Terkini
Hari Wanita Sedunia: Jangan abaikan hak dan perjuangan wanita di zon konflik
WANITA adalah antara golongan paling terdedah kepada bahaya maut dan yang terawal merasakan kesan konflik apabila runtuhnya sistem sokongan dalam sesebuah negara.
WANITA adalah antara golongan paling terdedah kepada bahaya maut dan yang terawal merasakan kesan konflik apabila runtuhnya sistem sokongan dalam sesebuah negara.
Apatah lagi negara yang sedang mengalami konflik peperangan.
Maka adalah penting untuk kita mengalihkan perhatian dunia kepada realiti wanita yang semakin dilupai di zon konflik tersebut di mana hak asasi mereka ‘didiamkan’ di muka awam yang perlu disuarakan.
Mengambil contoh, negara yang masih berada dalam konflik seperti Palestin. Hampir 70 peratus rakyat Palestin yang terbunuh di Gaza terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.
Malah, hampir sejuta wanita dan kanak-kanak perempuan kehilangan tempat tinggal.
Badan kemanusian, ActionAid melaporkan wanita dan kanak-kanak di Gaza mengalami tahap keganasan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Dua ibu terbunuh setiap jam di Gaza dan tujuh wanita mati setiap dua jam,” kata laporan itu.
Menurut laporan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (OHCHR), kematian wanita dan kanak-kanak dianggap sebagai kematian yang disengajakan oleh rejim Israel di Gaza.
Bagaikan terpenjara dalam ‘penjara terbesar dunia’, mereka yang terselamat perlu bertarung nyawa dengan berkurangnya bekalan air bersih dan makanan serta fasiliti kesihatan yang makin terhad saban hari sambil perlu tetap berwaspada terhadap serangan bom yang tiada henti.
Ini bukanlah persekitaran kondusif, malah ia merupakan lokasi paling berbahaya di dunia bagi wanita dan kanak-kanak.
Ringkasnya, tiada sesiapa pun dijamin selamat di Gaza. Namun demi kelangsungan hidup, rakyat Gaza terus berusaha mencari solusi dengan segala ruang yang ada.
Contohnya, mereka terpaksa menggunakan kain khemah sebagai bahan pelapik sewaktu haid kerana tiada akses kepada tuala wanita.
Situasi itu mendedahkan mereka kepada risiko jangkitan yang mengancam nyawa.
Mengikut tinjauan sayap wanita PBB (UN Women), dianggarkan terdapat 50,000 wanita hamil di Gaza sedang menantikan kelahiran cahaya mata.
Lebih teruk lagi, sebanyak 180 wanita merisikokan nyawa mereka untuk melahirkan anak tanpa penjagaan kesihatan yang mencukupi, termasuk melahirkan anak secara pembedahan tanpa penstrilan peralatan, ubat bius atau ubat penahan sakit.
Ini jelas merupakan pelanggaran hak asasi wanita secara terang-terangan mengikut Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW) bahawa wanita berhak untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang baik.
Namun sehingga kini hak itu masih lagi didiamkan dan dibutakan.
“Kematian ibu di Gaza dijangka meningkat memandangkan kekurangan akses kepada penjagaan yang mencukupi. Situasi ini akan memberi kesan buruk kepada nyawa si ibu dan anak di mana boleh keguguran disebabkan tekanan, bayi mati sewaktu melahirkan dan kelahiran pramatang,” kata PBB dalam kenyataan pada Januari lalu.
Setelah melahirkan, ibu-ibu di Palestin terpaksa bergelut untuk menyusui bayi mereka dalam keadaan tubuhnya sendiri kurang nutrisi.
Hibanya sehingga mereka terpaksa memberikan kurma yang dihancurkan dan mencampur susu dengan air tercemar kepada bayi kerana kekurangan susu.
Dunia menyangka wanita Palestin yang sengsara dari konflik ini hanya melibatkan Muslim sahaja, tetapi hakikatnya, isu hak wanita dan kemanusian di Palestin tidak pernah mengenal agama, bangsa atau warna kulit seseorang itu.
Bahkan, masyarakat Kristian di Gaza yang tidak menyokong kekejaman zionis Israel turut mengalami perkara sama seperti masyarakat Muslim di mana rumah mereka dibom, ahli keluarga mereka dibunuh dan gereja mereka dimusnahkan.
“Saya tidak pasti sama ada mereka (Kristian Palestin) akan terselamat daripada pengeboman Israel dan walaupun mereka terselamat, saya fikir ramai yang akan berhijrah. Tetapi apa yang saya tahu dalam generasi ini, agama Kristian tidak akan lagi wujud di Gaza,” kata Mitri Raheb, paderi Evangelikal Lutheran di Gaza dipetik agensi berita al-Jazeera.
Inilah realiti sedang dihadapi wanita Palestin yang tanpa henti memperjuangkan hak mereka untuk bertahan hidup di tengah-tengah konflik.
Maka sempena Hari Wanita Sedunia pada tahun ini, inilah masanya untuk bertindak segera bukan hanya meraikan pencapaian dan kejayaan wanita sahaja.
Bukan juga hanya berfikirkan tentang kepentingan diri kita sahaja mahupun berfikir apa lagi hak ‘wanita tidak tulen’ yang perlu diketengahkan sedangkan isu kepincangan hak wanita dalam zon konflik masih belum diselesaikan.
Inilah isu feminis terbesar yang seharusnya disuarakan dan dibangkitkan dengan kadar segera tanpa mengira latar agama dan bangsa, bukannya berdiam atas dasar bersikap ‘neutral’.
Ibarat cubit paha kanan, paha kiri pun terasa juga sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Perumpamaan orang-orang yang beriman dalam hal saling mencintai, mengasihi dan menyayangi bagaikan satu tubuh. Apabila ada salah satu anggota tubuh yang sakit, maka seluruh tubuhnya akan ikut terjaga (tidak boleh tidur) dan panas (turut merasakan sakitnya).” (Sahih Muslim, no 4685)
Malah, kitab Bible turut menyatakan perkara yang sama dalam 1 Korintus 12:26 yang bermaksud:
“Kerana itu jika satu anggota menderita, semua anggota turut menderita. Jika satu anggota dihormati, semua anggota turut bersuka cita.”
Bukalah mata, bersuaralah dan manfaatkan platform media sosial semaksimum mungkin dalam memperjuangkan hak dan keperluan wanita di zon konflik yang sering dinafikan supaya suara mereka terus didengari. – The Merdeka Times
Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.