Otomobil
Proton perkenal pemasangan enjin teknologi tinggi baharu
Proton perlu menunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa ia mampu membina produk berkualiti tinggi yang boleh dipercayai, jadi pihaknya bersedia untuk setiap kemungkinan, katanya.

- PROTON perkenalkan barisan pemasangan enjin baharu dan berteknologi tinggi dengan keupayaan menghasilkan enjin 1.5 TGDI (Suntikan Terus Gasolin Turbo) di kilang automotifnya di Tanjung Malim.
- Ini kali pertama enjin 1.5 TGDI dipasang di luar China dan ia antara barisan pemasangan enjin automotif tercanggih di Malaysia.
- Projek itu sebahagian daripada RM1.8 bilion diperuntukkan PROTON untuk menaik taraf kemudahannya di Tanjung Malim.
TANJUNG MALIM: Pembuat kereta nasional, Proton Holdings Bhd memperkenalkan barisan pemasangan enjin baharu dan berteknologi tinggi yang berupaya menghasilkan enjin 1.5 TGDI (Suntikan Terus Gasolin Turbo) untuk pasaran tempatan dan eksport.
Barisan pemasangan, yang berada di kemudahan enjin dan rangkaian kuasa Proton di sini, meliputi kawasan seluas 18,000 meter persegi dan mempunyai kapasiti maksimum semasa sebanyak 180,000 unit enjin apabila beroperasi dalam tiga syif.
Ini buat kali pertama enjin 1.5 TGDI dipasang di luar China dan merupakan antara barisan pemasangan enjin automotif tercanggih di negara ini.
Projek itu juga merupakan sebahagian daripada RM1.8 bilion yang diperuntukkan oleh Proton untuk menaik taraf kemudahannya di sini.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata barisan pemasangan enjin baharu itu menunjukkan pihaknya mengotakan janji kepada pihak berkepentingannya.
“Apabila perjanjian dibuat untuk bekerjasama dengan Geely pada 2017, antara komitmen kami adalah melabur dalam industri automotif Malaysia dari segi kewangan dan melalui pengenalan komponen baharu berteknologi tinggi.
“Barisan pemasangan baharu ini memenuhi syarat ini di samping memberi laluan kepada Proton untuk menarik dan membangunkan bakat muda yang akan membantu memacu industri automotif dan Proton pada masa hadapan,” katanya kepada pemberita semasa lawatan ke kilang Proton di sini, pada Selasa.
Beliau berkata kualiti merupakan keutamaan barisan pemasangan enjin baharu Proton.
Proton perlu menunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa ia mampu membina produk berkualiti tinggi yang boleh dipercayai, jadi pihaknya bersedia untuk setiap kemungkinan, katanya.
Roslan berkata selain langkah pemantauan kualiti yang digunakan pada barisan pemasangan, Proton turut bekerjasama rapat dengan rakan sejawatan di Geely.
“Ini untuk menyelesaikan masalah dan berkongsi amalan terbaik dalam usaha kami menghasilkan enjin bertaraf dunia,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Kejuruteraan Pembuatan, Rangkaian Kuasa Proton, Mohamad Karim Mansor berkata kilang enjin 1.5 TGDi itu kini beroperasi pada kadar automasi sebanyak 47 peratus.
Beliau berkata ia sepadan dengan beberapa operasi kilang Geely di Baoji, China, yang semua barisan pengeluaran adalah automatik sepenuhnya.
“Barisan pemasangan enjin berteknologi tinggi di sini direka untuk mampu menghasilkan sehingga 300,000 unit (enjin) setahun, apabila tiba masanya,” katanya.
Mengetengahkan 88 stesen yang terdiri daripada 17 stesen automatik, 15 separa automatik dan 56 stesen manual, barisan pemasangan 1.5 TGDi dibina menggunakan pendekatan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dengan menampilkan tahap automasi yang tinggi untuk meningkatkan produktiviti.
Kilang ini juga menggunakan teknologi Internet Pelbagai Benda (IoT) dalam bentuk alat pengumpulan dan analisis data intensif untuk memastikan kualiti memenuhi piawaian.
1.5 TGDi tiga silinder dan variannya setakat ini telah digunakan dalam lebih 750,000 kenderaan yang dijual di seluruh dunia.
Menerusi penggunaan penyelesaian seperti pengecilan saiz enjin, sistem termal dan pelinciran yang dioptimumkan, pengecas turbo inersia rendah serta GDI yang dihomogenkan, prestasi pasangan enjin dengan penggunaan bahan api dan pelepasan yang berkurangan telah memenuhi syarat Euro 6.
Sumber : Bernama

Otomobil
Chery Malaysia lancar Tiggo 8Pro, Omoda 5 serentak
Chery Malaysia telah melancarkan dua model kenderaan utiliti sukan (SUV), Tiggo 8Pro dan Omoda 5 serentak, malam tadi.

- Chery Malaysia melancarkan dua model kenderaan utiliti sukan (SUV), Tiggo 8Pro dan Omoda 5 serentak, malam tadi.
- Menurut Naib Presidennya, Wen Hsiang, dua varian ditawarkan untuk Omoda 5 pada harga bermula RM108,800 manakala hanya satu varian ditawarkan untuk Tiggo 8Pro pada harga RM 159,800.
- Turut hadir melancarkan, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
- “Bagi 3,000 pelanggan pertama akan menerima waranti enjin selama 10 tahun atau satu juta kilometer perjalanan,” tambahnya.
KUALA LUMPUR – Chery Malaysia telah melancarkan dua model kenderaan utiliti sukan (SUV), Tiggo 8Pro dan Omoda 5 serentak, malam tadi.
Menurut Naib Presidennya, Wen Hsiang, dua varian ditawarkan untuk Omoda 5 pada harga bermula RM108,800 manakala hanya satu varian ditawarkan untuk Tiggo 8Pro pada harga RM 159,800.
“Harga yang kompetitif ini menggambarkan komitmen kami untuk menjadikan kecemerlangan dapat dicapai, menawarkan pelanggan kami kenderaan yang luar biasa yang menggabungkan gaya, prestasi dan nilai.
“Nilai luar biasa ini membolehkan pelanggan kami menikmati kemewahan, kecanggihan dan ciri canggih SUV yang luar biasa ini,” katanya ketika majlis pelancaran model itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, malam tadi.
Turut hadir melancarkan, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Tambahnya, Chery juga menawarkan waranti kenderaan selama tujuh tahun atau 150,000 kilometer (km) perjalanan.
“Bagi 3,000 pelanggan pertama akan menerima waranti enjin selama 10 tahun atau satu juta kilometer perjalanan,” tambahnya. –
Sumber: Kosmo
-
Terkini4 days ago
(VIDEO) ‘Saya tidak pilih Islam, Islam pilih saya’ – Mualaf
-
Terkini3 days ago
KPDN anjur Jualan Rahmah Beras esok
-
Terkini1 day ago
Samakan pakai seluar pendek dengan dosa minum arak, media Cina cuba kelirukan masyarakat
-
Antarabangsa3 days ago
Model pakai mini skirt tertera dua kalimah syahadah