Terkini
Dua warga emas ditawan Hamas dibebaskan
Dua wanita warga emas yang ditawan Hamas di Gaza telah dibebaskan, demikian lapor kumpulan pembebasan Palestin itu dan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC).
- Dua wanita warga emas yang ditawan Hamas di Gaza telah dibebaskan, demikian lapor kumpulan pembebasan Palestin itu dan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC).
- Al Jazeera melaporkan jurucakap Hamas berkata kedua-dua tawanan itu dibebaskan berikutan rundingan pihak Qatar dan Mesir.
- Jurucakap Hamas, Abu Obeida dalam kenyataan pada Isnin berkata, di saluran Telegram kumpulan itu bahawa dua tawanan tersebut telah dibebaskan atas “dasar kemanusiaan dan alasan kesihatan yang memburuk”.
- Pembebasan kedua-dua tebusan itu iaitu Yocheved Lifshitz, 85, dan Nurit Cooper, 79, telah disahkan oleh ICRC.
- “Kami berharap mereka akan segera kembali bersama insan-insan tersayang,” kata ICRC di platform X.
Dua wanita warga emas yang ditawan Hamas di Gaza telah dibebaskan, demikian lapor kumpulan pembebasan Palestin itu dan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC).
Al Jazeera melaporkan, jurucakap Hamas berkata kedua-dua tawanan itu dibebaskan berikutan pengantaraan dari pihak Qatar dan Mesir.
Jurucakap Hamas, Abu Obeida dalam kenyataan pada Isnin berkata, di saluran Telegram kumpulan itu bahawa dua tawanan tersebut telah dibebaskan atas “dasar kemanusiaan dan alasan kesihatan yang memburuk”.
Pembebasan kedua-dua tebusan itu iaitu Yocheved Lifshitz, 85, dan Nurit Cooper, 79, telah disahkan oleh ICRC.
Hamas juga menerbitkan video pembebasan mereka yang kini tular di media sosial dengan ramai yang bertindak memuat naik video tersebut disekat atas pelbagai alasan.
Dalam video tersebut, pemuda dari Briged al-Qassam dilihat memberi minum dan berbual bersama mereka sebelum memimpin kedua-dua warga tua itu untuk diserahkan kepada ICRC.
Salah seorang tawanan Hamas itu bagaimanapun bertindak berpatah balik mengucapkan ‘Shalom’ (salam) dan bersalaman dengan pasukan keselamatan yang memimpinnya sebelum beredar.
Satu gerak tubuh yang menunjukkan keselesaan mereka selama berada di bawah pengawasan pasukan keselamatan pembebasan Palestin tersebut.
“Kami berharap mereka akan segera kembali bersama insan-insan tersayang,” kata ICRC di platform X.
Hamas telah menjadikan lebih 200 orang sebagai tebusan, termasuk warga Israel serta mereka yang mempunyai beberapa kewarganegaraan semasa operasi mengejut ke atas selatan Israel pada 7 Oktober lalu.
Pembebasan tebusan pertama sejak serangan 7 Oktober lalu berlaku pada hari Jumaat, dengan Hamas membebaskan dua wanita warganegara Amerika Syarikat, Judith Raanan dan anak perempuannya Natalie, berikutan perantaraan oleh Qatar.
Abu Obeida sebelum ini menyatakan Hamas menawarkan untuk membebaskan dua tawanan tambahan bersama Judith dan Natalie pada Jumaat lalu, tetapi ditolak Israel.
Sumber: Al Jazeera