Antarabangsa
Lelaki Muslim dipukul mati perusuh Hindu, selepas tolak serbuk warna Holi ketika ke masjid

- Apabila kumpulan Hindu melemparkan serbuk warna kepada mangsa, dia membantah. Namun, mereka mengulangi perbuatan tersebut, menyebabkan pertengkaran yang kemudiannya bertukar menjadi serangan fizikal.
- Penduduk yang marah turun ke jalan raya menuntut penangkapan segera terhadap mereka yang bertanggungjawab.
- Bagaimanapun, laporan bedah siasat menyatakan punca kematian mangsa sebagai serangan jantung, tanpa sebarang kesan kecederaan ditemui pada badan mangsa.
Uttar Pradesh — Seorang lelaki Muslim berusia 48 tahun didakwa diserang dan dibunuh oleh sekumpulan perusuh Hindu ketika dalam perjalanan ke masjid di Unnao, Uttar Pradesh, pada Sabtu selepas dia menolak untuk dilemparkan serbuk warna semasa perayaan Holi.
Mangsa, yang hanya dikenali sebagai Sharif, berusia 45 tahun, merupakan penduduk berhampiran Masjid Qasim Nagar Rabbanna di Sadar. Sharif bekerja sebagai pemandu di Arab Saudi dan telah pulang ke kampung halamannya dua bulan lalu.
Pada Sabtu, ketika dalam perjalanan ke masjid dari rumah pusaka keluarganya di Mohalla Kanji, Sharif bertemu dengan sekumpulan individu yang sedang meraikan Holi berhampiran Mohalla Kashif Ali Sarai Chungi Power House.
Apabila kumpulan itu melemparkan serbuk warna kepadanya, dia membantah. Namun, mereka mengulangi perbuatan tersebut, menyebabkan pertengkaran yang kemudiannya bertukar menjadi serangan fizikal, menurut laporan Jagran yang dipetik Maktoob Media.
Sharif akhirnya diselamatkan orang ramai yang membantunya duduk di atas sebuah platform dan memberinya air. Tidak lama kemudian, dia rebah dan meninggal dunia.
Insiden itu telah mencetuskan ketegangan di kawasan tersebut, menyebabkan pihak berkuasa meningkatkan kawalan keselamatan dengan kehadiran polis yang ramai, termasuk pasukan Tindak Balas Pantas dari beberapa balai polis.
Penduduk yang marah turun ke jalan raya menuntut penangkapan segera terhadap mereka yang bertanggungjawab.
Menurut Singh, kes akan didaftarkan berdasarkan aduan yang diterima dan usaha sedang dilakukan untuk mengenal pasti serta menangkap suspek kejadian.
Sementara itu, Polis Unnao dalam satu kenyataan di media sosial berkata, Polis Kotwali Sadar telah mengambil mayat mangsa dan menjalankan bedah siasat dengan rakaman video yang disediakan panel doktor pakar.
Bagaimanapun, laporan bedah siasat menyatakan punca kematian mangsa sebagai serangan jantung, tanpa sebarang kesan kecederaan ditemui pada badan mangsa.
Pihak polis sedang menyiasat semua aspek lain secara menyeluruh. – The Merdeka Times
