Antarabangsa
Palestin dijajah melalui peperangan, strategi penempatan dan pembandaran tersusun

- Palestin bukan dijajah melalui peperangan semata-mata, tetapi juga menerusi strategi penempatan dan pembandaran tersusun, kata Penyelidik Dunia Palestin, Ahmad Nu’man Mazlan.
- Ketika ini lebih 85 peratus tanah Palestin berada di bawah penjajahan Zionis, satu proses yang bermula dengan strategi pembandaran dan penempatan sistematik sejak lebih seabad lalu.
- Sejak Pertubuhan Zionis Antarabangsa melancarkan visi untuk menjadikan Palestin sebagai negara Yahudi pada 1897, mereka telah merancang pelbagai strategi bagi memperoleh tanah tersebut secara ‘aman’.
- “Pada 1901, dalam Persidangan Zionis Antarabangsa ke-5, mereka menubuhkan Jewish National Fund (JNF), sebuah institusi dana khas untuk memudahkan sumbangan Yahudi dari seluruh dunia bagi projek penjajahan Palestin,” katanya kepada The Merdeka Times.
KUALA LUMPUR — Palestin bukan dijajah melalui peperangan semata-mata, tetapi juga menerusi strategi penempatan dan pembandaran tersusun, kata Penyelidik Dunia Palestin, Ahmad Nu’man Mazlan.
Ahmad Nu’man berkata ketika ini lebih 85 peratus tanah Palestin berada di bawah penjajahan Zionis, satu proses yang bermula dengan strategi pembandaran dan penempatan sistematik sejak lebih seabad lalu.
Beliau berkata sejak Pertubuhan Zionis Antarabangsa melancarkan visi untuk menjadikan Palestin sebagai negara Yahudi pada 1897, mereka telah merancang pelbagai strategi bagi merampas tanah tersebut secara ‘aman’.
Katanya, percubaan pertama mereka adalah dengan menawarkan rasuah kepada Sultan Abdul Hamid II untuk membeli tanah Palestin dari Uthmaniyyah, namun usaha itu gagal dan pada masa sama gerakan Zionis telah bersiap sedia dengan alternatif lain.
“Pada 1901, dalam Persidangan Zionis Antarabangsa ke-5, mereka menubuhkan Jewish National Fund (JNF), sebuah institusi dana khas untuk memudahkan sumbangan Yahudi dari seluruh dunia bagi projek penjajahan Palestin.
“Dana ini digunakan untuk membeli tanah di bandar-bandar utama di persisiran pantai, terutamanya di Haifa dan Jaffa (kini Tel Aviv), yang merupakan lokasi strategik.
“Selain itu, tanah pertanian turut dibeli dan dijadikan kibbutz (ibarat felda) bagi memperluaskan penempatan mereka di Palestin,” katanya kepada The Merdeka Times.
Ahmad Nu’man berkata pada 1947, Pelan Pembahagian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu Resolusi 181 telah memberikan hampir 60 peratus tanah Palestin kepada Yahudi, yang membawa kepada pengusiran besar-besaran rakyat negara itu dan penyusunan penempatan Yahudi secara agresif dengan kemuncaknya adalah Nakbah 1948.
‘Nakba’ adalah perkataan yang digunakan rakyat Palestin untuk menggambarkan pemindahan besar-besaran dari tanah mereka apabila negara haram Israel ditubuhkan pada 1948.
Antara tahun 1947 dan 1949, kira-kira 750,000 rakyat Palestin daripada 1.9 juta penduduk dipaksa keluar dari bandar dan kampung mereka, yang diambil alih pendatang Yahudi.
Kebanyakan warga Palestin melarikan diri ke negara jiran di mana mereka menetap sebagai pelarian. — The Merdeka Times
