Antarabangsa
Mufti Besar Mesir tolak fatwa jihad terhadap Israel

- “Menyeru kepada jihad tanpa mengambil kira kemampuan negara serta realiti politik, ketenteraan dan ekonominya adalah tindakan tidak bertanggungjawab yang bercanggah dengan prinsip Syariah” – Nazir Ayyad, Mufti Besar Mesir.
- “Tiada individu, kumpulan atau badan yang mempunyai hak untuk mengeluarkan fatwa dalam hal yang begitu sensitif dan kritikal dengan melanggar prinsip Syariah dan objektif tertingginya”.
CAIRO – Mufti Besar Mesir, Nazir Ayyad, menolak fatwa yang dikeluarkan Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia (IUMS) yang menyeru semua umat Islam yang mampu untuk melancarkan jihad terhadap Israel atas kekejamannya di Gaza, dengan menyifatkannya sebagai “tidak bertanggungjawab”.
IUMS sebelum ini menyatakan bahawa semua negara Islam mempunyai kewajipan sah untuk “campur tangan segera dari segi ketenteraan, ekonomi dan politik bagi menghentikan pembunuhan beramai-ramai dan pemusnahan menyeluruh ini”, serta mengenakan sekatan terhadap Israel.
“Kelalaian kerajaan Arab dan Islam dalam menyokong Gaza ketika ia sedang dimusnahkan adalah dianggap sebagai jenayah besar menurut undang-undang Islam terhadap saudara-saudara kita yang tertindas di Gaza,” kata setiausaha agung IUMS, Ali al-Qaradaghi, dalam satu kenyataan pada Jumaat lalu.
Kenyataan IUMS turut disokong oleh 14 lagi ulama Islam terkenal, menyeru semua negara Islam agar “menilai semula perjanjian damai mereka” dengan Israel dan menggesa umat Islam di Amerika Syarikat supaya mendesak Presiden Donald Trump untuk “menunaikan janji pilihan rayanya untuk menghentikan pencerobohan dan mewujudkan keamanan”.
Sebagai tindak balas, Nazir — yang merupakan pihak berkuasa tertinggi dalam mengeluarkan pandangan agama di Mesir — menolak fatwa tersebut dan berkata bahawa “tiada individu, kumpulan atau badan yang mempunyai hak untuk mengeluarkan fatwa dalam hal yang begitu sensitif dan kritikal dengan melanggar prinsip Syariah dan objektif tertingginya”.
“Tindakan sedemikian boleh membahayakan keselamatan masyarakat dan kestabilan negara-negara Islam,” tambah beliau dalam laporan yang dikeluarkan Middle East Eye.
Menyokong rakyat Palestin dalam perjuangan hak mereka yang sah adalah satu kewajipan agama, kemanusiaan dan moral. Namun, sokongan ini mesti disalurkan dengan cara yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat Palestin, dan bukannya untuk memajukan agenda tertentu atau tindakan semberono yang boleh membawa kepada lebih banyak kemusnahan, pelarian dan bencana terhadap rakyat Palestin itu sendiri.
Nazir menegaskan bahawa pengisytiharan jihad dalam Islam mesti dilakukan oleh “pihak berkuasa yang sah”.
“Dalam era kini, pihak berkuasa itu adalah negara yang diiktiraf dan kepimpinan politik, bukannya kenyataan yang dikeluarkan oleh entiti atau kesatuan yang tidak mempunyai kuasa undang-undang dan tidak mewakili umat Islam secara agama mahupun praktikal,” katanya.
“Menyeru kepada jihad tanpa mengambil kira kemampuan negara serta realiti politik, ketenteraan dan ekonominya adalah tindakan tidak bertanggungjawab yang bercanggah dengan prinsip Syariah, yang menyeru kepada persiapan, kebijaksanaan dan pertimbangan terhadap akibatnya.”
Sebaliknya, Nazir berkata adalah lebih bijak untuk negara-negara Islam mengambil pendekatan menghentikan serangan dan bukannya menyeru kepada campur tangan ketenteraan dan jihad.
Seorang ulama Salafi pro-kerajaan Mesir yang terkenal, Yasser Burhami, turut menolak fatwa IUMS minggu ini dengan menyifatkannya sebagai tidak realistik dan bertentangan dengan perjanjian damai Mesir-Israel yang ditandatangani pada 1979.
Yasser, ketua gerakan Salafi Mesir, adalah antara penyokong utama Presiden Mesir Abdel Fattah el-Sisi, dan menyokong rampasan kuasa 2013 terhadap Presiden Mesir yang dipilih secara demokratik, Mohamed Morsi.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa juga sebelum ini telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant. – The Merdeka Times
