Terkini
38 termasuk pelajar jadi mangsa suntingan gambar lucah babit Sekolah Menengah Persendirian Cina

- Kira-kira 38 individu, termasuk pelajar dipercayai menjadi mangsa penyebaran gambar lucah palsu yang dihasil menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) membabitkan sebuah Sekolah Menengah Persendirian Cina.
- Mengulas mengenai insiden penyebaran gambar lucah pelajar wanita yang disunting dan dijual di media sosial di sebuah sekolah menengah swasta di Kulai, Johor baru-baru ini, Timbalan Menteri Komunikasi, To Nie Ching berkata beliau difahamkan pentadbiran sekolah berkenaan telah dimaklumkan berhubung isu itu sejak tahun lalu.
- “Mangsa memaklumkan kes seperti ini bukan pertama kali berlaku. Sebaliknya ada insiden serupa telah dilaporkan kepada pihak sekolah sejak tahun lepas, namun tiada tindakan berkesan diambil bagi menghalangnya daripada terus berlaku.
- “Perkara ini hanya menjadi tular selepas seorang mangsa membuat laporan polis secara peribadi. Setakat ini, mangsa-mangsa yang dikenal pasti adalah 38 orang dan ada antara mereka yang menghubungi kami berumur 13 tahun.
- “Jadi, ini menunjukkan betapa serius isu ini,” — Teo Nie Ching.
KUALA LUMPUR — Kira-kira 38 individu, termasuk pelajar dipercayai menjadi mangsa penyebaran gambar lucah palsu yang dihasil menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) membabitkan sebuah Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC).
Mengulas mengenai insiden penyebaran gambar lucah pelajar wanita yang disunting dan dijual di media sosial di sebuah sekolah menengah swasta di Kulai, Johor baru-baru ini, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata beliau difahamkan pentadbiran sekolah berkenaan telah dimaklumkan berhubung isu itu sejak tahun lalu.
“Mangsa memaklumkan kes seperti ini bukan pertama kali berlaku. Sebaliknya ada insiden serupa telah dilaporkan kepada pihak sekolah sejak tahun lepas, namun tiada tindakan berkesan diambil bagi menghalangnya daripada terus berlaku.
“Perkara ini hanya menjadi tular selepas seorang mangsa membuat laporan polis secara peribadi. Setakat ini, mangsa-mangsa yang dikenal pasti adalah 38 orang dan ada antara mereka yang menghubungi kami berumur 13 tahun.
“Jadi, ini menunjukkan betapa serius isu ini,” katanya dipetik BERNAMA ketika sidang media di Ibu Pejabat DAP Johor di Kulai pada Sabtu lalu.
Turut hadir dalam sidang media itu adalah enam daripada 38 mangsa yang dikenal pasti gambar mereka disunting menggunakan Al untuk dijadikan bahan lucah sebelum dijual di media sosial.
Sebelum ini, media melaporkan seorang pelajar perempuan mendakwa di media sosial bahawa dua rakan sekolah lelakinya telah menggunakan teknologi suntingan gambar untuk memalsukan gambar lucah dirinya, yang kemudian disebarkan dalam kumpulan sembang dan media sosial untuk mendapatkan keuntungan.
Beberapa mangsa mendakwa di media sosial bahawa sekolah itu hanya memberi teguran ringan kepada salah seorang pelaku dan mengarahkannya memadam hantaran tersebut.
Susulan itu, lembaga pengarah Sekolah Menengah Persendirian Foon Yew di Kulai, Johor dilapor menjelaskan bahawa salah seorang pelajar yang menjadi dalang dalam insiden menyebarkan gambar suntingan berunsur lucah melibatkan pelajar lain dan bekas pelajar sekolah itu telah dibuang sekolah dan bukannya sekadar diberikan teguran ringan seperti didakwa segelintir pihak di media sosial.
Mereka bagaimanapun, mengakui pihak sekolah gagal bertindak pantas dalam menangani perkara berkenaan yang akhirnya mencetuskan kebimbangan orang ramai.
Sementara itu, Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) pada November 2023 mengeluarkan satu Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) mengenai kes salah laku seksual, dan menegaskan pihak pengetua atau guru besar yang mengetahui mengenai kejadian salah laku seksual perlu mengambil tindakan dalam tempoh 24 jam.
Beliau berkata meskipun SPI yang diperbaharui sebenarnya tidak terpakai kepada sekolah menengah persendirian Cina, sekolah swasta dan sekolah antarabangsa, ia perlu digunakan pada zaman digital apabila gambar serta video AI dan deepfake kerap berlaku ketika ini.
“Jadi, saya rasa dan saya percaya semua institusi pendidikan tak kiralah swasta atau antarabangsa perlu ada SOP yang ketat untuk garis panduan mereka, bagaimana untuk menangani apabila mereka menerima aduan seperti ini,” katanya.
Semalam, media melaporkan polis menerima sebanyak 29 laporan berhubung kes seorang remaja lelaki menjual gambar lucah yang disuntingnya sendiri, termasuk mangsa dalam kalangan bekas pelajar dan pelajar di sebuah sekolah di Kulai. Polis Johor memaklumkan, setakat ini pertuduhan masih belum dibuat kerana siasatan melibatkan banyak kes.
Terdahulu, Ketua Polis Johor Datuk M. Kumar memaklumkan pihaknya menahan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun bagi membantu siasatan lanjut dijalankan.
Kes itu terbongkar selepas seorang remaja perempuan berusia 18 tahun membuat laporan polis setelah mendapati wajahnya digunakan dalam gambar lucah yang tular di laman sosial dan suspek dipercayai menjual gambar yang disunting berkenaan dengan harga serendah RM2 sekeping. — The Merdeka Times
