Agama
(VIDEO) Artis nyanyi dan menari di majlis raya sekolah, ‘Jangan sambut raya dengan dosa’

KUALA LUMPUR — “Janganlah raya disambut dengan dosa”.
Itu peringatan Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi berhubung video tular nyanyian lagu raya bersama artis dengan anak-anak muda.
Malah, menurut Ahmad Sanusi terdapat juga tarian dan joget dilakukan dalam premis sekolah iaitu tempat di mana anak-anak dididik mengenal agama dan budaya.
Beliau menegaskan bahawa Hari Raya merupakan salah satu hari kebesaran dalam Islam dan Allah menjadikan ia sebagai gantian kepada perayaan jahiliah.
Namun, apa yang membimbangkan beliau adalah kita pula dilihat mengembalikannya dengan sifat sambutan jahiliah.
“Keseronokan sambutan Hari Raya janganlah dicemari dengan dosa. Hari Raya merupakan salah satu hari kebesaran dalam Islam.
“Allah menjadikan Hari Raya sebagai gantian kepada perayaan Jahiliah. Namun, apa yang membimbangkan, kita pula yang mengembalikannya dengan sifat sambutan Jahiliah.
“Sabda Rasulullah: “Sesungguhnya Allah telah menggantikan bagi kamu hari yang lebih baik dari (perayaan jahiliah terdahulu) iaitu Hari Adha dan Hari Raya Aidil Fitri,” (HR Abu Daud),” katanya menerusi hantaran di Facebook di sini hari ini.

Foto: Poster yang dimuat naik Ahmad Sanusi dalam hantaran Facebook beliau.
Turut disertakan dalam hantaran itu adalah poster bertajuk,”Jemput artis berjoget di sekolah” yang memaparkan gambar sekumpulan wanita berbaju kurung dan seorang lelaki berbaju Melayu terlihat seakan sedang menyanyi dan menari di atas pentas sebuah sekolah menengah.
Sementara itu, Ahmad Sanusi menjelaskan kelompok Muslim membayar zakat fitrah bagi menyempurnakan kekurangan puasa kita di bulan Ramadan.
Perkara itu menurut beliau dinyatakan Ibn Abbas dalam sebuah hadis yang menyebut; “Rasulullah memfardukan Zakat Fitrah itu adalah bagi menyucikan (kekurangan) orang yang berpuasa daripada melakukan perkara yang lagha (sia-sia) dan dosa,” (HR Abu Daud).
“Anehnya setelah kita membayar Zakat Fitrah dan berpuasa bagi membersihkan diri kita dari dosa, kita sambut pula dengan nyanyian, jogetan serta pergaulan bebas sesama lelaki dan wanita.
“Kata Bisyr al-Hafi: Sesungguhnya terdapat satu kaum yang beribadah dalam bulan Ramadan dan bersungguh dalam amalan. Apabila hilang Ramadan, mereka meninggalkan semua (kebaikan itu). Inilah sejahat-jahat kaum. Mereka hanya mengenal Allah dalam bulan Ramadan. (Miftah al-Afkar, 2/283),” katanya. — The Merdeka Times
