Antarabangsa
‘Lenyek’ rakyat Palestin hidup-hidup dengan jentolak, Tentera Israel bunuh diri
- Tentera rejim Israel yang pulang dari Gaza melaporkan trauma psikologi yang teruk, dengan ada yang membunuh diri, selepas menyaksikan apa yang mereka sifatkan sebagai keseraman yang tidak dapat difahami dunia luar.
- Dalam keterangan kepada CNN dipetik MEE pada Selasa, tentera penjajah Israel yang pulang dari Gaza mendedahkan kengerian operasi rejim di wilayah konflik itu.
- Mereka berkata anggota tentera Israel terpaksa “melanggar” rakyat Palestin yang mati atau hidup “dalam ratusan” dengan jentolak.
- Menurut divisyen rehabilitasi Kementerian Pertahanan Israel, kira-kira 1,000 tentera dikeluarkan dari pertempuran setiap bulan, dengan 35 peratus darinya melaporkan kebimbangan kesihatan mental.
- Menjelang akhir tahun, diunjurkan 14,000 tentera cedera akan memerlukan rawatan, dengan 40 peratus dijangka menghadapi masalah kesihatan mental.
Tentera rejim Israel yang pulang dari Gaza melaporkan trauma psikologi yang teruk, dengan ada yang membunuh diri, selepas menyaksikan apa yang mereka sifatkan sebagai keseraman yang tidak dapat difahami dunia luar.
Dalam keterangan kepada CNN dipetik MEE pada Selasa, tentera penjajah Israel yang pulang dari Gaza mendedahkan kengerian operasi rejim di wilayah konflik itu.
Mereka berkata anggota tentera Israel terpaksa “melanggar” rakyat Palestin yang mati atau hidup “dalam ratusan” dengan jentolak.
Situasi itu mencetuskan memori adegan ngeri disaksikan mereka di Gaza hingga menyebabkan mereka tidak dapat makan daging.
“Apabila anda melihat banyak daging di luar, dan darah… kedua-dua (darah) kita dan mereka, maka ia benar-benar memberi kesan kepada anda apabila anda makan,” kata seorang askar Israel kepada rangkaian berita itu.
Eliran Mizrahi, anggota simpanan berusia 40 tahun, adalah salah seorang daripada beberapa askar Israel yang membunuh diri selepas pulang dari Gaza selepas ditempatkan di sana pada 8 Oktober tahun lalu.
Di Gaza, Mizrahi menghabiskan 186 hari mengendalikan jentolak D-9, sebuah kenderaan berperisai 62 tan yang direka untuk menahan bahan letupan dan peluru.
Sebelum membunuh diri, dia bergelut dengan gejala gangguan tekanan selepas trauma (PTSD) yang teruk, termasuk serangan marah, berpeluh, insomnia (sukar tidur) dan menarik diri dari ruang sosial.
“Dia melihat ramai orang mati,” kata ibunya menyatakan anaknya, Mizrahi mungkin “membunuh seseorang.”
Menurut divisyen rehabilitasi Kementerian Pertahanan Israel, kira-kira 1,000 tentera dikeluarkan dari pertempuran setiap bulan, dengan 35 peratus darinya melaporkan kebimbangan kesihatan mental.
Menjelang akhir tahun, diunjurkan 14,000 tentera cedera akan memerlukan rawatan, dengan 40 peratus dijangka menghadapi masalah kesihatan mental. – The Merdeka Times