Antarabangsa
(VIDEO) Imam Besar Masjidilharam perjelas alasan larangan kibar bendera Palestin

MAKKAH – “Masjidilharam dan Masjid Nabawi di Makkah dan Madinah adalah tempat untuk beribadah, bukan untuk melaungkan slogan, berpolitik, atau beraktiviti selain ibadah.”
Itu peringatan dikeluarkan Imam Besar Masjidilharam Makkah, Arab Saudi, Abdul Rahman Al-Sudais dalam sebuah video yang dikongsi di media sosial.
Beliau menegaskan bahawa jemaah seharusnya fokus kepada ibadah dan tidak terpengaruh oleh emosi atau semangat yang berlebihan.
Abdul Rahman juga mengingatkan jemaah yang mereka hanya boleh melaungkan dua slogan, iaitu kalimah tauhid “Syahadah” dan “Labbaik allahuma labaik”, dalam ibadah haji dan umrah.
Sebaliknya, jemaah katanya boleh berdoa kepada Allah untuk kesejahteraan rakyat Palestin.
Peringatan berkenaan dipercayai rentetan penularan video terbaru seorang wanita sebelum ini yang mendedahkan dia ditahan pengawal keselamatan di Masjidilharam kerana membawa beg kecil tertera bendera Palestin, walaupun dia adalah rakyat Palestin.
Peringatan Abdul Rahman itu mendapat reaksi pelbagai masyarakat Islam yang melihat tindakan itu sebagai wajar supaya umat Islam boleh fokus kepada ibadah mereka.
Namun, ada juga yang menganggap Arab Saudi bersikap berat sebelah dalam perkara berkaitan Palestin kerana selama ini jemaah seluruh negara bebas membawa bendera, beg serta barangan tertera bendera negara masing-masing. – The Merdeka Times
