Terkini
Kebun durian: Persatuan pelajar universiti kecam tindakan Kerajaan Pahang, dakwa salah guna kuasa

- Beberapa persatuan pelajar universiti mengecam keras tindakan kerajaan negeri Pahang berhubung operasi penguatkuasaan ke atas kebun durian di Raub baru-baru ini, dengan mendakwa langkah tersebut sebagai satu bentuk penyalahgunaan kuasa untuk menindas pekebun.
- Kecaman itu dinyatakan Naib Presiden Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY), Tang Yi Ze, Suara Siswa UM, Student Progressive Front UUM (SPFUUM), Gerakan Mahasiswa Maju UPM dan Suara Siswa UUM menerusi satu kenyataan bersama dalam bahasa Inggeris yang disiar di Facebook UMANY pada Sabtu lalu.
- “Tang Yi Ze, Naib Presiden UMANY menegaskan walaupun pekebun-pekebun itu tidak memiliki geran tanah rasmi, ia tidak memberikan kerajaan sebarang justifikasi moral untuk merampas tanah tersebut atau memajaknya kepada (syarikat) korporat yang berorientasikan keuntungan,” kata mereka.
KUALA LUMPUR — Beberapa persatuan pelajar universiti mengecam keras tindakan kerajaan negeri Pahang berhubung operasi penguatkuasaan ke atas kebun durian di Raub baru-baru ini, dengan mendakwa langkah tersebut sebagai satu bentuk penyalahgunaan kuasa untuk menindas pekebun.
Kecaman itu dinyatakan Naib Presiden Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY), Tang Yi Ze, Suara Siswa UM, Student Progressive Front Universiti Utara Malaysia (SPFUUM), Gerakan Mahasiswa Maju UPM (Universiti Putra Malaysia) dan Suara Siswa UUM menerusi satu kenyataan bersama dalam bahasa Inggeris yang disiar di Facebook UMANY pada Sabtu lalu.
Menurut mereka, baru-baru ini kerajaan negeri Pahang sekali lagi secara terang-terangan mengingkari perintah injunksi mahkamah dengan menghantar konvoi 30 kenderaan penguat kuasa ke Kampung Sungai Klau, Raub bagi menjalankan operasi besar-besaran menebang ribuan pokok durian Musang King di kebun-kebun tidak mempunyai geran tanah.
Mereka mendakwa tindakan itu tetap dilakukan walau Mahkamah Rayuan mengeluarkan injunksi pada 28 Mei 2024 yang melarang mana-mana pihak memusnahkan pokok atau struktur di tanah yang masih dalam pertikaian selagi proses rayuan berjalan.
“Meskipun terdapat keputusan mahkamah baharu pada Julai 2024, injunksi asal tersebut tidak pernah dibatalkan, yang bermakna kerajaan tidak mempunyai asas undang-undang untuk menafsirkan keputusan itu sebagai lampu hijau untuk meneruskan tindakan mereka.
“Tang Yi Ze, Naib Presiden UMANY menegaskan walaupun pekebun-pekebun itu tidak memiliki geran tanah rasmi, ia tidak memberikan kerajaan sebarang justifikasi moral untuk merampas tanah tersebut atau memajaknya kepada (syarikat) korporat yang berorientasikan keuntungan,” kata mereka.
Tambah mereka, jika melihat kepada sejarah menerusi Rancangan Buku Hijau yang diperkenalkan Perdana Menteri Kedua, Tun Razak pada tahun 1970-an, ia menggalakkan rakyat mengusahakan tanah terbiar di bawah pendekatan “tanam dahulu, daftar kemudian”.
Justeru, katanya sebagai respon kepada perkara itu para peneroka mengusahakan tanah terbiar dengan menjadikannya ladang subur yang kemudian menyumbang kepada ekonomi negara dan kelangsungan hidup mereka.
“Malangnya, permohonan pemilikan tanah yang dikemukakan secara berulang kali telah diabaikan dan sering kali ditolak tanpa alasan munasabah, akibat dasar pertanian yang lemah.
“Walaupun sudah berdekad-dekad mengusahakan tanah tersebut, para pekebun ini masih tidak diberi hak milik secara sah.
“UMANY dan barisan mahasiswa lain berdiri teguh bersama para pekebun durian di Raub. Kami percaya setiap individu berhak menikmati hasil titik peluh mereka sendiri.
“Kami menggesa kerajaan Pahang untuk menegakkan kedaulatan undang-undang,” kata persatuan pelajar itu.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook UMANY
Sebelum ini, operasi penguatkuasaan ke atas kebun durian di Raub mencetuskan pelbagai reaksi apabila pekebun didakwa tidak berpuas hati selepas tanaman mereka dimusnahkan, lapor BERNAMA.
Kerajaan Pahang pula menafikan melanggar perintah mahkamah apabila kira-kira 200 pokok durian Musang King ditebang dalam operasi penguatkuasaan di Sungai Klau, Raub pada 8 April lalu.
Operasi disertai polis dan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) itu dijalankan di kawasan kebun yang diteroka tanpa kebenaran dan dijangka berlangsung hingga 3 Mei ini.
Turut mengkritik tindakan kerajaan Pahang itu adalah Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) 2024/2025 yang dilihat menggunakan hujah lebih kurang sama dengan persatuan-persatuan pelajar di atas.
KMUM mengecam sekeras-kerasnya penyalahgunaan kuasa yang didakwa dilakukan kerajaan negeri Pahang dalam hal itu dan penindasan berterusan ke atas pekebun-pekebun durian Raub.
“Memang benar para pekebun durian tidak memiliki geran tanah yang diiktiraf secara sah. Namun, jika diteliti konteks sejarahnya, ini adalah satu kes klasik ketidakadilan pemilikan tanah.
“Pada 1970-an, kerajaan telah melancarkan Rancangan Buku Hijau, yang menggalakkan rakyat meneroka tanah terbiar untuk sara diri.
“Para pekebun di Raub telah menyahut seruan ini dengan penuh tanggungjawab dan dijanjikan peluang untuk memohon geran tanah kemudian hari… Malangnya, permohonan demi permohonan telah ditangguh atau diabaikan pihak berkuasa secara berterusan selama beberapa generasi.
“Kini, tindakan kerajaan mengguna kelompongan undang-undang untuk merampas hasil titik peluh mereka dengan memaksa pekebun menjual durian kepada RPD (Royal Pahang Durian Group) pada harga di bawah pasaran merupakan satu pengkhianatan terhadap kepercayaan rakyat dan ketidakadilan yang amat serius,” katanya dalam kenyataan berbahasa Inggeris yang disiar di Facebook di sini pada Ahad lalu.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Universiti Malaya Students’ Union – KMUM
KMUM menegaskan “Insiden Kebun Durian Raub” tidak boleh disederhanakan sebagai isu penerokaan haram, sebaliknya ia adalah cerminan kepada kegagalan pentadbiran dan tadbir urus yang mendalam.
Dakwanya, kegagalan kerajaan menunaikan janji-janji terdahulu serta ditambah dengan eksploitasi kelompongan undang-undang demi keuntungan korporat, telah membawa kepada tragedi yang berlaku ketika ini.
“KMUM sekali lagi menggesa Kerajaan Negeri Pahang dan Royal Pahang Durian Group (RPD) untuk berunding secara telus dan bermakna dengan para pekebun durian.
“Hanya melalui rundingan yang jujur, satu penyelesaian yang adil dan lestari dapat dicapai — yang menghormati hak para pekebun dan membawa penutup yang bermaruah kepada isu ketidakadilan pemilikan tanah ini,” katanya. — The Merdeka Times
