Antarabangsa
Lelaki mengamuk kelar leher sendiri, tikam isteri orang tolak ‘cintanya’
- Seorang lelaki Thailand mengamuk dengan menikam seorang wanita sudah berkahwin kerana menolak ‘cintanya’, merempuh enam kenderaan, melanggar sembilan mangsa, mengelar lehernya sendiri dan memandu keretanya yang rosak ke hospital di Bang Khen, Bangkok, sebelum ditahan polis.
- Thaiger melaporkan salah seorang mangsa cedera menghubungi Balai Polis Bang Khen untuk mengambil tindakan terhadap suspek dalam insiden itu yang berlaku di sebuah komuniti di Soi Pahonyothin 48 petang Isnin lalu.
- Bagaimanapun, suspek yang kemudiannya dikenali sebagai Arun berusia 57 tahun itu berjaya melarikan diri dari tempat kejadian.
- Arun kemudiannya beredar dari tempat itu sebelum dilaporkan memberhentikan keretanya, mengeluarkan pisau dan mengelar lehernya sendiri di hadapan orang ramai sebelum memandu ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan.
- Polis berjaya menahan Arun di hospital dan akan menyoalnya bersama-sama mangsa dan saksi lain selepas mereka pulih. Butiran lanjut kes itu masih belum didedahkan pihak polis.
Seorang lelaki Thailand mengamuk dengan menikam seorang wanita sudah berkahwin kerana menolak ‘cintanya’, merempuh enam kenderaan, melanggar sembilan mangsa, mengelar lehernya sendiri dan memandu keretanya yang rosak ke hospital di Bang Khen, Bangkok, sebelum ditahan polis.
Thaiger melaporkan salah seorang mangsa cedera menghubungi Balai Polis Bang Khen untuk mengambil tindakan terhadap suspek dalam insiden itu yang berlaku di sebuah komuniti di Soi Pahonyothin 48 petang Isnin lalu.
Bagaimanapun, suspek yang kemudiannya dikenali sebagai Arun berusia 57 tahun itu berjaya melarikan diri dari tempat kejadian.
Saksi, Urai Yomying, 73, menceritakan kepada Channel 3 bahawa Arun tiba di komuniti itu dengan kereta hatchback merah untuk bertemu dengan seorang wanita bernama Aor, yang diminatinya.
Kedua-duanya dikatakan sudah berkahwin dan wanita itu menolak suspek yang cuba mendekatinya.
Apabila bertemu Aor, Arun tiba-tiba menikam wanita itu hingga cedera parah.
Wanita itu berjaya melarikan diri dan meminta bantuan daripada Urai, yang membawanya ke hospital dengan motosikalnya.
Selepas meninggalkan Aor di bawah jagaan kakitangan perubatan, Urai pulang ke rumah hanya untuk mendapati Arun telah mengamuk dengan ganas.
Arun kemudiannya beredar dari tempat itu sebelum dilaporkan memberhentikan keretanya, mengeluarkan pisau dan mengelar lehernya sendiri di hadapan orang ramai sebelum memandu ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan.
Dia akhirnya berhenti di hospital selepas merempuh pagar.
Dilaporkan enam kenderaan rosak, termasuk empat kereta dan dua motosikal, lima rumah musnah dan sembilan penduduk tempatan cedera dalam insiden mengamuk itu.
Polis berjaya menahan Arun di hospital dan akan menyoalnya bersama-sama mangsa dan saksi lain selepas mereka pulih. Butiran lanjut kes itu masih belum didedahkan pihak polis. – The Merdeka Times