Connect with us

Terkini

SPK tidak bermakna jika PM boleh ketepikan cadangan pelantikan hakim – Zaid Ibrahim pertahan Tengku Maimun

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Mohd Zaid Ibrahim (kiri) & bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad (kanan)
  • Tiada siapa menyeru penghapusan sepenuhnya peranan Perdana Menteri dalam pelantikan hakim, sebaliknya kebimbangan sekarang ialah Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) menjadi tidak bermakna jika Perdana Menteri boleh mengetepikan cadangan suruhanjaya berkenaan di mana ketika ini beliau berupaya melakukannya.
  • Itu kenyataan balas bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Mohd Zaid Ibrahim susulan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad menyatakan bahawa peranan Perdana Menteri dalam pelantikan hakim tidak sepatutnya dihapuskan, jika tidak akan berlaku ‘diktator Ketua Hakim’.
  • Menurut Mohd Zaid, apa diperlukan ketika ini hanyalah pendekatan yang adil dan seimbang di mana peranan Perdana Menteri dikekalkan, tetapi beliau tidak boleh dibenarkan untuk menolak cadangan suruhanjaya itu dua atau tiga kali serta proses tersebut dijalankan dengan telus.

KUALA LUMPUR — Tiada siapa menyeru penghapusan sepenuhnya peranan Perdana Menteri dalam pelantikan hakim, sebaliknya kebimbangan sekarang ialah Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) menjadi tidak bermakna jika Perdana Menteri boleh mengetepikan cadangan suruhanjaya berkenaan di mana ketika ini beliau berupaya melakukannya.

Itu kenyataan balas bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Mohd Zaid Ibrahim susulan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad menyatakan bahawa peranan Perdana Menteri dalam pelantikan hakim tidak sepatutnya dihapuskan, jika tidak akan berlaku ‘diktator Ketua Hakim’.

Menurut Mohd Zaid, apa diperlukan ketika ini hanyalah pendekatan yang adil dan seimbang di mana peranan Perdana Menteri dikekalkan, tetapi beliau tidak boleh dibenarkan untuk menolak cadangan suruhanjaya itu dua atau tiga kali serta proses tersebut dijalankan dengan telus.

“Adalah sukar untuk mempercayai bahawa Tengku Maimun adalah seorang diktator ataupun pelantikannya dilakukan dengan cara tidak betul, tetapi semua itu tidak relevan dengan isu menambah baik sistem pelantikan hakim untuk memastikan yang terbaik dan paling berkemampuan dilantik.

“Lagipun, Ketua Hakim di mana-mana negara sekalipun tidak boleh lakukan kerosakan sebesar mana yang boleh dilakukan perdana menteri atau Presiden.

“Seperti yang telah saya nyatakan, cadangan Tengku Maimun adalah cadangan yang baik dan wajar diterima,” katanya menerusi ciapan berbahasa Inggeris di X pada Isnin.

Foto: Tangkap layar ciapan Zaid Ibrahim di X.

Terdahulu, media melaporkan seorang bekas ketua hakim negara menyeru peranan Perdana Menteri berhubung pelantikan hakim di dalam Perlembagaan dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) dikekalkan.

Tun Abdul Hamid Mohamad berkata mengenepikan Perdana Menteri, sama ada dalam menasihatkan Yang di-Pertuan Agong atau melantik empat daripada sembilan ahli SPK tidak menjamin kebebasan badan kehakiman.

Beliau juga berkata ia mungkin membuka ruang kepada ‘pemerintahan diktator ketua hakim negara’, yang turut menganggotai SPK bersama tiga pentadbir kehakiman lain dan seorang hakim kanan di Mahkamah Persekutuan.

Isu pelantikan kehakiman menjadi perhatian apabila Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada Persidangan Undang-Undang Komanwel ke-24 di Malta baru-baru ini dilapor telah berucap supaya Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta SPK) dipinda untuk menghapuskan peranan Perdana Menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam pelantikan hakim.

Menurut Tengku Maimun, langkah itu boleh membantu mengikis persepsi wujudnya pengaruh politik terhadap badan kehakiman. — The Merdeka Times

Author