Politik
(VIDEO) Tiada lagi larangan untuk Zakir Naik berceramah di Malaysia – Saifuddin Nasution

KUALA LUMPUR — Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan pendakwah bebas dari India, Dr Zakir Naik ketika ini tidak lagi dikenakan larangan memberi ceramah di negara ini.
Saifuddin menjelaskan walaupun terdapat larangan sementara pada tahun 2019 dikenakan ke atas pendakwah itu, ia kini tidak lagi berkuat kuasa.
“Larangan (berceramah) ketika itu adalah kerana pending siasatan dibuat ke atas dua insiden (ucapan Dr Zakir Naik di Kota Bharu, Kelantan pada 2019) ketika siasatan dibuka dan dijalankan dalam tempoh itu larangan berceramah dikenakan pada tahun berkenaan.
“Untuk itu saya semak balik sekarang… Sekarang tidak ada lagi larangan itu kerana dia merujuk hanya kepada tempoh siasatan terhadap dua kenyataan yang dikeluarkan dalam ucapan tak silap saya di Kota Baharu… Jadi menjawab soalan Jelutong larangan itu tidak lagi (dikuatkuasakan) sekarang,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Jelutong dari DAP, RSN Rayer berkenaan sama ada Dr Zakir masih dilarang daripada berceramah memandangkan beliau difahamkan pihak polis telah mengeluarkan arahan larangan terhadap pendakwah terbabit pada 2019.
Media sebelum ini melaporkan Dr Zakir dilarang daripada berucap di Malaysia selepas didakwa membuat kenyataan kontroversi mengenai penganut Hindu dan masyarakat Cina di Malaysia dalam satu ceramah di Kota Bharu pada 2019.
Awal Februari lalu, Rayer turut membangkitkan persoalan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kemunculan Dr Zakir yang sebelum ini dikatakan dilarang berceramah di negara ini, namun baru-baru ini dilaporkan berceramah dalam satu program di Perlis.
Rayer menyoal kepada pihak PDRM sama ada larangan itu masih berkuatkuasa dan sekiranya masih berkuatkuasa mengapa Zakir tidak mematuhi larangan tersebut.
Pada 20 Ogos 2019, BERNAMA melaporkan semua program berkaitan Dr Zakir di seluruh negara adalah tidak dibenarkan atas faktor keselamatan.
Bagaimanapun pada Disember 2021, Zakir menafikan perkara itu, dan berkata tiada arahan sedemikian disampaikan kepadanya oleh polis. Beliau juga mendakwa telah mengesahkan perkara tersebut dengan ketua setiausaha kerajaan ketika itu. — The Merdeka Times
