Terkini
Young Syefura seru penstrukturan semula sistem kesihatan awam secara holistik

- Dalam sebuah kenyataan, beliau mendedahkan bahawa Malaysia kini berdepan defisit sebanyak 10,798 doktor pakar, dengan kekurangan tertinggi melibatkan doktor pakar perubatan keluarga.
- Menjelang tahun 2030, unjuran menunjukkan keperluan sebanyak 79,931 doktor, termasuk 22,435 doktor pakar diperlukan untuk memenuhi permintaan sistem kesihatan negara.
- “Kemampanan kewangan kesihatan awam perlu diperkukuh dengan meningkatkan perbelanjaan kesihatan kita kepada 5 peratus daripada KDNK negara seperti mana yang telah dinyatakan di dalam Kertas Putih Kesihatan. Ini termasuk menilai semula struktur fi semasa di fasiliti kesihatan berdasarkan kemampuan serta meneroka dengan lebih meluas kerjasama sektor-awam swasta dalam memberikan khidmat kesihatan,” jelasnya.
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen DAP, Young Shefura Othman menggesa agar sistem kesihatan awam negara distruktur semula secara menyeluruh bagi menangani krisis kekurangan doktor pakar dan ketidakmampanan kewangan sektor tersebut.
Dalam sebuah kenyataan, beliau mendedahkan bahawa Malaysia kini berdepan defisit sebanyak 10,798 doktor pakar, dengan kekurangan tertinggi melibatkan doktor pakar perubatan keluarga.
Menjelang tahun 2030, unjuran menunjukkan keperluan sebanyak 79,931 doktor, termasuk 22,435 doktor pakar diperlukan untuk memenuhi permintaan sistem kesihatan negara.
“Kemampanan kewangan kesihatan awam perlu diperkukuh dengan meningkatkan perbelanjaan kesihatan kita kepada 5 peratus daripada KDNK negara seperti mana yang telah dinyatakan di dalam Kertas Putih Kesihatan.
“Ini termasuk menilai semula struktur fi semasa di fasiliti kesihatan berdasarkan kemampuan serta meneroka dengan lebih meluas kerjasama sektor-awam swasta dalam memberikan khidmat kesihatan,” jelasnya.
Young Shefura turut menekankan perlunya kerjasama rentas kementerian bagi merancang keperluan tenaga kerja kesihatan secara lebih menyeluruh.
Beliau mengimbas kembali krisis lambakan graduan perubatan suatu ketika dahulu yang menyebabkan kewujudan sistem doktor kontrak.
Kini, katanya, bilangan pelajar perubatan mula menyusut, sekali gus memburukkan lagi unjuran kekurangan doktor pakar.
Langkah penambahbaikan seperti pendaftaran pakar melalui parallel pathway dan cadangan pengurangan tempoh housemanship kepada setahun perlu diiringi dengan jaminan penempatan serta budaya kerja yang sihat.
“Kita memerlukan pendekatan “whole-of-nation” dalam menggalakkan pencegahan berbanding rawatan.
“Ini termasuklah kempen kesihatan dan budaya hidup sihat yang memerlukan pendekatan menyeluruh yang struktural seperti sistem budaya kerja yang seimbang , persekitaran perumahan yang sihat seperti taman permainan dan sebagainya, akses terhadap makanan sihat yang berpatutan serta tersedia secara meluas,” ujar beliau.
Menurut beliau, pencegahan perlu dijadikan asas utama dalam sistem kesihatan negara bagi mengurangkan tekanan kos yang berpunca daripada penyakit tidak berjangkit seperti diabetes dan hipertensi.
Young Shefura turut mengingatkan jika isu-isu ini tidak ditangani secara sistemik dan holistik, sektor kesihatan awam negara akan terus dihimpit masalah kekurangan sumber manusia, beban kerja melampau, dan penghijrahan tenaga mahir ke luar negara. -The Merdeka Times
