Terkini
Amalan campur beras tempatan, import untuk penuhi selera pengguna – Mohamad Sabu

- Amalan proses pencampuran Beras Putih Tempatan (BPT) dengan Beras Putih Import (BPI) di dalam industri padi dan beras bertujuan memenuhi cita rasa pengguna tempatan dan menghasilkan variasi jenama di pasaran.
- Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata amalan pencampuran beras itu berlaku sejak 1970-an, selepas penubuhan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) iaitu di bawah pentadbiran kerajaan-kerajaan terdahulu dan bukannya ketika pemerintahan kerajaan sekarang.
- Dapatan itu diperoleh hasil kajian Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) ke atas industri padi dan beras sejak awal 2024 yang dibentangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara (JKKMN) Bilangan 2 Tahun 2024 pada 17 Disember tahun lalu.
- Mohamad Sabu berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Muslimin Yahaya (Sungai Besar) yang bertanya ke mana perginya BPT sedangkan keluasan sawah padi negara adalah lebih 644,854 hektar dan mengeluarkan lebih 2.4 juta tan metrik padi semusim.
KUALA LUMPUR — Amalan proses pencampuran Beras Putih Tempatan (BPT) dengan Beras Putih Import (BPI) di dalam industri padi dan beras bertujuan memenuhi cita rasa pengguna tempatan dan menghasilkan variasi jenama di pasaran.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata amalan pencampuran beras itu berlaku sejak 1970-an, selepas penubuhan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) iaitu di bawah pentadbiran kerajaan-kerajaan terdahulu dan bukannya ketika pemerintahan kerajaan sekarang.
Mohamad Sabu berkata dapatan itu diperoleh hasil kajian Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) ke atas industri padi dan beras sejak awal 2024 yang dibentangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara (JKKMN) Bilangan 2 Tahun 2024 pada 17 Disember tahun lalu.
“Susulan Mesyuarat JKKMN tersebut dan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 20 Disember 2024, KPKM telah diarahkan supaya memperhalusi kaedah dan mekanisme terbaik untuk mengawal percampuran BPT dan BPI melalui perundangan serta merangka simulasi cadangan penetapan harga yang bersesuaian bagi kategori beras campuran secara komprehensif sebelum dikemukakan bagi pertimbangan Jemaah Menteri.
“Untuk makluman, mekanisme bagi mengawal percampuran turut mendapat sokongan MyCC sebagai kaedah penyelesaian masalah bekalan beras,” katanya menerusi jawapan bertulis pada Isnin yang disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Muslimin Yahaya yang meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan ke mana perginya beras tempatan untuk rakyat Malaysia, sedangkan keluasan sawah kita adalah lebih 644,854 hektar dan mengeluarkan lebih daripada 2.4 juta tan metrik padi semusim.
Turut diminta penjelasan berkenaan perancangan kementerian untuk mengatasi masalah yang berlarutan hampir dua tahun itu.
Media bulan lalu melaporkan, kira-kira 45 hingga 50 peratus daripada 5,000 sampel beras import hasil rampasan pihak penguasa di kilang, didapati berlaku percampuran dengan beras putih tempatan.
Hasil tersebut dianalisis Pusat Penyelidikan Bioteknologi & Nanoteknologi, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menerusi rampasan oleh Task Force Operasi Bersepadu Beras Putih Tempatan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Bagaimanapun, Mohamad Sabu berkata berdasarkan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] dan perundangan subsidiari di bawahnya, tiada peruntukan khusus yang jelas bagi pendakwaan kes di mahkamah mengenai kesalahan percampuran beras. — The Merdeka Times
