Antarabangsa
Bekas tawanan Hamas dedah jadi mangsa rogol jurulatih kecergasan terkenal Israel

- Mia Schem menjelaskan dia membuat laporan polis pada Mac lalu terhadap jurulatih tersebut atas dakwaan merogolnya di rumahnya sendiri.
- Bagaimanapun identiti mangsa dan suspek ketika itu tidak dapat didedahkan atas perintah larangan siar.
- Dalam laporannya, Schem mendakwa jurulatih itu telah meletakkan bahan dadah ke dalam minumannya sebelum merogolnya.
TEL AVIV – Pernah membuat tuduhan kononnya mengalami gangguan seksual ketika ditawan Hamas selama 54 hari pada 7 Oktober 2023, Mia Schem, 23, hari ini mendedahkan dia menjadi mangsa rogol jurulatih kecergasan terkenal Israel.
Dalam satu wawancara bersama Channel 12 yang akan disiarkan penuh pada malam Sabtu, Schem menjelaskan dia membuat laporan polis pada Mac lalu terhadap jurulatih tersebut atas dakwaan merogolnya di rumahnya sendiri.
Bagaimanapun menurut Times of Israel, identiti mangsa dan suspek ketika itu tidak dapat didedahkan atas perintah larangan siar.
Menurut kenyataan Schem, dia membuat keputusan untuk tampil secara terbuka selepas menyedari bahawa dia “bukan orang yang perlu bersembunyi”.
Dalam laporannya, Schem mendakwa jurulatih itu telah meletakkan bahan dadah ke dalam minumannya sebelum merogolnya.
Seorang rakannya kemudian menemui Schem dalam keadaan keliru dan tidak ingat apa yang berlaku.
Suspek lelaki berusia 30-an itu telah ditahan pada akhir Mac. Rumahnya digeledah dan peralatan elektronik miliknya dirampas.
Namun, dia telah dibebaskan daripada tahanan polis sementara siasatan masih berjalan.
Channel 12 turut melaporkan bahawa terdapat beberapa percanggahan dalam kenyataan yang diberikan oleh jurulatih itu.
Malah, laporan dari portal Ynet mendedahkan bahawa beliau beberapa kali gagal dalam ujian poligraf, termasuk ketika ditanya soalan berkaitan serangan seksual.
Jurulatih tersebut dikatakan seorang personaliti media sosial yang terkenal dan mempunyai beberapa klien selebriti, termasuk seorang bekas Perdana Menteri Israel.
Schem mendakwa jurulatih tersebut memasuki biliknya ketika dia sedang menukar pakaian.
Pada mulanya, lelaki itu menafikan memasuki bilik tersebut, tetapi kemudian mengubah keterangannya dengan alasan ingin melihat alamat rumah untuk diberikan kepada seorang lagi rakan mereka.
Namun, berdasarkan bukti, dia sudah pun menerima alamat tersebut melalui pesanan teks sebelum itu.
Dalam siasatan, Schem berkata kepada jurulatih itu: “Saya mamai selama tiga hari kerana kamu.” Beliau juga menunjukkan lima bukti fizikal yang menunjukkan tanda-tanda serangan seksual – tiga daripadanya masih kelihatan di tubuhnya dan dua lagi dikesan semasa pemeriksaan perubatan.
Sementara itu, jurulatih tersebut terus menegaskan bahawa dia tidak bersalah, malah menangis ketika disoal siasat.
Dia dilaporkan berkata: “Tiada sentuhan seksual. Saya bersumpah atas nyawa saya. Saya ada keluarga, isteri dan anak perempuan. Saya cuma mahu mimpi ngeri ini berakhir.”
Seorang ahli keluarga suspek turut mempertahankan beliau dan menyatakan bahawa semua dakwaan adalah palsu.
Jurulatih itu juga mendakwa bahawa Schem sendiri yang menghubunginya untuk menjalani latihan dan mereka hanya pernah berlatih sekali di studio. – The Merdeka Times
