Kolumnis
Bolehkah Muslim sambut Krismas?
Isu Muslim sambut hari Krismas bukan lagi perkara asing setiap kali tibanya sambutan perayaan utama masyarakat beragama Kristian pada Disember ini.
Isu Muslim sambut hari Krismas bukan lagi perkara asing setiap kali tibanya sambutan perayaan utama masyarakat beragama Kristian pada Disember ini.
Apatah lagi rakyat Malaysia hidup dalam masyarakat majmuk berbilang bangsa, maka persoalan seperti “Bolehkah Muslim menyambut perayaan ini seperti memakai atau menggunakan apa sahaja hiasan berkaitan hari Krismas?” adalah persoalan yang sering dibangkitkan atas nama toleransi.
Menurut Ensiklopedia Katolik, istilah ‘Christmas’ bermaksud Mass of Christ atau disingkat Christ-Mass sebagai hari merayakan kelahiran Jesus. Malah, nama perayaan itu sendiri berakar daripada agama yang disambut.
Penganut Kristian percaya bahawa perayaan Krismas bukan sekadar memperingati kelahiran, malah hari untuk mensyukuri kasih Tuhan kerana menghantar AnakNya, Jesus Christ untuk mati di kayu salib bagi menghapuskan dosa-dosa manusia.
Apabila ada cubaan menjustifikasikan tindakan memakai topi Santa Claus atau menghias rumah dengan pokok Krismas adalah sekadar perhiasan, suka-suka dan bukan boleh tercabut akidah, penulis berpendapat kata-kata sebegini adalah kenyataan berbahaya dan dangkal tidak berasaskan ilmu.
Walhal setiap perayaan keagamaan hakikatnya memiliki simbol tersendiri yang diekspresikan bagi melambangkan teras dan pegangan sesuatu agama tersebut melalui perhiasan, pakaian dan sebagainya .
Sebagai contoh, antara tradisi Krismas yang sering kita lihat adalah sebatang pokok Krismas yang besar dihiasi ceria dengan loceng, bintang dan lampu-lampu, dan memberi hadiah.
Hakikatnya, tradisi pokok Krismas itu turut mempunyai pensejarahan yang panjang.
Pokok Krismas atau pokok Cemara Malar Hijau (Evergreen Fir Tree) pada masa dahulu digunakan sebagai satu bentuk sembahan dalam perayaan pagan oleh beberapa tamadun sebelum era Kristian.
Pada abad ke-16, penduduk Jerman mulai membawa tradisi pokok ini dalam kalangan masyarakat Kristian dengan fahaman baru.
Bagi masyarakat Kristian, pokok Krismas pula dipercayai melambangkan simbol agama Kristian.
Ini kerana bentuk pokoknya bersegi tiga itu dianggap mencerminkan konsep Triniti (Tuhan Bapa, Tuhan Anak dan Roh Kudus) dianuti teguh oleh penganut Kristian. Oleh itu, tradisi pokok Krismas diteruskan sehingga ke hari ini sebagai salah satu simbolik khas perayaan Krismas.
Bukan itu sahaja, setiap perhiasan di pokok Krismas itu juga melambangkan beberapa simbolik kepada kelahiran Jesus Christ.
Sebagai contoh, perhiasan loceng dikatakan melambangkan kisah pengumuman kelahiran Anak Tuhan yang dirai kedatangannya oleh para malaikat ke bumi.
Manakala, perhiasan ‘bintang’ di bahagian atas pokok pula dikatakan sebagai lambang kemunculan ‘bintang’ Betlehem yang membimbing orang ke arah Jesus Christ sewaktu kelahirannya.
Dan terangnya bintang Betlehem seperti cahaya yang menerangi dan membimbing manusia daripada kegelapan untuk mengikuti jalan Tuhan. Ini disebut dalam Matthew 2:1-2;
“Sesudah Jesus dilahirkan di Betlehem di tanah Judea pada zaman raja Herodes, datanglah orang-orang majus dari Timur ke Yerusalem dan bertanya-tanya: ”Di manakah Dia, raja orang Yahudi yang baru dilahirkan itu? Kami telah melihat bintang-Nya di Timur dan kami datang untuk menyembah Dia.”
