Kolumnis
Tahun Baru Cina 2024: Tahun Naga, Ramalan dan Zodiak
APABILA mendekati Tahun Baru Cina, banyak ramalan masa depan yang terpapar di ‘timeline’ media sosial dan televisyen.
APABILA mendekati Tahun Baru Cina, banyak ramalan masa depan yang terpapar di ‘timeline’ media sosial dan televisyen.
Ramalan-ramalan seperti ramalan cinta dan jodoh, kewangan dan kerjaya membuatkan orang tertarik untuk membaca ramalan apa yang akan terjadi pada tahun itu.
Mungkin ramai beranggapan ia sebagai satu bentuk hiburan semata-mata.
Namun, sesetengah masyarakat Cina memandang serius terhadap ramalan nasib sebagai satu pegangan hidup dan kepercayaan dalam menentukan nasib kehidupan mereka.
Mereka percaya bahawa nasib mereka akan ditentukan mengikut zodiak pada tahun tersebut.
Sebagai contoh, tahun 2024 merupakan tahun Naga. Masyarakat cina percaya tahun Naga adalah tahun yang paling bertuah.
Teknologi Astrologi Cina
Amalan tilikan nasib ini hakikatnya bukanlah perkara yang baru timbul atau sekadar mainan hiburan bagi masyarakat Cina.
Sejarah dunia ada merekodkan bahawa mereka mempunyai satu seni penilikan purba yang khusus dan terperinci dalam meramal karakter dan nasib seseorang pada masa hadapan.
Pengamalan seni ini dinamakan sebagai shí èr shēng xiāo (十二生肖) atau ilmu astrologi cina yang dikesan sejak dari Dinasti Qin (221-206 SM).
Bagi mereka, takdir hayat seseorang boleh ditentukan melalui kedudukan planet-planet seperti matahari, bulan dan komet-komet ketika masa kelahirannya.
Berbeza dengan astrologi barat yang menggunakan sistem buruj bagi setiap bulan, astrologi cina mengetengahkan 12 tanda haiwan zodiak mengikut tahun dalam menentukan ramalan nasib dan personaliti seseorang.
Ia bermula dengan zodiak tikus dan seterusnya mengikut urutan seperti lembu, harimau, arnab, naga, ular, kuda, kambing, monyet, ayam, anjing dan akhir sekali, babi.
Menariknya disebabkan pada zaman dahulu tiada sistem numerikal seperti kini, maka ahli astrologi cina menggunakan zodiak haiwan ini dalam sistem kiraan masa seperti tahun, bulan, hari dan jam. Sebagai contoh, jam 11 malam hingga 1 pagi adalah jam tikus, jam 1 hingga 3 pagi adalah jam lembu dan seterusnya.
Kita tidak menafikan ia merupakan sumbangan terbesar ahli astrologi cina dalam ilmu astronomi purba.
Namun, disebabkan sistem masa cina purba itu diadunkan bersama dengan pelbagai filsafat kuno cina untuk memenuhi keperluan masyarakat dari sudut ideologi mahupun praktikal, mereka mulai melihat hubungkaitnya dengan corak kehidupan manusiawi.
Ahli nujum cina bukan sekadar menilik tahun kelahiran, mereka juga akan menilik bulan, hari dan masa kelahiran untuk mendapatkan tilikan yang lebih terperinci.
Maka berdasarkan analisis tersebut, mereka dikatakan menemui banyak informasi tentang perjalanan hidup seseorang dan ini yang membezakan ramalan nasib, keperibadian dan masa depan seseorang dari yang lain.
Hubungkait Zodiak dengan Ramalan Nasib
Masyarakat cina percaya bahawa zodiak haiwan ini hakikatnya adalah satu indikasi kepada sifat haiwan yang tersembunyi dalam diri seseorang.
Ia dikatakan dapat menentukan ciri-ciri yang membezakan keperibadian, kecenderungan dan tingkah laku seseorang berdasarkan tahun dan masa dilahirkan.
Pada setiap tahun, satu haiwan zodiak akan dikaitkan dengan salah satu unsur seperti Kayu, Api, Bumi, Logam dan Air di mana mereka percaya jika digabungkan secara seimbang kepada sudut positif dan sudut negatif (yin yang), maka akan terhasil makna tersirat di sebaliknya.
Sebagai contoh, kitaran unsur tahun 2024 ialah Kayu dan kitaran zodiak pada tahun ini adalah tahun Naga. Maka, tahun 2024 ialah ‘Naga Kayu’.
Ada sesetengah ahli nujum cina mempercayai ‘Tahun Naga Kayu’ adalah gabungan unik. Jadi mereka menilik tahun ini seperti tahun yang menarik, sukar dijangka dan bersifat impulsif.
Namun, bukan semua zodiak akan bernasib baik di bawah pengaruh Naga. Ada zodiak yang bernasib malang dan menghadapi halangan yang sukar.
Misalnya, mereka yang berzodiak Anjing mungkin akan menghadapi krisis kewangan pada tahun ini.
