Connect with us

Terkini

Fatwa bunuh Trump dan Netanyahu dapat sokongan 10 ulama, kutip dana USD20 juta

WhatsApp
Facebook0
Twitter

Published

on

Foto: Presiden AS, Donald Trump (kiri) & Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu (kanan).
  • Sepuluh ulama Iran mengeluarkan surat terbuka, merujuk kepada Trump dan Netanyahu sebagai “kafir yang memerangi”, satu istilah yang merujuk kepada orang bukan Islam yang memerangi umat Islam dan layak dihukum mati.
  • Seorang lagi ulama lantikan kerajaan di Wilayah Azarbaijan Barat, Iran, mengumumkan ganjaran 100 bilion toman (sekitar USD1.14 juta) kepada sesiapa yang membunuh Trump.
  • Sebuah laman web Iran, thaar.ir, mendakwa sedang menjalankan kempen awam untuk mengumpul dana bagi membiayai pembunuhan Trump dan baru-baru ini memaparkan kutipan melebihi USD20 juta.

TEHRAN – Fatwa dikeluarkan dua ulama kanan Iran yang menyeru pembunuhan Donald Trump dan Benjamin Netanyahu dilaporkan telah mendapat sokongan kira-kira 10 orang ulama lain serta didakwa menarik kutipan dana secara dalam talian.

Sepuluh ulama yang dilantik kerajaan telah mengeluarkan surat terbuka, merujuk kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebagai “kafir yang memerangi”, satu istilah yang merujuk kepada orang bukan Islam yang berperang dengan umat Islam dan layak dihukum mati.

Dalam satu ucapan dalam bahasa Azeri, seorang lagi ulama lantikan kerajaan di Wilayah Azarbaijan Barat, Iran, mengumumkan ganjaran sebanyak 100 bilion toman (sekitar USD1.14 juta) kepada sesiapa yang membunuh Trump, lapor Iran International.

“Kami akan beri 100 bilion toman kepada sesiapa yang membawa kepala Trump,” kata Mansour Emami, pengarah wilayah bagi Pertubuhan Penyebaran Islam Rasmi di Azarbaijan Barat.

Sebuah laman web Iran, thaar.ir, mendakwa sedang menjalankan kempen awam untuk mengumpul dana bagi membiayai pembunuhan Trump. Laman itu baru-baru ini memaparkan kutipan melebihi USD20 juta.

Tiada pengesahan rasmi mengenai kesahihan jumlah tersebut.

Dalam satu temu bual dengan personaliti media AS Tucker Carlson yang disiarkan pada hari Isnin, Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, menidakkan perkara itu dengan menyatakan bahawa ia tidak ditujukan kepada mana-mana individu tertentu.

“Setakat yang saya tahu, mereka tidak mengeluarkan fatwa terhadap mana-mana individu atau terhadap Donald Trump. Ia tiada kaitan dengan kerajaan Iran atau Pemimpin Tertinggi Iran,” kata Masoud.

Bulan lalu, Alireza Panahian, seorang ulama Iran yang rapat dengan Pemimpin Tertinggi Iran, menyeru umat Islam untuk membunuh Trump dan Netanyahu sebagai balasan terhadap ancaman mereka terhadap nyawa Ayatollah Ali Khamenei semasa perang 12 hari.

Ayatollah Naser Makarem Shirazi dan Ayatollah Hossein Nouri Hamedani sebelum ini juga pernah mengeluarkan fatwa berasingan terhadap Trump dan Netanyahu.

Ahmad Alamolhoda, wakil Khamenei di Wilayah Razavi Khorasan, pada hari Isnin menyatakan sokongan terhadap fatwa dua ulama tersebut.

“Melabelkan mereka yang menghina atau mencemari kesucian Pemimpin Tertinggi sebagai murtad dan musuh Tuhan akan mengukuhkan asas Republik Islam dan Revolusi,” kata Ahmad.

Pada tahun 1989, bekas pemimpin Iran, Ayatollah Ruhollah Khomeini, telah mengeluarkan fatwa terhadap penulis British, Salman Rushdie, kerana didakwa menghina Islam dalam novelnya The Satanic Verses.

Walaupun hidup di bawah kawalan keselamatan yang ketat selama beberapa dekad, Rushdie telah ditikam dan buta sebelah mata oleh seorang penyerang di New York pada tahun 2022 yang dikaitkan secara meluas dengan fatwa Ayatollah Ruhollah. – The Merdeka Times

Author