Antarabangsa
India benarkan eksport beras tersadai di pelabuhan
India semalam kembali membenarkan eksport kargo beras putih bukan basmati yang tersadai di pelabuhan selepas larangan mengejut ke atas kategori bahan makanan itu.

- India semalam kembali membenarkan eksport kargo beras putih bukan basmati yang tersadai di pelabuhan selepas larangan mengejut ke atas kategori bahan makanan itu.
- Pada 20 Julai lalu, India mengejutkan pembeli apabila mengharamkan eksport beras putih bukan basmati yang digunakan secara meluas bagi mengawal kenaikan harga domestik.
- Langkah itu hadir selepas larangan terhadap eksport beras hancur tahun lalu.
- Dalam arahan terbaharu Direktorat Jenderal Perdagangan Luar Negeri (DGFT), sebuah unit Kementerian Perdagangan, mereka akan membenarkan penghantaran kargo tersadai dengan syarat peniaga membayar duti eksport menjelang 20 Julai, apabila larangan dikuatkuasakan.
- Presiden Persekutuan Pengeksport Beras India, Prem Garg, berkata, selepas arahan dikeluarkan DGFT, kira-kira 150,000 tan kargo beras putih bukan basmati akan dihantar keluar dari pelbagai pelabuhan.
- India menyumbang 40 peratus daripada eksport beras dunia, menjual makanan ruji itu kepada lebih 150 negara, termasuk beberapa negara miskin dan berisiko di Afrika dan Asia.
NEW DELHI: India semalam kembali membenarkan eksport kargo beras putih bukan basmati yang tersadai di pelabuhan selepas larangan mengejut ke atas kategori bahan makanan itu.
Pada 20 Julai lalu, India mengejutkan pembeli apabila mengharamkan eksport beras putih bukan basmati yang digunakan secara meluas bagi mengawal kenaikan harga domestik.
Langkah itu hadir selepas larangan terhadap eksport beras hancur tahun lalu.
Larangan eksport itu menyebabkan ribuan tan beras putih bukan basmati tersadai di pelabuhan sehingga menyebabkan peniaga mengalami kerugian.
Dalam arahan terbaharu Direktorat Jenderal Perdagangan Luar Negeri (DGFT), sebuah unit Kementerian Perdagangan, mereka akan membenarkan penghantaran kargo tersadai dengan syarat peniaga sudah membayar duti eksport menjelang 20 Julai, apabila larangan dikuatkuasakan.
Sebelum larangan terhadap eksport beras putih bukan basmati, penghantaran ke luar negara bagi jenis beras itu akan dikenakan cukai sebanyak 20 peratus.
Presiden Persekutuan Pengeksport Beras India, Prem Garg, berkata, selepas arahan dikeluarkan DGFT, kira-kira 150,000 tan kargo beras putih bukan basmati akan dihantar keluar dari pelbagai pelabuhan.
“Tiga kapal tersekat di pelabuhan Kandla dan banyak kontena terletak di pelabuhan berbeza, menyebabkan banyak masalah kepada industri beras,” katanya.
India yang menyumbang 40 peratus daripada eksport beras dunia, menjual makanan ruji itu kepada lebih 150 negara, termasuk beberapa negara miskin dan berisiko di Afrika dan Asia.
New Delhi mengeksport rekod 22.2 juta tan beras pada 2022. Selepas mengharamkan eksport beras putih bukan basmati, India pada Jumaat lalu mengenakan cukai 20 peratus ke atas penghantaran beras rebus dan memperkenalkan harga lantai untuk jualan beras basmati di luar negara, sebagai sebahagian daripada usaha mengekalkan harga tempatan.
Sekatan eksport beras India itu juga memberi tekanan ke atas harga beras global.
“Kebenaran untuk membenarkan kargo yang tersadai di pelabuhan bukan sahaja akan membantu pembekal India, ia juga akan membantu pengguna di beberapa negara yang paling memerlukan,” kata Garg.
Katanya, kebanyakan kargo yang tersadai akan pergi ke negara-negara Afrika Timur dan Afrika Barat. – REUTERS
Sumber: Berita Harian