Ini kerana menurut ahli nujum cina, zodiak Anjing mempunyai sifat berlawanan dengan zodiak Naga. Ini bermaksud, mereka yang berzodiak Anjing akan menghadapi cabaran dan kesukaran pada tahun ini.
Berbanding mereka berzodiak Babi, tahun 2024 adalah tahun paling bertuah yang menjanjikan kemakmuran dan peluang yang baik. Sehinggakan, ada sesetengah keluarga di China berusaha melahirkan bayi pada Tahun Naga kerana dikatakan anak-anak ‘Tahun Naga’ itu lebih bijak dan berjaya berbanding anak yang berzodiak lain.
Oleh yang demikian, pada tahun 2012 yang juga Tahun Naga, telah berlakunya peningkatan kelahiran bayi secara mendadak dalam kalangan masyarakat cina seluruh Asia.
Mereka mengaitkan kejayaan peningkatan kelahiran bayi tersebut atas sebab ‘tuah’ Tahun Naga.
Berikutan kejayaan pada 2012 itu membuatkan kerajaan China berharap sekali lagi akan berlakunya peningkatan kadar kelahiran bayi ‘Tahun Naga’ di China pada tahun ini.
Ini kerana ingin memperbaiki penurunan kadar populasi di China yang semakin membimbangkan.
Apa kata agamawan Buddha tentang ramalan nasib dan zodiak?
Menurut Ensiklopedia Buddha Tibetan, ramalan nasib atau ilmu astrologi ini bercanggah dengan doktrin agama Buddha yang paling asas iaitu takdir hakikatnya bergantung daripada hasil perbuatan, pemikiran dan ucapan (karma) seseorang itu.
Malah, Buddha sendiri melarang para bhikku dan penganutnya melibatkan diri dalam sebarang bentuk ramalan nasib.
Penegasan ini disebut Buddha sebagai ‘seni terendah’ (tiracchānavijjā) atau kini lebih dikenali sebagai pseudosains.
Kata Buddha: “Sedangkan sesetengah orang beragama yang hidup dengan makanan yang disediakan oleh orang telah membuatkan mereka terpaksa hidup dengan seni terendah iaitu cara penghidupan yang salah seperti ramal tapak tangan, meramal dengan tanda-tanda, tafsir mimpi, memohon keberuntungan dan memilih tapak bertuah untuk bangunan. Para bhikku perlu menjauhkan diri daripada seni terendah ini.” (Digha Nikaya, Vol 1, No 9-12)
Agamawan Buddha, Tsem Rinpoche turut berpandangan sama dan menganggap kemampuan manusia amat terhad untuk meramal masa hadapan.
Disebabkan itu, amat berbahaya sekiranya seseorang mempercayai dan menyakini sesuatu berdasarkan ramalan nasib sedangkan menurutnya, mana mungkin manusia yang sifatnya terbatas mampu memiliki pengetahuan yang di luar jangkauan akal manusiawi.
“Kesan (ramalan nasib) boleh menjadi sangat berbahaya bagi sesetengah orang. Kenapa? Kerana anda masuk atau memanfaatkan sesuatu yang anda sendiri tidak tahu mengenainya,” kata agamawan Buddha itu dalam satu video di laman YouTube.
Malah, Master Sheng-Yen yang juga agamawan Buddha turut mengkritik sebilangan penganut Buddha yang mempercayai perkara tahyul hasil daripada ramalan nasib tersebut.
Katanya, ramalan nasib hanya akan mengelirukan diri sendiri sehingga mampu mengganggu kehidupan seharian seseorang itu.
Sedangkan dalam agama Buddha, nasib seseorang itu berkait rapat dengan buah fikirannya. Jika fikiran dan mindanya berubah, maka nasib turut akan berubah. Ini tidak berkait dengan ramalan nasib sama sekali.
“Jika setiap keputusan hidup perlu anda semak setiap hari apa horoskopnya, apa ramalannya atau berunding dengan pengamal fengshui, anda sememangnya ada masalah.
“Percaya buta-buta terhadap fengshui hanyalah mengelirukan diri. Ia adalah cara untuk mengehadkan diri sendiri,” kata agamawan Buddha dari Taiwan dalam satu video di laman Youtube.
Menariknya, agama Islam juga menolak sebarang bentuk pengamalan ramalan nasib, malah bertegas bahawa tiada satupun orang yang mampu mengetahui segala perkara ghaib apatah lagi tentang nasib dan masa hadapan seseorang.
“Katakanlah lagi: Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah!” Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati).” (Surah An-Naml, 27:65).
Mempercayai sebarang bentuk ramalan nasib termasuk dalam perkara yang boleh merosakkan akidah dan jatuh kufur.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang datang menemui penilik atau peramal nasib lalu mempercayai apa yang diberitahu olehnya, maka dia telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad” (Riwayat Ahmad, no. 406)
Sebab itu Rasulullah SAW melarang umat Islam untuk mendatangi tukang ramal sepertimana baginda bersabda:
“Sesiapa yang mendatangi tukang ramal (dukun) dan bertanya kepadanya tentang sesuatu, maka tidak diterima solatnya selama 40 malam.” (Riwayat Muslim, Hadis No. 2230) – The Merdeka Times
Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.