Connect with us

Kolumnis

Siapa Yahya Sinwar yang digeruni Israel?

Kurang 14 jam lalu, dunia digemparkan dengan berita kesyahidan Yahya Sinwar, pemimpin Hamas yang selama ini digelar “public enemy” nombor satu negara haram Israel.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Syed Azwan Syed Ali

Published

on

Foto: Pemimpin Hamas, Yahya Sinwar.

KUALA LUMPUR – Kurang 14 jam lalu, dunia digemparkan dengan berita kesyahidan Yahya Sinwar, pemimpin Hamas yang selama ini digelar “public enemy” nombor satu negara haram Israel.

Tentera penjajah Israel mendakwa Sinwar telah terbunuh dalam pertempuran di Rafah di selatan Gaza, semalam (Khamis).

Ketua kumpulan penentangan Palestin berusia 62 tahun itu dilaporkan ditemui di atas tanah (bukan dalam terowong), memakai vest kombat dengan senapang AK-47, bersama dengan dua pejuang Palestin.

Jika ini benar, maka Sinwar tentunya sudah bersedia dengan segala kemungkinan, termasuk bertempur dengan tentera zionis Israel yang membanjiri tanah Gaza, bagi mempertahankan Palestin yang dijajah.

Setakat artikel ini ditulis, Hamas belum mengesahkan kematian Sinwar, sekaligus menimbulkan polemik dalam kalangan netizen dengan sebahagian besarnya mendakwa berita ini adalah propaganda dan perang psikologi Israel.

Apa yang kita tahu, Sinwar tidak dilihat di sepanjang perang di Gaza berlaku dan beliau diandaikan bersembunyi di bawah tanah dalam terowong untuk mengatur gerak penentangan pejuang Palestin.

Yahya Sinwar dikatakan menghabiskan seluruh hidupnya untuk mengatur, bergelut dan berperang menentang Israel sebelum dilantik sebagai ketua politik Hamas menggantikan Allahyarham Ismail Haniyeh, yang dibunuh dalam serangan yang disyaki didalangi Israel di Tehran, Iran, pada 31 Julai lalu.

Jadi siapa Yahya Sinwar yang digelar “public enemy nombor satu” yang digeruni rejim Israel ini?

Tidak seperti Haniyeh atau Khaled Mashal yang bergerak dari satu negara ke satu negara dalam urusan Palestin, Sinwar lebih ‘terikat’ dengan tanah Gaza.

Sinwar adalah arkitek di sebalik operasi Taufan al-Aqsa pada 7 Oktober 2023 yang menyaksikan pejuang Hamas melakukan serangan balas rentas sempadan ke tanah haram Israel.

Serangan itu yang seringkali “dikambing hitamkan” dalam naratif media barat sebagai punca perang di Gaza, bertujuan membalas penjajahan, pembantaian dan pembunuhan Israel ke atas warga Palestin sejak 1948.

Ia juga bertujuan menyekat usaha normalisasi antara Israel dengan Arab Saudi dan negara-negara Arab lain serta membalas pencemaran dan penghinaan dilakukan peneroka haram Israel ke atas Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis Timur.

Berbalik kepada Sinwar, beliau dikatakan melihat perjuangan bersenjata sebagai cara paling berkesan untuk menghadapi pendudukan Israel ketika dunia, termasuk negara-negara Islam, bersikap acuh tak acuh terhadap penderitaan rakyat Palestin.

Sebelum dilantik menjadi ketua biro politik Hamas, Sinwar berkhidmat sebagai pegawai tertinggi kumpulan penentangan Palestin itu di Gaza.

Dilahirkan pada 1962 di kem pelarian Khan Younis, Sinwar digambarkan sebagai salah seorang pegawai tertinggi Hamas yang “paling tidak berkompromi”. 

Dia telah ditangkap Israel berulang kali pada awal 1980-an kerana penglibatannya dalam aktivisme anti-pendudukan rejim di Universiti Islam di Gaza.

Sinwar menyertai Hamas sebagai salah seorang pemimpinnya sebaik sahaja kumpulan penentangan Palestin itu diasaskan Sheikh Ahmed Yassin pada 1987.

Sinwar kemudiannya ditangkap tentera Israel pada tahun berikutnya sebelum dijatuhkan empat hukuman penjara seumur hidup, bersamaan 426 tahun penjara, kerana didakwa terlibat dalam penangkapan dan pembunuhan dua askar Israel dan empat disyaki pengintip Palestin.

Sinwar ditahan selama 23 tahun di penjara Israel, tempoh di mana dia belajar bahasa Ibrani dan menjadi mahir dalam selok belok  hal ehwal Israel dan politik dalam negeri selain sempat menulis novel tentang perjuangan Palestin. 

Pada 2011, Sinwar dibebaskan dari penjara Israel sebagai sebahagian daripada perjanjian pertukaran tahanan yang menyaksikan pembebasan askar Israel, Gilad Shalit yang ditawan Hamas.

Selepas dibebaskan, Sinwar dengan cepat mendaki tangga kepimpinan kepimpinan Hamas sebelum dipilih ke biro politik kumpulan itu pada 2012 dan ditugaskan untuk menyelaraskan sayap bersenjata Hamas, Briged al-Qassam.

Sinwar adalah individu yang memainkan peranan utama dalam politik dan ketenteraan semasa serangan rejim Israel selama tujuh minggu ke atas Gaza pada 2014. 

Setahun berikutnya, Amerika Syarikat (AS) melabelkan Sinwar sebagai “pengganas global yang ditetapkan khas” menjadikannya antara 10 individu paling dikehendaki sekutu Israel di barat.

Pada 2017, Sinwar menjadi ketua Hamas di Gaza, menggantikan Allahyarham Haniyeh, pada ketika itu telah dipilih sebagai pengerusi biro politik kumpulan itu berpangkalan di Qatar. 

Sehinggalah pengumuman rasmi daripada Hamas, ‘berita’ mengenai kesyahidan Yahya Sinwar akan kekal menjadi tanya tanya ketika dunia masih buta, bisu dan hipokrit untuk memaksa rejim Israel menghentikan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin di Gaza. – The Merdeka Times

Syed Azwan Syed Ali adalah wartawan dan aktivis kemanusiaan dengan lebih 20 tahun pengalaman liputan, khususnya dalam isu antarabangsa.

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

  • Syed Azwan Syed Ali

    Syed Azwan Syed Ali adalah seorang wartawan dan aktivis kemanusiaan yang mempunyai lebih 20 tahun pengalaman liputan di zon konflik dan bencana termasuk di Palestin, Mesir, Yaman, Syria, Lubnan, Jordan, Somalia, Turkiye, Myanmar dan Afghanistan.

    View all posts
Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *