Terkini
Galak kanak-kanak baca buku kepelbagaian kaum, agama untuk faham, rai perbezaan – Fahmi
Kanak-kanak perlu didedahkan dengan budaya membaca terutama buku mengenai kepelbagaian kaum dan agama di negara ini sebagai usaha melahirkan generasi berpengetahuan dan meraikan perbezaan.
- Kanak-kanak perlu didedahkan dengan budaya membaca terutama buku mengenai kepelbagaian kaum dan agama di negara ini sebagai usaha melahirkan generasi berpengetahuan dan meraikan perbezaan.
- Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata usaha itu bagi membuka peluang mereka memahami kisah komuniti berbeza di negara ini sekaligus memupuk semangat perpaduan yang membawa negara ke hadapan.
- “Kita perlu ambil peluang ini untuk mendalami cerita komuniti yang berbeza di negara kita sendiri dan dari situ kita boleh memahami dan meraikan perbezaan sejak kecil lagi,” katanya kepada pemberita di Wisma Bernama hari ini.
- “Kita (ibu bapa) perlu mula belikan buku, ada budaya pergi ke kedai buku, luangkan masa bersama dan cari buku yang mereka minat, jadi buku-buku itu akhirnya bila kita minta tak main peranti, jadi mereka akan buka buku-buku ini,” katanya.
KUALA LUMPUR — Kanak-kanak perlu didedahkan dengan budaya membaca terutama buku mengenai kepelbagaian kaum dan agama di negara ini sebagai usaha melahirkan generasi berpengetahuan dan meraikan perbezaan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata usaha itu bagi membuka peluang mereka memahami kisah komuniti berbeza di negara ini sekali gus memupuk semangat perpaduan yang membawa negara ke hadapan.
“Kita perlu ambil peluang ini untuk mendalami cerita komuniti yang berbeza di negara kita sendiri dan dari situ kita boleh memahami dan meraikan perbezaan sejak kecil lagi,” katanya kepada pemberita di Wisma Bernama hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Jom Baca Bersama 10 Minit@Bernama: Pembacaan Melestarikan Perpaduan yang diadakan dengan kerjasama Kedutaan Sweden di Malaysia sempena Hari Buku dan Hari Hak Cipta Sedunia yang disambut pada setiap 23 April.
Fahmi berkata dalam era digitalisasi, beliau memahami cabaran ibu bapa untuk menggalakkan budaya membaca buku dalam kalangan kanak-kanak kerana mereka telah didedahkan dengan peranti dan alat komunikasi sejak awal usia.
Namun, ibu bapa perlu memainkan peranan untuk menarik minat mereka dan meluangkan masa bersama untuk membaca buku.
“Saya rasa untuk anak-anak saya pun kadang nak mengarahkan mereka membaca buku tak mudah tetapi ia bermula dengan nasihat ibu bapa yang melarang menggunakan peranti.
“Kita perlu mula belikan buku, ada budaya pergi ke kedai buku, luangkan masa bersama dan cari buku yang mereka minat, jadi buku-buku itu akhirnya bila kita minta tak main peranti, jadi mereka akan buka buku-buku ini,” katanya.
Terdahulu, Fahmi menyertai murid dan guru dari Sri Aria School serta warga Bernama meluangkan masa membaca buku pilihan masing-masing selama 10 minit di lobi Wisma Bernama.
Turut menyertai program itu ialah Duta Sweden ke Malaysia, Dr Joachim Bergstrom; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli; Pengerusi Bernama, Datuk Seri Wong Chun Wai; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bernama, Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj.– BERNAMA