Manakala, tradisi memberi hadiah sewaktu perayaan Krismas juga berakar daripada kepercayaan agama Kristian. Amalan ini berdasarkan daripada kisah biblikal dalam Matthew 2:11 tentang tiga orang Majusi yang memberi hadiah emas, kemenyan dan morha kepada bayi Jesus.
Maka, amalan memberi hadiah ini diteruskan dalam masyarakat Kristian sehinggalah muncul figura Santa Claus yang dipopularkan pada akhir abad ke-19.
Figura Santa Claus ini terinspirasi daripada tindakan seorang tokoh uskup Kristian, Saint Nicholas yang terkenal dengan sifat pemurah dan gemar memberi hadiah kepada kanak-kanak. Figura yang berpakaian merah dan bertopi ini mulai menjadi simbolik dan ikon Krismas hingga kini.
Oleh sebab itu, apabila sebahagian Muslim mengatakan memakai topi Santa Claus hanya sekadar pakaian dan perhiasan Krismas lain tidak melambangkan sebarang simbolik agama adalah sesuatu yang dangkal dan boleh menyebabkan seseorang tergelincir dari landasan agama tanpa disedari.
Sedangkan, para mufti telah membahaskan panjang lebar tentang hukum Muslim menyambut hari Krismas dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-68 yang bersidang pada 12 April 2005.
Fatwa tersebut mengatakan bahawa penggunaan perhiasan atau pemakaian berkaitan perayaan Krismas adalah tidak dibenarkan.
Ini kerana memakai sesuatu lambang yang sinonim dengan perayaan itu bukan sahaja simbol agama tersebut malah ia seolah-olah menyerupai penganut agama terbabit.
Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang menyerupai satu kaum maka dia termasuk dari kalangan mereka.” (Riwayat Abu Dawud, no 4031)
Selain itu, masyarakat Kristian juga akan menyanyikan lagu-lagu Christmas carol sepanjang perayaan Krismas. Lagu-lagu yang dinyanyikan kebiasaannya berbentuk puji-pujian kepada Jesus dan Tuhan Bapa sebagai cara mereka menyambut serta mensyukuri kelahiran Anak Tuhan ke bumi. Pada awalnya, amalan nyanyian itu hanya dilakukan di dalam gereja sahaja tetapi kini, ia dinyanyikan di jalanan, majlis-majlis dan pusat komersial.
Walaupun perayaan Krismas kini dikomersialkan sebagai perayaan dunia, ia tidak mengubah hakikat teras tradisi perayaan ini masih berakar daripada kepercayaan dan akidah agama Kristian.
Justeru, perbuatan yang menyertakan simbol-simbol agama seperti menghias pokok dengan perhiasan Krismas, memakai kostum Santa Claus dan menyanyikan lagu-lagu bercirikan agama termasuk dalam perkara yang tidak dibenarkan dalam Islam.
Sebagai umat Islam, kita perlu memastikan perayaan yang kita ingin sertai tidak mempunyai perbuatan yang bertentangan dengan akidah Islam dan syarak sehingga boleh menyebabkan tercemarnya akidah Islam.
Adakah kita sebagai umat Islam yang jelas bukan berakidah Kristian wajar menyambut perayaan Krismas hanya kerana besarnya perayaan mahupun atas dasar toleransi beragama?
Enggan menyambut perayaan agama lain bukan bermaksud kita menolak toleransi dan berhubungan baik dengan penganut agama tersebut. Namun, soal akidah perlu ditegakkan secara tegas dan berprinsip.
Penegasan ini bertepatan dengan ayat al-Qur’an dari Surah al-Kafirun, 109:6; “Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku”. – The Merdeka Times
Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.