Connect with us

Terkini

Isu cabar undang-undang syariah: Pinda perlembagaan sukar tetapi tidak mustahil – Pakar Perlembagaan

Setelah enam dekad kemerdekaan, masalah pertembungan bidang kuasa di antara perundangan sivil dan perundangan syariah masih belum selesai di negara ini.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hanani Zulkifli

Published

on

Isu cabar undang-undang syariah: Pinda perlembagaan sukar tetapi tidak mustahil – Pakar Perlembagaan
Foto: Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Dr Muhamad Fathi Yusof.
  • Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Dr Muhamad Fathi Yusof berkata kepincangan itu berlaku disebabkan pengasingan kuasa perundangan diterapkan pada zaman British masih dikekalkan sehingga Mahkamah Syariah selalu berdepan dengan campur tangan Mahkamah Sivil.
  • “Selepas merdeka, kita masih lagi mengekalkan pertembungan itu yang hasilnya meletakkan Mahkamah Syariah tersudut pada bahagian yang agak sempit,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times (TMT) Selasa lalu, mengulas mengenai isu cabaran Enakmen Jenayah Syariah Kelantan di Mahkamah Persekutuan.
  • Peguam, Lukman Sheriff Alias pada 2 Ogos lalu dilaporkan berkata mahkamah akan mendengar cabaran terhadap undang-undang jenayah syariah Kelantan dalam masa terdekat, sekaligus mengundang cadangan ramai pihak supaya perlembagaan negara dipinda bagi memartabatkan sistem kehakiman syariah. 
  • Senada dengan cadangan peguam itu, Fathi berkata siri pertembungan itu hakikatnya dapat dikurangkan dengan pindaan perlembagaan seperti mana berlakunya pindaan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1988 yang menghalang Mahkamah Sivil mencampuri bidang kuasa Mahkamah Syariah. 
  • Beliau tidak menafikan cabaran terbesar dalam pindaan perlembagaan itu adalah kerana perlunya kepada dorongan politik kuat, bermajoriti dan berpengaruh. 

KUALA LUMPUR – Setelah enam dekad kemerdekaan, masalah pertembungan bidang kuasa di antara perundangan sivil dan perundangan syariah masih belum selesai di negara ini.

Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Dr Muhamad Fathi Yusof berkata kepincangan itu berlaku ekoran pengasingan kuasa perundangan yang diterapkan pada zaman British masih dikekalkan sehingga Mahkamah Syariah selalu berdepan dengan campur tangan Mahkamah Sivil.  

“Selepas merdeka, kita masih lagi mengekalkan pertembungan itu yang hasilnya meletakkan Mahkamah Syariah tersudut pada bahagian yang agak sempit,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times (TMT) Selasa lalu, mengulas mengenai isu cabaran Enakmen Jenayah Syariah Kelantan di Mahkamah Persekutuan.

Peguam, Lukman Sheriff Alias pada 2 Ogos lalu dilaporkan berkata mahkamah akan mendengar cabaran terhadap undang-undang jenayah syariah Kelantan dalam masa terdekat, sekaligus mengundang cadangan ramai pihak supaya perlembagaan negara dipinda bagi memartabatkan sistem kehakiman syariah. 

Senada dengan cadangan peguam itu, Fathi berkata siri pertembungan itu hakikatnya dapat dikurangkan dengan pindaan perlembagaan seperti mana berlakunya pindaan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1988 yang menghalang Mahkamah Sivil mencampuri bidang kuasa Mahkamah Syariah. 

Beliau menyifatkan pindaan itu sebagai kejayaan dan pengiktirafan besar kepada Mahkamah Syariah. 

“Pertikaian itu perlu diselesaikan bukan sahaja melalui mahkamah tetapi perlu diselesaikan juga melalui beberapa pindaan perlembagaan bagi memberikan garisan yang lebih jelas berkaitan bidang kuasa mahkamah persekutuan dan mahkamah negeri,” katanya. 

Namun, beliau tidak menafikan cabaran terbesar dalam pindaan perlembagaan itu adalah kerana perlunya kepada dorongan politik yang kuat, bermajoriti dan berpengaruh. 

“Bila kita sebut pindaan perlembagaan, kita tak boleh elak ia adalah kuasa daripada parlimen dan perlembagaan tidak boleh dipinda melainkan dengan persetujuan dua pertiga daripada anggota parlimen sama ada dalam dewan rakyat mahupun dewan negara. Dan sebelum daripada pindaan itu pula, perlu proses kelulusan daripada peringkat jemaah menteri. Kerajaan bersetuju dengan pindaan itu. Jadi dua-dua proses ini perlu dilalui. 

“Tetapi apa yang berlaku sekarang, bukan sekadar pindaan perlembagaan yang memerlukan dua pertiga kita tak dapat lakukan. Meluluskan pindaan ke atas akta biasa seperti Rang Undang-Undang 355 (RUU355) masih lagi tidak mampu lakukan walaupun hanya memerlukan undi simple majority di parlimen,” katanya. 

Fathi berkata dorongan politik dari kalangan ahli politik ini dapat dibina bukan sahaja melalui kuasa Majlis Raja-Raja tetapi juga kesedaran masyarakat juga membolehkan pindaan itu berlaku. 

“Elemen yang penting untuk membentuk dorongan politik ini ialah melalui kuasa Majlis Raja-Raja yang walaupun tidak ada dalam institusi yang meluluskan pindaan perlembagaan tetapi mempunyai pengaruh yang besar kepada ahli-ahli politik sama ada badan eksekutif atau badan legislatif untuk melaksanakan perubahan termasuklah melalui pindaan perlembagaan. 

“Yang penting juga untuk membentuk political will bagi saya adalah kesedaran awam yang perlu dibentuk melalui political advocacy kerana kita tahu kadang-kadang orang politik ini menolak usaha untuk martabatkan syariah kerana ia melihat bahawa ia bukan satu agenda yang popular.

“Orang politik dia nak yang popular sahaja lah. Apa yang popular, apa yang dapat meraih sokongan politik itulah yang mereka sokong,” katanya. 

Beliau menegaskan cadangan pindaan perlembagaan itu bukan bertujuan untuk bersaing antara kedua-dua sistem kehakiman tetapi memastikan semua sistem perundangan negara ini menuju ke arah prinsip Islam.

“Tujuan mahkamah, apa sahaja mahkamah adalah untuk menegakkan keadilan. Kalau dilaksanakan secara tidak bertentangan dengan prinsip Islam, maka itu adalah Islam.

“Keseluruhan sistem di dalam negara kita ini perlu menuju ke arah Islam. Saya rasa satu prinsip yang penting perlu difahami oleh semua dan perlu menjadi agenda dalam diri kita mempertahankan Undang-undang Islam di negara kita.” katanya. – The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *