Terkini
Baling banjir lagi, penduduk gesa kerajaan negeri batal projek Musang King
Kerajaan negeri digesa mengambil langkah segera memindahkan 19 keluarga di Kampung Lata Chelak di Iboi yang kini terus-menerus terdedah kepada risiko bencana kepala air.
- Kerajaan negeri Kedah digesa membatalkan projek ladang durian Musang King yang dikatakan menjadi punca bencana banjir.
- Banjir lumpur dan kepala air menyebabkan 19 keluarga melibatkan 58 orang penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Kampung Padang Empang selepas rumah mereka dimasuki air berlumpur
- Insiden kepala air yang berulang membuatkan para penduduk risau tentang keselamatan mereka.
- Penduduk mengakui keadaan Sungai Kupang yang cetek akibat dipenuhi pasir selepas tragedi 4 Julai lalu menyebabkan air mudah melimpah dengan cepat ke penempatan penduduk.
BALING – Kerajaan negeri digesa mengambil langkah segera memindahkan 19 keluarga di Kampung Lata Chelak di Iboi yang kini terus-menerus terdedah kepada risiko bencana kepala air.
Selain itu, kerajaan negeri perlu mengambil langkah drastik dengan membatalkan projek ladang durian Musang King di puncak Gunung Inas, yang didakwa menjadi antara punca bencana alam di kawasan berkenaan.
Penasihat Kelab Sahabat Alam Sik dan Grass Kedah, Mohd Sobri Ramlee memberitahu bahawa pihaknya sebulat suara dengan 36 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seluruh Malaysia yang sebelum ini berharap kerajaan negeri mengambil tindakan menutup projek itu dan menggantikannya dengan tanaman semula jadi pokok balak spesies asal.
“Semalam berlaku lagi kepala air dan (ini buktinya) orang kampung tidak selamat lagi. Mereka sepatutnya dipindahkan bersama mangsa sebelum ini, jangan sampai ada lagi yang terkorban baru hendak bertindak,” katanya ketika dihubungi Berita Harian pada Jumaat.
Semalam, banjir lumpur dan kepala air menyebabkan 19 keluarga melibatkan 58 orang penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Kampung Padang Empang selepas rumah mereka dimasuki air berlumpur.
Kebanyakan mangsa adalah penduduk kampung yang kediaman mereka terletak berhampiran Sungai Kupang yang kini menjadi cetek selepas kejadian kepala air yang turut mengorbankan tiga nyawa pada 4 Julai lalu.
Sobri turut berpesan agar menjadikan bencana banjir yang melanda pada 4 Julai lalu sebagai pengajaran buat semua pihak.
“Jangan cabar alam semula jadi kerana kesannya sangat besar, kerajaan negeri mana sekalipun perlu telus dalam membuat keputusan.
“Kita tak mahu ada lagi nyawa terkorban selepas ini kerana yang jadi mangsa adalah orang kampung.
“Mereka sudah rasa tak selamat di kawasan itu. Kerajaan negeri juga beri jawapan kata putus sama ada kawasan sekitar Gunung Inas selamat diduduki atau tidak,” katanya.
Sementara itu, penduduk kampung, Zainol Salleh, 70, mengakui dia dan keluarga merasakan lebih selamat untuk berlindung di PPS berbanding di rumah sendiri yang jaraknya terlalu dekat dengan Sungai Kupang.
Katanya, kebanyakan penduduk masih trauma dengan kejadian awal bulan lalu dan kini bencana sama berulang lagi petang semalam.
Zainol juga mengakui keadaan Sungai Kupang yang cetek akibat dipenuhi pasir selepas tragedi 4 Julai lalu menyebabkan air mudah melimpah dengan cepat ke penempatan penduduk.
Sumber: Berita Harian