Connect with us

Antarabangsa

Syria terima mata wang yang dicetak di Rusia, erat hubungan dua negara

WhatsApp
Facebook0
Twitter

Published

on

Foto: Presiden Syria, Ahmad Al-Sharaa
  • Rusia akan menghantar lebih banyak lagi jumlah wang tunai ke Syria dalam masa terdekat.
  • Penghantaran mata wang tunai ini sangat penting berikutan ekonomi Syria yang telah lama musnah akibat perang, semakin merosot dalam beberapa bulan lalu akibat kekurangan mata wang.
  • Kekurangan wang tunai telah menyebabkan rakyat Syria menghadapi kesukaran menggunakan simpanan mereka dan perniagaan tempatan semakin tertekan.

BEIRUT — Syria baharu sahaja menerima mata wangnya, pound Syria yang dicetak di Rusia dan lebih banyak lagi akan dihantar dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan jumlah tepat nilai pound Syria yang tiba dalam penghantaran kedua ini, sejak bekas Presiden negara itu, Bashar al-Assad digulingkan pada 8 Disember lalu.

Perkembangan terbaru itu menandakan hubungan yang semakin erat antara Moscow dan kerajaan baharu Syria.

Menurut sumber kepada Reuters, wang tunai berkenaan tiba melalui pesawat di lapangan terbang Damsyik pada Rabu lalu dan dipindahkan dengan beberapa trak ke bank pusat.

Sebelum ini, Syria mula membayar Rusia untuk mencetak mata wangnya di bawah kontrak bernilai jutaan dolar Amerika ketika perang saudara Syria yang berlarutan selama 13 tahun, selepas kontrak Syria dengan anak syarikat bank pusat Austria sebelum itu ditamatkan disebabkan sekatan Eropah.

Rusia sebelum ini menyokong kerajaan autokratik Syria, Bashar, ketika perang dengan melakukan serangan udara terhadap kumpulan pejuang, termasuk kumpulan Islamis Hayat Tahrir al-Sham, yang menggulingkan Bashar dalam serangan tahun lalu.

Namun, Rusia dengan pantas berusaha mengekalkan hubungannya dengan Damsyik dalam beberapa minggu selepas Bashar melarikan diri ke Moscow, dengan matlamat untuk mengekalkan dua pangkalan utama mereka di wilayah pesisir negara itu.

Penghantaran mata wang tunai ini sangat penting berikutan ekonomi Syria yang telah lama musnah akibat perang, semakin merosot dalam beberapa bulan lalu akibat kekurangan mata wang.

Sebahagiannya juga berpunca daripada kelewatan penghantaran wang tunai Rusia serta tindakan menyorokkan mata wang pound Syria.

Kekurangan wang tunai telah menyebabkan rakyat Syria menghadapi kesukaran menggunakan simpanan mereka.

Situasi itu meningkatkan lagi tekanan ke atas perniagaan tempatan yang sudah pun terjejas akibat persaingan baharu daripada barangan import murah, apabila kerajaan baru Syria mengamalkan dasar ekonomi terbuka.

Antara isu yang memburukkan ekonomi negara itu termasuk, kenaikan gaji sektor awam sebanyak 400 peratus yang dirancang masih belum direalisasikan, begitu juga dengan pembiayaan dari Qatar yang sepatutnya menyokong kenaikan gaji itu.

Kelewatan berkenaan juga dikaitkan dengan ketidaktentuan mengenai dasar sekatan Amerika Syarikat dan dasar Presiden AS, Donald Trump, terhadap Syria.

Pakar ekonomi dan penganalisis berpendapat bahawa kekurangan wang tunai di Syria merupakan salah satu faktor utama di sebalik pengukuhan mata wang negara itu di pasaran gelap sejak kejatuhan Bashar.

Keadaan itu juga dibantu oleh kemasukan pelancong luar serta pemansuhan kawalan ketat terhadap perdagangan mata wang asing.

Semalam, pound Syria diniagakan sekitar 10,000 pound Syria bagi setiap dolar AS di pasaran gelap, berbanding kadar rasmi bank pusat sebanyak 13,000 pound Syria.

Sebelum Bashar digulingkan, mata wang itu diniagakan sekitar 15,000 pound Syria untuk setiap dolar AS. – The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *