Connect with us

Terkini

JAKIM lapor MCMC komen jelik ketika istiadat Pengebumian Negara Tun Abdullah

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee
  • Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata laporan itu dibuat supaya pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkaitan.
  • “Komen itu jelas memperlekehkan serta mempermainkan ajaran Islam, khususnya pada saat penuh hiba dan penghormatan terhadap pemergian seorang tokoh negarawan yang banyak berjasa kepada negara. Sikap sebegini amat tidak bertanggungjawab dan tidak menghormati perasaan masyarakat Islam khususnya pihak keluarga Allahyarham,” katanya dalam kenyataan semalam.

KUALA LUMPUR — Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) membuat laporan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung tindakan seorang individu yang memuat naik komen tidak bertanggungjawab di laman Facebook Astro Awani ketika Istiadat Pengebumian Negara Tun Abdullah Ahmad Badawi pada Selasa.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata laporan itu dibuat supaya pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkaitan.

“Kerajaan melalui JAKIM memandang serius tindakan seorang individu yang memuat naik komen tidak bertanggungjawab di laman Facebook Astro Awani bertarikh 15 April 2025, berkaitan majlis penghormatan terakhir Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Komen itu jelas memperlekehkan serta mempermainkan ajaran Islam, khususnya pada saat penuh hiba dan penghormatan terhadap pemergian seorang tokoh negarawan yang banyak berjasa kepada negara. Sikap sebegini amat tidak bertanggungjawab dan tidak menghormati perasaan masyarakat Islam khususnya pihak keluarga Allahyarham,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sirajuddin berkata komen berunsur penghinaan bukan sahaja boleh mencetuskan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat Islam, malah berpotensi menimbulkan ketegangan antara agama dan kaum.

Justeru, beliau menggesa semua pihak untuk menghentikan sebarang bentuk hantaran atau komen yang boleh mencetuskan provokasi, kemarahan dan menggugat keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa dan agama, diseru agar terus mengamalkan sikap saling menghormati serta peka terhadap sensitiviti agama dan kepercayaan, sejajar dengan nilai-nilai Malaysia MADANI yang menekankan aspek kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan,” katanya.

Tun Abdullah, 85, yang juga Perdana Menteri kelima menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) di sini pada 7.10 malam Isnin.

Jenazah Tun Abdullah dikebumikan mengikut Istiadat Pengebumian Negara di Makam Pahlawan, Masjid Negara pada Selasa yang turut dihadiri pemimpin tertinggi negara, kenamaan serta pelbagai lapisan masyarakat bagi memberikan penghormatan terakhir. — BERNAMA

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *