Connect with us

Terkini

Perlu perbanyakan kerjasama, penerokaan berasaskan konsep Islam dan bioperubatan – Sultan Nazrin

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bertitah lebih banyak kerjasama dan penerokaan yang bernas serta beretika perlu dilakukan berpandukan konsep Islam dan bioperubatan supaya dunia lebih bersedia berdepan cabaran kesihatan global pada masa hadapan.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Perlu perbanyakkan kerjasama, penerokaan berasaskan konsep Islam dan bioperubatan - Sultan Nazrin
Foto: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
  • Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bertitah lebih banyak kerjasama dan penerokaan bernas serta beretika perlu dilakukan berpandukan konsep Islam dan bioperubatan supaya dunia lebih bersedia berdepan cabaran kesihatan global pada masa hadapan.
  • Sultan Nazrin bertitah, walaupun pandemik COVID-19 yang bermula tiga tahun lalu kini bukan lagi kecemasan kesihatan global, namun kesan perubatan, emosi dan sosial terus dirasai masyarakat di seluruh dunia.
  • Titah baginda, keperluan untuk bertindak balas dengan pantas dalam mendepani krisis menyebabkan pertimbangan terhadap kesan psikologi dan etika tidak diberi perhatian sepenuhnya.

KUALA LUMPUR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bertitah lebih banyak kerjasama dan penerokaan yang bernas serta beretika perlu dilakukan berpandukan konsep Islam dan bioperubatan supaya dunia lebih bersedia berdepan cabaran kesihatan global pada masa hadapan.

Sultan Nazrin bertitah, walaupun pandemik COVID-19 yang bermula tiga tahun lalu kini bukan lagi kecemasan kesihatan global, namun kesan perubatan, emosi dan sosial terus dirasai masyarakat di seluruh dunia.

Titah baginda, keperluan untuk bertindak balas dengan pantas dalam mendepani krisis menyebabkan pertimbangan terhadap kesan psikologi dan etika tidak diberi perhatian sepenuhnya.

“Walaupun kita kini mungkin lebih bersedia, dari segi logistik untuk kecemasan kesihatan masa depan, beta tidak yakin komuniti global kita masih mampu menangani persoalan etika asas seperti ini sepenuhnya.

“Dalam bidang seperti inilah, karya dan pemikiran yang dikemukakan dalam (buku) “Islam and Biomedicine” boleh memberi sumbangan yang begitu penting.

“Ia mengandungi esei mengenai ketegangan antara fahaman penentuan perubatan dan konsep Islam mengenai manusia sebagai ejen moral bebas.

“Esei ini, dalam erti kata lain, model untuk kita berfikir melalui persoalan moral yang sukar, yang mana perubatan, kepercayaan dan belas kasihan, semuanya boleh memberikan jawapan yang berbeza,” titah baginda.

Baginda bertitah ketika melancarkan buku “Islam and Biomedicine” terbitan Springer, yang disunting Felo Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford, Datuk Dr Afifi al-Akiti di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) Kampus Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden UIAM, Tan Sri Samsudin Osman dan Afifi, serta duta asing dan ahli akademik.

Selain itu, Sultan Nazrin bertitah, ketika ini, teknologi kecerdasan buatan (AI) menguasai dunia, termasuk dalam bidang perubatan, antaranya dilaporkan mampu membantu memadankan pesakit dengan rawatan sesuai dan mengurangkan masa rawatan radioterapi, malah terdapat perbincangan mengenai satu revolusi perubatan dijana AI, dari segi kemajuan menyelamatkan nyawa dalam diagnosis dan perubatan.

Bagaimanapun titah baginda, mesin AI bukan makhluk bermoral, yang memahami etika dan menerapkan belas kasihan dalam situasi yang kompleks serta membuat keputusan, dan hanya manusia yang mampu melakukannya.

“Ia tidak boleh melakukan seperti apa yang dilakukan pakar perubatan dan saintis manusia yang cemerlang, melihat data dan kemudian membuat pertimbangan holistik mengenai tindakan terbaik, dengan mengambil kira kesejahteraan fizikal, mental dan emosi pesakit.

“Ia juga tidak boleh mengikut jejak langkah ahli falsafah kita yang bijak, ahli teologi dan ulama kita, yang tugasnya seringkali perlu melangkaui alam data,” katanya.

Pada majlis itu, Sultan Nazrin turut berkenan menghadiri Forum Khas “Islam dan Bioperubatan” anjuran ISTAC dan melawat Perpustakaan Syed Muhammad Naquib Al-Attas.

Buku “Islam and Biomedicine” adalah hasil kerjasama Afifi dengan pakar perubatan dari Universiti Chicago, Dr Aasim Padela, melalui projek penyelidikan yang dibiayai Templeton Religion Trust, iaitu suatu dana penyelidikan Amerika Syarikat (AS) yang terkenal, yang ditubuhkan Sir John Templeton pada 1984.

Sumber: Berita Harian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *