Connect with us

Kolumnis

Mengapa imej Ku Klux Klan dikira sensitif di Malaysia?

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Research And Development MRM

Published

on

Foto: Sekumpulan individu dipercayai pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dengkil dekat Sepang, Selangor yang mengenakan jubah mirip Ku Klux Klan (KKK).

Di era ledakan visual, satu imej mampu membina persepsi – ataupun juga memusnahkan reputasi – dalam sekelip mata. 

Visual kini menjadi medium paling pantas dalam menyampaikan mesej, malah sering kali lebih berkuasa daripada kata-kata. 

Namun, jika tersalah tafsir atau tersilap pendekatan, ia mampu mengundang padah yang besar.

Baru-baru ini, tular video sekumpulan pelajar UiTM berpakaian kostum menyerupai ahli kumpulan ekstremis Ku Klux Klan (KKK) – lengkap dengan jubah putih, penutup kepala berbentuk kon yang menutupi wajah kecuali bahagian mata – sambil berarak di sekitar kampus. 

Menurut penjelasan pihak universiti, tindakan tersebut merupakan sebahagian tugasan akademik yang membincangkan tentang gerakan KKK. 

Agak menarik sebenarnya kelainan yang dibawa pelajar-pelajar ini dalam gaya penyampaian mereka. 

Tidak bergantung kepada pembacaan slaid semata-mata yang menjadikan pembentangan mereka agak kreatif. 

Namun, dalam usaha menghasilkan ‘pembentangan yang berimpak’, pendekatan yang diambil itu akhirnya telah menimbulkan impak yang salah. 

Saya yakin pelajar-pelajar ini tidak menyedari dan melihat pada jangka panjang apa kemungkinan yang berlaku akibat tindakan mereka. 

Jadikanlah insiden ini sebagai pengajaran untuk menimbang setiap tindakan dengan lebih berhati-hati sebelum dikongsi pada masa akan datang.

Mengapakah imej KKK dikira sensitif? 

Dalam konteks masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia, simbol dan imej seperti kostum KKK bukan sekadar pakaian.

Ia adalah lambang rasisme, simbol keganasan dan contoh ekstrem ideologi kebencian perkauman yang pernah menghantui dunia pada satu ketika dahulu. 

Ku Klux Klan bukanlah kumpulan biasa. Ia merupakan kumpulan pelampau berasaskan ideologi perkauman, yang mendakwa supremasi orang berkulit putih sebagai sesuatu yang ‘suci’ dan ‘dibenarkan oleh agama’. 

Mereka mendakwa bahawa Bible hanya mengiktiraf orang berkulit putih sahaja, manakala golongan yang bukan berkulit putih patut dihapuskan. 

Dengan berpegang kepada slogan “kuasa kulit putih”, mereka membakar rumah, membunuh golongan yang bukan berkulit putih tanpa belas dan menjustifikasikan semua tindakan dan kebencian mereka atas nama Tuhan dan bangsa.

Mereka bertanggungjawab atas pembunuhan ribuan nyawa yang tidak berdosa, terutamanya  terhadap golongan minoriti di Amerika kerana mereka telah didoktrinkan untuk memperjuangkan kepentingan orang kulit putih semata-mata. 

Perlu dijelaskan tindakan kejam kumpulan ekstremis ini yang mempermainkan simbol agama sebagai perisai kepada agenda mereka adalah tindakan yang tidak pernah diajar oleh mana-mana agama.

Gimik KKK: Kreativiti tidak bertempat

Dengan menyarung simbol kumpulan ini, walaupun dengan tujuan akademik, menunjukkan ‘ketidaksensitifan’ para pelajar tersebut terhadap sejarah hitam KKK ini. 

Disebabkan imej kostum itu begitu kuat dan negatif ini, ia serta-merta menenggelamkan apa jua tujuan asal mereka, bahkan menimbulkan persepsi berbahaya seolah-olah ada cubaan mengagungkan atau menormalisasikan ideologi kumpulan pelampau tersebut, meskipun ia bukan niat asal mereka. 

Ini amat berbahaya apabila simbol ekstremisme digunakan secara sewenang-wenangnya tanpa sensitiviti dan tanggungjawab.

Rasulullah SAW memberi peringatan yang jelas: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dalam kalangan mereka” (Sunan Abu Dawud, no. 4031)

Islam tidak menolak pencarian ilmu malah, ia menggalakkannya. Namun, penyampaian ilmu itu mesti dilakukan dengan cara yang berhikmah dan beretika. 

Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang lebih baik.” (Surah an-Nahl, 16:125)

Mengkaji sejarah KKK tidak salah untuk mengambil pengajaran (ibrah), tetapi kaedah penyampaiannya juga perlu matang dan tidak menimbulkan mudharat yang lebih besar.

Kita boleh mengkaji Nazisme tanpa menyarung seragam Schutzstaffel. Kita boleh berbincang tentang ISIS tanpa menjulang pun bendera mereka. 

Begitu juga dengan KKK—ia wajar dikritik, dibongkar dan difahami sebagai contoh kezaliman manusia terhadap manusia. 

Bukan dijadikan bahan persembahan atau gimik visual seperti menjelma menjadi KKK. 

Sebaliknya, gunakan pendekatan ilmiah yang matang dan beretika: seminar, forum terbuka, analisis teks sejarah, pembentangan dokumentari, dan bengkel mengenai ucapan kebencian, keganasan, dan diskriminasi.

Dalam mengupas sisi gelap sejarah, kita seharusnya lebih peka terhadap sensitiviti masyarakat di sekeliling kita, lebih-lebih lagi apabila melibatkan isu-isu sensitif yang bersangkutan dengan sejarah, perkauman, dan keganasan.

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *