Antarabangsa
Sumbang mahram, jenayah seksual paling tinggi di Israel

- Jenayah seksual yang paling tinggi dilakukan di Israel pada tahun 2024 adalah sumbang mahram.
- Statistik yang dikongsi media Jerusalem Post menunjukkan bahawa sekitar 70 peratus daripada semua kesalahan seksual terhadap kanak-kanak melibatkan sumbang mahram.
- Bagaimanapun menurut laporan Jerusalem Post, lebih 80 peratus kes kesalahan seksual di Israel ditutup, mencerminkan kegagalan sistemik dan berterusan dalam menangani isu ini.
JERUSALEM – Jenayah seksual yang paling tinggi dilakukan di Israel pada tahun 2024 adalah sumbang mahram. Statistik yang dikongsi media Jerusalem Post menunjukkan bahawa sekitar 70 peratus daripada semua kesalahan seksual terhadap kanak-kanak melibatkan sumbang mahram.
Manakala rogol merupakan jenayah seks paling biasa, merangkumi 28 peratus daripada aduan yang diterima. Masalah ini dilapor telah berulang bertahun-tahun dalam masyarakat Israel.
Bagaimanapun menurut laporan Jerusalem Post, lebih 80 peratus kes kesalahan seksual di Israel ditutup, mencerminkan kegagalan sistemik dan berterusan dalam menangani isu ini.
Pusat Krisis Rogol di Israel (ARCCI) melaporkan bahawa terdapat percanggahan ketara dalam jenis aduan yang diterima oleh polis dan pusat krisis. Ini menunjukkan bahawa ramai mangsa mungkin lebih selesa melaporkan insiden kepada pusat sokongan berbanding pihak berkuasa rasmi.
ARCCI dilapor menerima sebanyak 17,484 aduan baru mengenai insiden kesalahan seks pada tahun 2023 namun hanya 6,405 kesalahan seks dan gangguan seksual dilaporkan kepada polis dalam tahun yang sama.
Jenis kesalahan paling biasa yang dilaporkan kepada ARCCI adalah sumbang mahram. Bagi aduan mengenai jenayah terhadap kanak-kanak, 70 peratus juga melibatkan sumbang mahram. Jenayah paling biasa seterusnya adalah rogol, merangkumi 28 peratus daripada aduan.
Namun, bagi aduan yang dibuat kepada polis, kebanyakannya melibatkan perbuatan tidak senonoh, dengan gangguan seksual menjadi kesalahan kedua paling biasa.
Dalam 11 peratus aduan yang dibuat kepada ARCCI, pelaku adalah ibu bapa mangsa. Manakala 25 peratus kes, ia melibatkan ahli keluarga lain dan hampir 20 peratus aduan menyatakan bahawa pelaku adalah kawan atau kenalan mangsa.
Hanya dalam 8 peratus kes, pelaku adalah orang asing kepada mangsa. -The Merdeka Times
