Terkini
(VIDEO) Rohingya tiada pendidikan, terbawa-bawa ‘kehidupan’ ditindas di Myanmar
KUALA LUMPUR — Pelarian etnik Rohingya yang melarikan diri dari penindasan dan kekejaman junta Myanmar yang kini berada dan berlindung di Malaysia, majoritinya tidak berpendidikan.
Mereka juga dilihat masih terpengaruh atau terbawa-bawa dengan ‘kehidupan’ di negara asal yang tidak bersesuaian dengan budaya masyarakat tempatan.
Penyelaras Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Fadhil Osman berkata pelarian Rohingya yang datang ke Malaysia masih terpengaruh dengan kehidupan di tempat asal mereka kerana sudah ‘dicorak’ sebegitu sejak mereka ‘dibuang’ dari negara asal (Myanmar) melalui undang-undang 1982 (Akta Kewarganegaraan Myanmar 1982).
Fadhil berkata sejak daripada itu kebanyakan etnik minoriti Muslim itu menyelamatkan diri dengan lari ke hutan serta mengasingkan diri kerana takut dibunuh dan sebagainya.
Di bawah “Citizenship Law 1982” Myanmar, Rohingya tidak diiktiraf sebagai satu daripada 135 kumpulan etnik di negara itu walaupun ia asalnya diiktiraf sebagai warga negara ketika Myanmar merdeka pada 1948.
“Sebab memang dah di-pattern-kan sejak daripada undang-undang baru pasal citizenship ni, dia dah lari ke hutan dah lari duduk mengasingkan diri satu takut dibunuh jadi duduk dalam keadaan memang dia isolate (mengasingkan) kadang-kadang jauh daripada orang.
“Jadi dengan kelengkapan, kemudahan yang tak ada langsung (pelarian Rohingya) jadi dah biasa dengan hidup macam tu… Jadi bila lari ke Bangladesh pun lebih kurang duduk macam tu juga.
“Tapi katalah dia dapat lari pergi ke Malaysia ni pun walaupun ada kemudahan-kemudahan dia dah biasa dengan hidup macam tu dia tak guna nak adopt (dengan budaya kehidupan Malaysia).
“Dengan satu dia non educated… Islam ni pun kalau kita kata agama ni pun, yang setengah okey, yang setengah tu setakat Islam je lah,” kata Fadhil dalam podcast Garis Krisis (GK) yang bersiaran di Youtube The Merdeka Times setiap Sabtu jam 8.30 malam.
Episod ketiga podcast terbitan Studio Merdeka itu mengupas topik, “Rohingya, Etnik Pelarian Yang Dibenci!” turut menampilkan Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid (Cikgu Azmi) sebagai panelis dan dihoskan oleh wartawan & aktivis kemanusiaan, Syed Azwan Syed Ali.
Isu penindasan ke atas etnik Rohingya mula mendapat perhatian dan simpati masyarakat Malaysia selepas pembantaian ke atas etnik itu yang berlaku pada hujung 2012, di mana junta Myanmar dan kumpulan pelampau Buddha di negara itu dilaporkan membunuh, merogol, membakar rumah etnik Muslim dan masjid sebelum menghalau Rohingya secara besar-besaran dari wilayah Arakan (Rakhine) Myanmar ke Bangladesh dan negara sekitar.
Bagaimanapun, simpati itu bertukar kepada sentimen kebencian dan xenophobik apabila timbul insiden tidak menyenangkan antara penduduk tempatan dengan pelarian etnik Rohingya berada di negara ini, kemuncaknya ketika era pandemik COVID-19 pada 2020.
Sentimen negatif itu ‘disemarakkan’ dengan laporan yang mendakwa kononnya Rohingya merampas pekerjaan warga tempatan selain didakwa menuntut hak seperti warga negara, yang terbukti tidak benar. — The Merdeka Times