Terkini
Pembaharuan Semula Bandar: Nasib Melayu seperti abu atas tunggul – Noh Omar

- Bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar menyifatkan jika Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) dilaksanakan, maka nasib kaum Melayu seperti abu di atas tunggul atau berada dalam keadaan yang tidak tetap (tidak selamat).
- Mendesak RUU itu ditolak, Noh Omar mendakwa jika program perancangan itu berlaku ia akan menyaksikan rumah flat dan PPR majoriti Melayu akan digantikan dengan kondo-kondo mahal di mana kemungkinan untuk membayar kos penyelenggaraan sahaja kelompok ini tidak berupaya hingga akhirnya mereka yang tinggal di bandar terpaksa pulang ke kampung.
- “Kalau tak bayar, maintenance ini di bawah Akta Strata maka rumah tu boleh disita oleh pihak pengurusan jadi itulah akhirnya yang kita lihat, majoriti yang duduk di rumah PPR, rumah-rumah flat ni ialah majoriti orang Melayu.
- “Dan akhirnya orang Melayu yang duduk di bandar, sudahnya mereka terpaksa balik ke kampung jadi bermakna, dasar pecah dan perintah zaman British, mungkin akan berlaku kembali,” kata Noh Omar menerusi klip video di TikTok yang dimuat naik semalam.
- Noh Omar hairan bagaimana Kabinet boleh meluluskan kertas cadangan tersebut sedangkan ia bercanggah dengan undang-undang sedia ada.
KUALA LUMPUR — Bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar menyifatkan jika Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) dilaksanakan, maka nasib kaum Melayu seperti abu di atas tunggul atau berada dalam keadaan yang tidak tetap (tidak selamat).
Mendesak RUU itu ditolak, Noh Omar mendakwa jika program perancangan itu berlaku ia akan menyaksikan rumah flat dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) majoriti Melayu akan digantikan dengan kondo-kondo mahal di mana kemungkinan untuk membayar kos penyelenggaraan sahaja kelompok ini tidak berupaya hingga akhirnya mereka yang tinggal di bandar terpaksa pulang ke kampung.
Beliau menjadikan PPR di Lembah Subang 1, Petaling Jaya, Selangor yang mempunyai 30 ekar (keluasan tanah) dan rumah lebih kurang 3,000 unit sebagai contoh apa akan berlaku apabila ia ingin dibangunkan sebagai satu bandar baru.
Timbalan Presiden Muafakat Nasional itu berkata jika pihak berkenaan ingin menjadikan PPR tersebut sebagai satu bandar baru maka, mereka boleh membuat tawaran kepada penduduk dengan dua cara.
Yang pertama, katanya mereka boleh memberikan ganti rugi misalnya jika rumah PPR itu berharga RM35,000, maka ganti rugi diberikan boleh sehingga RM300,000, namun dengan harga sedemikian di manakah pula penghuni rumah tersebut ingin membeli rumah baru dalam bandar berkenaan.
“Pilihan yang kedua, mungkin dia kata ok, bila siap nanti dia kata dia buat kondo 5 Bintang… Dia bagi satu rumah kondo ni (kepada penghuni rumah PPR itu) cara mereka kita dah nampak.
“Saya tengok pernah berlaku di mana cara nak menjaga penghuni-penghuni ini, sementara rumah nak siap, developer boleh bagi bayaran bulanan macam RM2,000 sebulan atau RM3,000 sebulan sehingga rumah tu siap, maka mereka yang mana pilih nak duduk kondo, mereka akan duduk kondo dan sebaliknya.
“Baik, bayangkan ya, kalau kata mereka ni duduk di kondo yelah rumahnya lawa… bayangkan, kondo ni perlu bayar maintenance kerana ia di bawah Akta Strata… Bayar maintenance sahaja kurang-kurang RM400 sehingga RM500 sebulan ataupun lebih daripada itu, mampukah mereka ini untuk membayar maintenance ini?
“Kalau tak bayar, maintenance ini di bawah Akta Strata maka rumah tu boleh disita oleh pihak pengurusan jadi itulah akhirnya yang kita lihat, majoriti yang duduk di rumah PPR, rumah-rumah flat ni ialah majoriti orang Melayu.
“Dan akhirnya orang Melayu yang duduk di bandar, sudahnya mereka terpaksa balik ke kampung jadi bermakna, dasar pecah dan perintah zaman British, mungkin akan berlaku kembali,” kata Noh Omar menerusi klip video di TikTok yang dimuat naik semalam.
RUU PSB itu yang bakal digubal kerajaan sebelum ini dilaporkan dikhuatiri akan menjadi “pengkhianatan terbesar” kepada golongan miskin bandar apabila ia didakwa menyebabkan golongan terbabit berisiko ‘diusir’ keluar.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada Selasa turut mendesak kerajaan menamakan semula Akta Pembaharuan Semula Bandar tersebut sebagai akta “rampas rumah” kerana didakwanya melalui akta tersebut, kerajaan menurunkan nilai ambang persetujuan pembangunan daripada 100 peratus kepada 80 peratus.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming bagaimanapun menafikan dakwaan Syed Saddiq bahawa Akta Pembaharuan Semula Bandar umpama “akta rampas rumah”.
Sebaliknya, Nga memberi jaminan yang akta itu menjamin hak milik asal pemilik dan tidak sesekali ada pihak yang akan merampasnya, sekali gus menolak kebimbangan pihak pengkritik ia akan meminggirkan kaum tertentu.
Mengulas lanjut, Noh Omar meluahkan rasa hairan bagaimana Kabinet boleh meluluskan kertas cadangan tersebut sedangkan ia bercanggah dengan undang-undang sedia ada.
“Saya pun tertanya-tanya apakah ulasan yang diberi oleh Jabatan Peguam Negara dan KPTG (Ketua Pengarah Tanah dan Galian)? Kerana kalau kita lihat hari ini, ada undang-undang yang memang sudah sedia ada.
“Kita ada Kanun Tanah Negara, Akta Pengambilan Tanah, Akta Strata…salah satu undang-undang itu yang dipanggil Akta Strata ini di bawah Seksyen 57, kalau nak runtuhkan rumah flat, perlu mendapat persetujuan 100 peratus daripada penghuni, tetapi bagaimana di dalam akta baru Pembangunan Semula Bandar ni tak perlu dapat 100 peratus?
“Akta ni kalau diluluskan dia akan ada kontradiksi dengan akta sedia ada… Saya pun hairan, macam mana pihak kabinet boleh meluluskan paper kabinet ini, bercanggah dengan undang-undang yang sedia ada?
“Saya bimbang, apa yang saya ramalkan selama ni, mungkin akan menjadi kenyataan akhirnya kalau program perancangan ni berlaku bahawa rumah-rumah flat-flat, PPR yang majoriti Melayu ini akhirnya akan diruntuh ganti dengan kondo-kondo yang mahal…Ke manakah nasib orang Melayu di masa hadapan, sebab itu saya lihat kalau keadaan ini berlaku, nasib Melayu seperti abu di atas tunggul,” kata Noh Omar. —- The Merdeka Times
