan suatu pernyataan permohonan maaf kepada pengadu, sepertimana yang dilaporkan media semalam.

“Tribunal juga boleh memerintahkan responden membayar pampasan atau ganti rugi yang tidak melebihi RM250,000 bagi apa-apa kehilangan atau kerosakan yang ditanggung oleh pengadu,” ujarnya semasa membentang rang undang-undang tersebut.

Rina berkata, sebarang award yang diperintahkan oleh Tribunal bagi Antigangguan Seksual disifatkan sebagai suatu perintah mahkamah dan ketidakpatuhan terhadapnya boleh dikenakan penalti jenayah.

Menurutnya, terdapat juga peruntukan untuk semua perbicaraan di hadapan tribunal dijalankan secara tertutup tanpa penglibatan orang awam.

“Hasil soal selidik yang dijalankan pada 1 Januari hingga 15 Julai tahun ini berhubung rang undang-undang itu mendapati lebih daripada 87 peratus responden bersedia untuk melaporkan kes gangguan seksual kepada tribunal di masa hadapan,” jelas Rina.

Katanya, dapatan tersebut berbeza dengan hasil soal selidik pada tahun 2019 yang menunjukkan majoriti 93.7 peratus responden memilih untuk tidak membuat laporan kepada pihak berkuasa kerana takut atau malu untuk melaporkannya.

Sementara itu, Hannah Yeoh (PH-Segambut) yang turut membahaskan rang undang-undang itu mencadangkan agar laporan dibuat media diberikan garis panduan untuk memastikan maklumat pengadu tidak didedahkan terutama melibatkan pengadu yang berusia muda.

“Peruntukan untuk memberikan kaunseling kepada mangsa juga perlu disediakan agar mereka yang terjejas dari segi emosi boleh memulihkan semangat mereka,” katanya.

Difahamkan menerusi laporan Bernama persidangan tersebut dijangka akan bersambung pada hari ini.

Sumber : Bernama

Author