Connect with us

Terkini

Tengku Maimun bebas beri pandangan berkait penambahbaikan badan kehakiman, tidak perlu dikena tindakan

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Pakar Perlembagaan, Profesor Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz
  • Pakar Perlembagaan, Profesor Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata ini kerana Tengku Maimun yang juga Ketua Hakim Negara mempunyai pengalaman luas tentang bidang kehakiman.
  • “Jadi pandangan yang dikemukakan (Tengku Maimun) iaitu untuk membuat prosedur yang baharu dalam proses lantikan (hakim) itu saya fikir itu adalah kebebasan Yang Amat Arif Ketua Hakim Negara.
  • “Jadi gesaan Datuk Seri Nazri untuk tindakan dikenakan (terhadap Tengku Maimun) saya percaya ia adalah sesuatu yang tidak perlu atas dasar negara harus mengambil kira pandangan seorang yang berpengalaman dalam bidang badan kehakiman itu,” katanya kepada The Merdeka Times di sini hari ini.

KUALA LUMPUR — Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat bebas untuk menyatakan pandangan beliau berkenaan penambahbaikan terhadap badan kehakiman, termasuk tentang cadangan menghapuskan peranan perdana menteri dalam pelantikan hakim.

Pakar Perlembagaan, Profesor Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata ini kerana Tengku Maimun yang juga Ketua Hakim Negara mempunyai pengalaman luas tentang bidang kehakiman.

“Jadi pandangan yang dikemukakan (Tengku Maimun) iaitu untuk membuat prosedur yang baharu dalam proses lantikan (hakim) itu saya fikir itu adalah kebebasan Yang Amat Arif Ketua Hakim Negara.

“Jadi gesaan Datuk Seri Nazri untuk tindakan dikenakan (terhadap Tengku Maimun) saya percaya ia adalah sesuatu yang tidak perlu atas dasar negara harus mengambil kira pandangan seorang yang berpengalaman dalam bidang badan kehakiman itu,” katanya kepada The Merdeka Times di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang gesaan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz supaya tindakan tegas diambil ke atas Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun susulan kenyataan beliau yang disifatkan sebagai tidak profesional baru-baru ini, termasuk berkenaan menghapuskan peranan perdana menteri dalam pelantikan hakim.

Tengku Maimun pada Persidangan Undang-Undang Komanwel ke-24 di Malta baru-baru ini dilapor telah berucap supaya Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta SPK) dipinda untuk menghapuskan peranan Perdana Menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam pelantikan hakim.

Menurut Tengku Maimun, langkah itu boleh membantu mengikis persepsi wujudnya pengaruh politik terhadap badan kehakiman.

Mengulas lanjut, Shamrahayu berkata mungkin ada pihak yang tidak bersetuju dengan saranan Tengku Maimun tentang menghapuskan peranan perdana menteri dalam lantikan hakim.

Bagaimanapun, beliau berkata kita perlu terlebih dahulu memahami tujuan ataupun asas kepada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang memberikan kuasa kepada perdana menteri dalam hal ini.

Tambahnya, dalam perkara ini mana-mana pihak yang mencadang pindaan peruntukan perlembagaan itu, terutama cadangan daripada individu berpengetahuan luas tentang pergerakan atau perjalanan badan kehakiman, termasuk prosedur pelantikan hakim tidak boleh dipandang ringan.

Ini termasuk kenyataan daripada Tengku Maimun sendiri.

“Kita perlu meneliti apakah tindakan yang sewajarnya diambil untuk memastikan kebebasan kehakiman… Kalau Yang Amat Arif berfikiran bahawa tak perlu lagi peranan Perdana Menteri (dalam lantikan hakim) itu kita perlu fikirkan apakah itu boleh dilakukan ataupun apakah cadangan itu wajar dilaksanakan.

“Kalau kita menggesa supaya tindakan diambil (terhadap Tengku Maimun) sampai bila pun kita akan terperangkap dalam keadaan yang mungkin mendatangkan keburukan kepada badan kehakiman.

“Kalau cadangan beliau itu tidak dapat digantikan ataupun tidak dapat dilaksanakan saya fikir memadai untuk kita menghormati pandangan beliau itu… Kalau kita dalam keadaan sentiasa menafikan kelemahan-kelemahan kita dan mengambil tindakan ke atas orang yang cuba memberikan pandangan saya fikir sampai bila pun kita tidak akan maju dalam apa jua perkara.

“Dan saya percaya apa yang disuarakan Yang Amat Arif Ketua Hakim Negara itu adalah atas dasar pemerhatian dan pandangan beliau jadi ini adalah kita ambil iktibar atas kenyataan Yang Amat Arif itu sebagai pengajaran untuk kita memastikan badan kehakiman ini sentiasa bebas dan berada diluar pengaruh yang tidak sewajarnya,” katanya.

Shamrahayu juga mengingatkan supaya kita tidak menyekat ataupun mengehadkan pemerhatian seseorang yang berwibawa dan mempunyai peranan besar dalam badan kehakiman, terutama dalam proses pelantikan hakim kerana dalam hal ini Tengku Maimun bukan sahaja memegang jawatan sebagai Ketua Hakim Negara tapi beliau juga merupakan pengerusi kepada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.

Justeru beliau berpandangan tidak perlu sebarang tindakan diambil ke atas Tengku Maimun kerana beliau percaya kenyataan yang dibuat itu adalah kenyataan berniat baik supaya Badan Kehakiman sentiasa diberikan jaminan kebebasan. — The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *