Kolumnis
Larangan bertakbir di himpunan solidariti Palestin
Mungkin ramai yang tidak tahu, pernah satu ketika dulu untuk kibarkan bendera Palestin di tanah Palestin sendiri pun tidak boleh dilakukan kerana perbuatan itu diharamkan.
Mungkin ramai yang tidak tahu, pernah satu ketika dulu untuk kibarkan bendera Palestin di tanah Palestin sendiri pun tidak boleh dilakukan kerana perbuatan itu diharamkan.
Ia berlaku selepas perang enam hari 1967 yang menyaksikan rejim zionis menguasai Tebing Barat dan Gaza selain mengilhakkan Baitulmaqdis Timur (lokasi beradanya Masjid Al-Aqsa) sebagai wilayah haramnya.
Pengilhakkan (memasukkan wilayah) itu menyaksikan pencabulan terbuka Israel ke atas hasrat dunia yang mahu kawasan itu (Baitulmaqdis Timur) diletakkan di bawah kawalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (baca masyarakat dunia).
Namun itu tidak sesekali mematahkan semangat juang warga Palestin atau mana-mana individu yang menyokong perjuangan Palestin.
Sebaliknya, warga Palestin menggunakan tembikai sebagai ganti kerana tembikai jika dibelah, warna pada buah itu iaitu merah, hitam, hijau dan putih, melambangkan bendera Palestin.
Ketakutan terhadap simbol Palestin itu menyebabkan rejim zionis melakukan crackdown termasuk menutup 79 galeri lukisan di Ramallah (Tebing Barat) yang memaparkan lukisan bendera Palestin.
Punyalah takutnya rejim zionis ini hinggakan bukan hanya bendera yang diharamkan tetapi warna melambangkan bendera Palestin juga diharamkan, demikian menurut artis Issam Badrl ditemubual The National pada 2021.
“Kalau kamu lukis tembikai kami akan rampas,” demikian amaran pegawai rejim zionis ke atas artis-artis Palestin ketika itu.
Pengharaman itu bagaimanapun berakhir pada 1993 apabila Perjanjian Oslo dimeterai antara rejim zionis dengan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO).
Sikap paranoid rejim zionis tidak berakhir di situ dan dapat disaksikan lagi selepas 7 Oktober lalu pasca operasi Taufan Al-Aqsa Hamas dalam tindak balas kumpulan itu ke atas pencerobohan berterusan Masjid Al-Aqsa dan keganasan peneroka haram Israel terhadap warga Palestin di Tebing Barat yang membawa kepada perang di Gaza hari ini.
Beberapa hari lalu, tular video seorang pegawai perisikan rejim zionis yang kelihatan marah dan ‘menggelupur’ ketika ditemubual seorang peneraju stesen penyiaran India hanya kerana warna sari dipakai peneraju wanita itu.
“Kamu tidak boleh meneruskan propaganda Palestin,” kata pegawai paranoid itu, Frederick Landau yang kemudiannya bertanya, “Adakah kamu di pihak orang baik atau pihak orang jahat, adakah kamu di pihak cahaya atau kegelapan, kebaikan atau kejahatan”.
Pegawai zionis itu menyatakan pakaian biru dan putih dipakainya (merujuk kepada bendera Israel) akan menang, selain mengarahkan peneraju wanita itu untuk tidak memakai pakaian dengan warna bendera Palestin itu.
Peneraju wanita itu, Sheraya berkata, dia tidak akan membiarkan pegawai perisikan Israel itu menentukan apa yang beliau pakai kerana sari milik neneknya itu tiada kena mengena dengan konflik yang berlaku di Palestin, ketika ini.
Apa yang ingin saya sampaikan di sini adalah perjuangan Palestin tetap akan diteruskan walaupun pelbagai halangan berlaku di saat masyarakat dunia tidak mampu menghentikan tindakan zionis Israel yang disokong negara kuasa-kuasa besar khususnya Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.
Di Perancis, Menteri Dalam Negerinya pada 12 OKtober lalu melarang perhimpunan menyokong Palestin atas alasan ia mungkin mengganggu ketenteraman awam ketika negara sama membenarkan kelompok pelampau membakar al-Quran atas sebab kebebasan bersuara.
Nampak permainan Perancis di situ yang sememangnya berat sebelah ke atas umat Islam.
Tindakan Perancis bersikap ‘Islamofobik’ itu bukanlah suatu memelikkan kerana ia sebuah negara sekular yang sememangnya terkenal dengan dasar-dasar anti-Islam dan diskriminasi.
Namun apa yang berlaku di Dataran Merdeka semalam di perhimpunan “Freedom for Palestin’ amat memelikkan apabila penganjur perhimpunan itu dikatakan menggelar segelintir peserta perhimpunan yang membawa plakad menggelar Benjamin Netanyahu sebagai ‘setan’ penjenayah perang, sebagai zionis.
Lebih memelikkan apabila ada dakwaan netizen bahawa individu berkenaan juga melarang peserta perhimpunan itu daripada melaungkan takbir ‘Allahuakhbar’ bagi menjaga hati peserta bukan Islam, alasan mungkin tidak dapat diterima semua pihak.
Hakikat bahawa individu berkenaan adalah Datuk Dr Musa Nordin, Pengerusi Viva Palestina Malaysia (VPM) yang sememangnya ‘orang lama’ dalam perjuangan Palestin amat meresahkan, namun ia tidak seharusnya dijadikan isu berterusan ketika kereta-kereta kebal rejim zionis akan menggempur Gaza pada bila-bila masa saja lagi.
Dr Musa dalam temubualnya dengan portal Scoop menafikan beliau menggelar mereka yang membawa poster dengan gambar ‘setan’ Netanyahu sebagai zionis tetapi mendakwa dia hanya memberitahu kepada peserta himpunan untuk tidak meletakkan diri mereka serendah zionis.
Video berkenaan insiden ‘gelaran zionis’ itu bagaimanapun dah tular dan kini tertakluk kepada tafsiran umum.
Pakar pediatrik itu juga menafikan beliau melarang peserta perhimpunan melaungkan takbir, tetapi beliau menyifatkan mereka yang tetap berbuat demikian mungkin kelompok sedikit konservatif dan ekstremis yang melihat isu Palestin sebagai isu antara Muslim dan Yahudi.
Memang diakui Dr Musa atau penganjur berhak menetapkan syarat-syarat bagaimana perhimpunan ‘kemanusiaan’ itu dijalankan atas apa sebab sekalipun, termasuklah tidak membenarkan bendera Hamas dikibarkan atas pertimbangan tertentu.
Perkara itu tidak boleh dinafikan kerana ia hak penganjur melainkan bendera Palestin juga dilarang dikibarkan, maka bolehlah peserta perhimpunan membawa buah tembikai.
Secara peribadi saya tidak melihat perbuatan melaungkan takbir sebagai suatu yang ‘ekstremis’ bagi seorang Muslim ketika lebih 4,600 warga Palestin, termasuk 1,875 kanak-kanak tidak berdosa, dibunuh dalam serangan udara Israel sejak 7 Oktober lalu.
Tanpa mengenepikan hak peserta yang marah dan tersinggung dengan apa berlaku di Dataran Merdeka dan menghormati Dr Musa yang saya kenali sebagai aktivis pro Palestin, isu ini tidak perlulah diperbesarkan apatah lagi dipolitikkan.
Realitinya, rejim zionis Israel pada Sabtu lalu telah memberikan amaran kepada 2.3 juta penduduk Gaza yang tidak berpindah ke selatan wilayah konflik itu, akan dianggap bersekutu dengan ‘pengganas’ dan boleh dibunuh.
Ini sepatutnya menjadi tumpuan utama kita mendesak masyarakat dunia untuk memastikan genosid atau pembunuhan besar-besaran ke atas warga Palestin di Gaza dihentikan segera atau setidak-tidaknya gencatan senjata dicapai.
Dan perkara ini hanya boleh dicapai jika kita semua bersatu suara dalam perjuangan menghentikan perang di Gaza atas dasar membela saudara seakidah (baca membebaskan Palestin dan Masjidil Aqsa) atau atas nama perjuangan kemanusiaan. Kedua-duanya menuju arah yang sama. Wallahualam. – The Merdeka Times
Syed Azwan Syed Ali adalah seorang wartawan dan aktivis kemanusiaan yang mempunyai lebih 18 tahun pengalaman liputan di zon konflik dan bencana termasuk di Palestin, Mesir, Syria, Yaman, Somalia, Turkiye, Myanmar dan Afghanistan.
Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.