Terkini
Sekatan demi sekatan, wujudkah kebebasan media di Malaysia?
Apa sudah jadi dengan kebebasan media di Malaysia?
Apa sudah jadi dengan kebebasan media di Malaysia?
Tahun ini sahaja sudah beberapa kejadian yang terlihat seakan cahaya kebebasan media di Malaysia makin kelam.Jika diimbas pada Mac tahun ini, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) menyuarakan bantahan keras terhadap Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang menyelar laporan analisis Berita Harian (BH) bertarikh 30 Mac mengenai Kadar Dasar Semalam (OPR).
Presidennya, Farah Marshita Abdul Patah berkata laporan BH itu adalah berdasarkan ramalan OPR yang memetik pakar kewangan.
Menurut beliau adalah menjadi amalan media di seluruh dunia untuk menyiarkan berita berdasarkan pendapat dan unjuran pakar industri.
“Tindakan beliau bukan saja menjejaskan laporan BH, malah komen yang ditulis dengan menggelar laporan itu sebagai ‘fitnah dan pembohongan’ telah menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan pembaca terhadap media,” memetik kenyataan itu.
Tidak terhenti di situ, beberapa agensi media juga telah dikenakan sekatan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). 7 Ogos lalu, media melaporkan kerajaan telah menyekat akses ke laman web UtusanTV.com kepada sesetengah pengguna internet di Malaysia.
Percubaan untuk mengakses laman web itu tertera notis yang menyatakan bahawa “laman sesawang ini tidak dapat diakses di Malaysia kerana melanggar undang-undang negara”.
Notis itu bagaimanapun tidak menghuraikan sifat pelanggaran yang didakwa dan butang yang dikatakan memaut kepada maklumat lanjut apabila diklik tidak berfungsi.
Sebelum kejadian tersebut, pada Jun pula kumpulan wartawan, Gerakan Media Merdeka (Geramm) menggesa kerajaan perpaduan memberi penjelasan berhubung sekatan untuk pengguna mengakses portal berita MalaysiaNow.
Ia berikutan terdapat dakwaan sekatan terhadap portal berita itu yang disifatkan melanggar kebebasan media secara terang-terangan.
“Geramm memandang serius berhubung dakwaan laporan akses yang disyaki disekat ke portal berita dalam talian MalaysiaNow.
“Sebarang langkah sedemikian jika terbukti benar akan menjadi satu bentuk penapisan tidak langsung kerajaan ke atas saluran berita dan pelanggaran kebebasan akhbar secara terang-terangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Terbaru, TV Pertiwi.
Pada 18 Ogos lepas, portal berita TV Pertiwi dilaporkan disekat oleh SKMM, dua hari selepas akaun TikTok miliknya disekat.
Kali ini SKMM secara terbuka menyatakan kerajaan terpaksa mengambil tindakan terhadap TV Pertiwi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).
SKMM dalam satu kenyataan secara tegas memberi peringatan bahawa pihaknya kekal teguh dalam menghalang sebarang perlakuan atau percubaan melakukan kesalahan terutama yang berkaitan dengan kandungan yang palsu atau jelik.
TV Pertiwi bagaimanapun menerusi Ketua Pegawai Operasinya, Mohd Firdaus Salleh menegaskan tidak akan menurunkan(memadam) enam kandungan yang didakwanya telah diminta MCMC untuk melakukan demikian.
Beliau berkata ini kerana pihaknya tidak diberi penjelasan secara terperinci berkaitan kesalahan dan pelanggaran undang-undang yang dilakukan TV Pertiwi.
Sekali lagi Gerakan Media Merdeka (Geramm) dalam satu kenyataan mengecam tindakan SKMM yang disifatkan sebagai satu bentuk ancaman terhadap kebebasan media di Malaysia.
“Geramm tegas dengan pendirian sebarang bentuk sekatan terhadap portal berita – kejadian ketiga dalam masa tiga bulan – adalah merupakan ancaman terhadap kebebasan media Malaysia.
“Sebarang pertikaian melibatkan etika media perlu diselesaikan secara kendiri, telus dan bebas seiring langkah penubuhan Majlis Media Malaysia yang dijangka dibentang di Dewan Rakyat pada sidang pertama tahun depan,” katanya.
Kumpulan itu turut menggesa supaya SKMM memaklumkan pihak pengurusan media yang terlibat sebelum sebarang sekatan dikenakan terhadap mereka.
Pusat Kewartawanan Bebas, atau CIJ, pula menggesa SKMM selaku pihak berkuasa yang menyelia undang-undang komunikasi mengamalkan sikap lebih telus dalam menjalankan tanggungjawab mereka.
“Sebagai badan kawal selia, SKMM perlu berpegang kepada prinsip keadilan dengan memberikan notis secukupnya kepada entiti media sebelum menyekat akses kepada laman sesawang mereka serta bersikap lebih telus dan memberikan justifikasi di sebalik tindakan mereka menyekat akses portal terbabit,” jelas Pengarah Eksekutifnya, Wathshlah Naidu
Malangnya kesemua insiden ini langsung tidak menterjemahkan pencapaian cemerlang Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2022 dikeluarkan oleh Reporters Without Borders (RSF) pada Mei lalu apabila kedudukan Malaysia meningkat kepada 113 dengan 51.55 mata berbanding tahun sebelumnya, pada kedudukan 119 (60.53 mata).
Jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan industri kewartawanan negara bebas sepenuhnya tanpa campur tangan mana-mana pihak khasnya kerajaan turut mula diragui pengamal media apabila saban hari ada sahaja insiden yang membungkam kebebasan media di negara ini.
Kami pengamal media amat berharap Perdana Menteri dapat menunaikan jaminan yang dibuat beliau pada Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 dimana Kerajaan Perpaduan termasuk dirinya menerima segala kritikan jika terdapat kelemahan juga sedia memohon maaf dan melakukan perubahan.
Bagaimana untuk kami menjadi wartawan yang berani , bukan sekadar pelapor berita jika saat berita diterbitkan, tindakan tegas sedang menanti?
Pulangkan kebebasan media kami. -The Merdeka Times